DEMOKAYA - Negara majoriti Islam Sudan yang terletak di timur benua Afrika antara kawasan yang paling terjejas teruk akibat perubahan iklim, namun pada masa sama ia muncul sebagai pengeluar terbesar bahan mentah gam Arab (Arabic gum) di... Klik di sini untuk terus membaca

DEMOKAYA - Negara majoriti Islam Sudan yang terletak di timur benua Afrika antara kawasan yang paling terjejas teruk akibat perubahan iklim, namun pada masa sama ia muncul sebagai pengeluar terbesar bahan mentah gam Arab (Arabic gum) di dunia.

Menurut AFD, agensi pembangunan Perancis, eksport Sudan menyumbang 70 peratus daripada bekalan resin gam Arab global.

Gam Arab, gumpalan resin keemasan yang ditoreh daripada pokok akasia berduri merupakan agen pengemulsi yang hampir tidak boleh digantikan untuk industri global.

Ramuan itu digunakan dalam segala-galanya daripada minuman ringan hingga gula-gula getah dan farmaseutikal termasuk juga dalam industri pembuatan makanan.

Malangnya, di tengah-tengah kawasan tanah kering yang teruk, tiada pedagang yang sanggup datang menjalankan urusan perniagaan secara terus dengan petani Sudan.

Malah, cuaca panas ekstrem menjadi antara penyumbang kepada masalah kekurangan tenaga buruh di ladang-ladang pokok akasia.

Situasi ini secara tidak langsung menyukarkan resin berkhasiat itu daripada terus diniagakan.

Dua petani menuai gam Arab daripada pokok akasia, di hutan penyelidikan Demokaya milik kerajaan kira-kira 30 kilometer timur El-Obeid, ibu kota wilayet tengah Kordofan Utara.

"Untuk menuai resin gam Arab berwarna keemas-emasan itu, petani perlu berdepan gelombang panas terik.

"Sememangnya bukan satu pekerjaan yang mudah kerana ia menuntut kudrat dan kesabaran tinggi," kata Fatma Ramly, penyelaras Persatuan Peladang Gam Arab yang ahlinya mencecah tujuh juta orang.

Nada sama disuarakan petani, Mohammed Moussa yang mengumpul resin gam Arab di hutan penyelidikan Demokaya milik kerajaan, kira-kira 30 kilometer (km) dari ibu negeri Kordofan Utara, El Obeid.

"Kami bekerja selama berjam-jam di bawah panas terik,” katanya.

Tambah Mohammed lagi, selain terik panas matahari dia dan petani lain berdepan 'pergelutan' berterusan dengan kekurangan air semasa bekerja di sebahagian besar padang pasir Sudan.

"Pendapatan daripada hasil menuai pokok itu sekadar cukup untuk membeli air bagi menampung kami sekeluarga sehingga musim luruh," ujarnya.

Tugas sukar, pulangan sedikit

Suhu yang direkodkan di wilayah Kordofan di Sudan telah meningkat hampir dua darjah celsius dalam tempoh kurang tiga dekad, lebih dua kali ganda purata global, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO).

"Kekurangan air merupakan salah satu cabaran utama bagi orang ramai yang tinggal di zon akasia, kata Madani Ismail dari Perbadanan Penyelidikan Pertanian yang dikendalikan kerajaan.

Petani juga terpaksa berdepan keadaan turun naik yang meluas dalam harga resin gam Arab di pasaran komoditi dunia.

Sekitar 45 kilogram (kg) gam Arab mentah boleh mencecah 22,000 hingga 25,000 paun Sudan (RM160 hingga RM182) bergantung pada harga hari tersebut.

Seorang petani memetik resin segar gam Arab yang ditoreh daripada pokok akasia.

Pulangan itu hampir tidak menampung kos pengeluaran untuk Abdelbaqi Ahmed, 52, yang memiliki sebidang tanah seluas 28 hektar yang menanam pokok akasia di Botei, Kordofan Utara.

"Ia merupakan satu tugas yang sukar,” kata Abdelbaqi yang ada kalanya dia mengupah orang lain untuk membantu menoreh pokok akasia.

Bagi Abdallah Babiker yang juga bekerja di Demokaya turut merasai situasi sama.

Tiga anak lelakinya lebih suka mencari emas di lombong daripada menjaga pokok akasia.

"Mereka mahukan kerja yang memberikan pulangan lumayan,” kata petani berusia 72 tahun itu. - AFP

Info:

Gam Arab adalah sejenis bahan yang boleh didapati daripada pokok akasia daripada jenis Acacia senegal dan Acacia seyal yang boleh ditemui di negara-negara tropika dan subtropika seperti di India, Afrika, Sudan dan Nigeria.

Di Malaysia, gam Arab boleh didapati dalam bentuk terproses seperti serbuk dan telah banyak dijual di pasaran.

Gam Arab, gumpalan resin keemasan yang ditoreh daripada pokok akasia berduri merupakan agen pengemulsi yang hampir tidak boleh digantikan untuk industri global.

Ia telah digunakan secara meluas sebagai penstabil, pemekat dan agen jel (gelling agent) di dalam minuman dan makanan seperti gula-gula getah, pastil dan marshmellow.

Namun kini, gam Arab telah digunakan secara meluas sebagai makanan tambahan untuk kesihatan.

Jawatankuasa Pakar Bersama FAO-WHO mengenai Makanan Tambahan telah melaporkan bahawa gam Arab adalah selamat untuk diambil dan pengambilannya tidak akan menyebabkan kesan yang buruk kepada kesihatan.

Klik di sini untuk terus membaca