BEBERAPA hari selepas Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO atas sebab pelanggaran disiplin parti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pelbagai spekulasi bertebaran berkenaan hala tuju karier politik bekas Ahli Parlimen Rembau itu.... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari selepas Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO atas sebab pelanggaran disiplin parti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pelbagai spekulasi bertebaran berkenaan hala tuju karier politik bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Hakikatnya, walaupun telah disingkirkan daripada parti keramat yang menjadi kesayangannya selama 23 tahun, tidak bermakna ia merupakan langkah ‘checkmate’ buat bekas Menteri Kesihatan berusia 47 tahun itu.

Beliau mendedahkan telah menerima banyak tawaran termasuk daripada segmen akademik, sukan dan korporat, namun bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui, hatinya masih kuat bertaut dengan politik walaupun belum pasti bila akan membuat comeback dan bersama siapa.

Khairy memaklumkan tidak akan terburu-buru membuat keputusan sama ada mahu bersama parti sedia ada atau parti baharu, sebaliknya bersikap terbuka dalam meneliti aspirasi beberapa parti termasuk yang menjadi musuh politik sebelum ini.

Malah beliau juga tidak menolak kemungkinan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menariknya, wujud spekulasi sama ada Khairy akan mempertimbangkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menempatkan dua rakannya iaitu Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Bagi Khairy, meskipun tidak menolak opsyen bersandarkan persahabatan tersebut namun ia bukan satu-satunya pilihan yang ada, sebaliknya apa yang lebih utama adalah memastikan hala tuju sesebuah parti itu selari dengan hala tuju dirinya sebagai orang politik.

DR TUNKU MOHAR

"Tidak dinafikan Khairy merupakan antara figura muda yang dilihat berpotensi besar dan memiliki ketokohan dalam berpolitik, dan secara hipotetikal sekiranya beliau menyertai PKR dan bergandingan dengan Rafizi dan Nurul Izzah mereka akan saling memperkuatkan parti itu,” ujar Penolong Profesor Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.

Menurut beliau, gandingan trio dengan kelebihan tersendiri selain pengaruh keberadaan yang kuat di media sosial itu dilihat mampu menarik sokongan golongan pengundi muda.

"Khairy terkenal bijak berpidato dan mempengaruhi sokongan. Beliau juga antara bekas menteri dengan prestasi terbaik walaupun pernah terpalit dengan imej 'budak tingkat 4' ketika pentadbiran Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Rafizi pula walaupun banyak menerima kecaman, beliau merupakan seorang yang bijak dengan angka dan merangka strategi selain penggubal undang-undang yang baik.

"Sementara itu, Nurul Izzah memiliki tempias karisma bapanya dan juga seorang pemidato hebat,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Justeru, gandingan Khairy, Rafizi dan Nurul Izzah juga dapat memberi impak daripada segi menarik sokongan golongan terpelajar dan sederhana untuk menyokong PKR sekali gus koalisi Pakatan Harapan (PH) berikutan pandangan yang sederhana, tidak terlalu kemelayuan serta lebih inklusif.

"Pengaruh mereka mungkin sedikit sebanyak dapat mengubah pandangan golongan muda yang lebih tertarik kepada semata-mata retorik etnik dan agama, atau mereka yang berfikir faktor Melayu dan Islam itu melebihi faktor seperti tadbir urus dan tata kelola yang baik, dan juga keharmonian hidup masyarakat majmuk,” kata Tunku Mohar.

TEO KOK SEONG

Bagi Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, gandingan Khairy, Rafizi dan Nurul Izzah selaku pemimpin pelapis negara adalah satu perkara yang amat positif.

"Gabungan tiga pemimpin muda ini mencerminkan kepintaran dan kekuatan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sebenarnya adalah nilai tambah kepada politik negara, khususnya politik yang mengutamakan negara dan bukannya diri dan parti sendiri.

"Kurangkan berpolitik dan lebihkan berkhidmat kepada masyarakat dan negara, pasti Khairy, Rafizi bersama-sama Nurul Izzah boleh memacu negara ini dengan jayanya,” ujar Kok Seong.

Katanya, rakyat sebenarnya teruja untuk melihat pemimpin politik muda yang bersemangat kental, kuat bekerja dan paling penting, jujur dalam berkhidmat sebagai ahli politik terutama dalam memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

"Ahli politik muda seperti Khairy, Rafizi dan Nurul Izzah seharusnya membina kerjaya politik dengan reputasi baik pada setiap masa dan berkhidmat sebaik mungkin selain sejujur yang boleh," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca