SHAH ALAM - Penganalisis politik berbeza pendapat berhubung tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan walaupun tidak dibayar gaji. Pensyarah Kanan Sains... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis politik berbeza pendapat berhubung tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan walaupun tidak dibayar gaji.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, pelantikan itu adalah suatu keputusan tidak wajar dilakukan Kerajaan Perpaduan yang mendokong slogan Malaysia Madani kerana ia merupakan amalan nepotisme serta menjadi tanda-tanda kecil membuka kepada pintu penyalahgunaan kuasa.

"Ini adalah satu bentuk nepotisme lunak. Memang benar apa yang dikatakan Perdana Menteri yang beliau tidak menawarkan sebarang gaji atau kemudahan-kemudahan lain kepada Nurul Izzah tetapi ia tetap tidak wajar dari segi moral kerana wujudnya tali kekeluargaan antara mereka.

"Tindakan ini juga tidak selari dengan konsep Malaysia Madani yang menjunjung prinsip tata kelola kerajaan baik untuk memastikan kerajaan bebas daripada unsur-unsur yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Media pada Ahad melaporkan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, pelantikan itu menimbulkan kontroversi apabila ramai pihak terutama pemimpin pembangkang termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengkritik pelantikan berkenaan.

"Duluan yang tidak betul ini bermaksud mungkin pemimpin akan datang juga cenderung melakukan benda sama atas dasar ahli keluarga yang dilantik tidak dibayar gaji, elaun dan tidak terima apa-apa kemudahan,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan, pelantikan tersebut perlu dinilai semula dan ditarik balik kerana jika tindakan segera tidak dibuat ia dikhuatiri boleh mendatangkan implikasi buruk kepada imej Perdana Menteri itu sendiri.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan bahawa Nurul Izzah layak memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman, keupayaan dan kewibawaan yang dimiliki beliau.

"Beliau pernah menjadi ahli Parlimen untuk tiga penggal dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen selain kita tahu beliau sebelum ini merupakan antara pemimpin muda yang berkelayakan.

"Jadi bagi saya, kedudukan sebagai anak Perdana Menteri tidak sepatutnya menjadi satu halangan kepada Nurul Izzah untuk menolak jawatan tersebut,” tegas beliau.

Menurut Sivamurugan, walaupun dijangka pelantikan itu akan melibatkan kos-kos sampingan seperti penyediaan pejabat dan gaji kakitangan namun kosnya tidak besar kerana tidak melibatkan bayaran gaji.

"Kos memang akan wujud tapi ia tidaklah sebesar berbanding seseorang yang dilantik itu menerima gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan khas lain.

"Dalam soal ini, kos boleh diminimumkan menerusi perkongsian pejabat dan staf. Perkongsian ini juga dilakukan di banyak jabatan,” ulasnya.

Klik di sini untuk terus membaca