AWAL tahun ini, dunia netizen heboh berbicara mengenai ChatGPT, sebuah program bahasa. Dan, kehebohan itu cepat melimpah ke negara kita. ChatGPT yang dilancarkan kepada umum pada November 2022, meletup di alam siber. Dalam masa lima hari ia... Klik di sini untuk terus membaca

AWAL tahun ini, dunia netizen heboh berbicara mengenai ChatGPT, sebuah program bahasa. Dan, kehebohan itu cepat melimpah ke negara kita.

ChatGPT yang dilancarkan kepada umum pada November 2022, meletup di alam siber. Dalam masa lima hari ia menemui netizen, jumlah yang menggunakannya mencapai lebih sejuta.

Bagaimana pun, seperti mana apa-apa yang baharu, ia didepani dengan rasa curiga.

Apakah ChatGPT ini akan merosakkan dunia kreativiti? Apakah ia akan menggalakkan plagiarisme? Jika begitu, ChatGPT adalah satu lagi ciptaan yang bakal merosakkan keaslian pengkaryaan.

Kini, komputer sedang berlawan dengan manusia dalam aspek bahasa pula. Dan, biasanya komputer akan menang kerana komputer lebih pantas! Manusia tetap kalah dengan kecepatan robot!

ChatGPT atau Chat Generative Pre-Trained Transformer, dalam bahasa yang mudah mampu memberi jawapan kepada pelbagai persoalan.

Selama ini, jika seseorang yang mahu menulis mengenai sesuatu topik perlu melayari Google dan membaca pelbagai artikel dari bermacam-macam portal, mengumpul isi dan mengarangnya menjadi sebuah artikel; melalui ChatGPT, proses yang memakan masa berjam-jam dapat disudahkan dalam masa beberapa saat! Program ini memahami dan membuat teks dalam bahasa manusia.

Manusia bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu. Ramai yang punyai persepsi bahawa program ini menyediakan jawapan dalam bahasa yang tiada emosi. Ia benar.

Jadi, manusia masih menang berbanding komputer kerana manusia boleh memilih dan menyusun perkataan dari mindanya. Lenggok bahasa masih menjadi kelebihan manusia berbanding dengan program ini.

Sebenarnya, tiga artikel saya termasuk artikel ini ditulis dengan bantuan model bahasa ini. Malah, saya sentiasa berbolak-balik dari halaman artikel ini yang ditaip di Google Drive ke program itu. Sebelum ini saya menggunakan Google untuk mendapat maklumat.

Hanya sekadar itu. Tetapi apabila menggunakan ChatGPT, saya bersembang dahulu mengenai topik yang saya ingin tulis, seolah-olah saya sedang berbual dengan seorang rakan. Setelah bersoal-jawab, baharulah saya mula menulis.

Program ini juga membantu saya menyiapkan kertas kerja. Setelah meminta program itu ‘menyediakan sebuah kertas kerja untuk sebuah acara,’ dalam beberapa saat sahaja ia memberikan jawapan. Ada kalanya bahasa yang digunakan program ini sukar difahami.

Saya boleh mengarahkan ChatGPT untuk menulis kembali dalam bahasa mudah untuk pelajar 18 tahun, dan ia menulis kembali kertas kerja itu dalam bahasa yang begitu mudah.

Satu yang menarik bagi program ini ialah, ia mempunyai etika. Pada suatu hari, saya mengarahkannya untuk memberitahu ‘beberapa cara untuk membunuh orang’ untuk karya fiksyen saya. Dan, jawapan ChatGPT membuat saya terdiam seketika kerana mula dileteri!

Katanya, ‘Saya mohon maaf kerana membunuh adalah satu jenayah yang hukumannya penjara seumur hidup atau dihukum mati. Tapi, jika anda bertanya sesuatu yang lain, beritahu saya!’ Lantas saya ubah soalan, ‘Berikan cara bagaimana James Bond membunuh penjahat dalam filem-filemnya.’

Dan, ChatGPT segera memberitahu saya berbelas cara James Bond membunuh dalam siri-siri filemnya.

Berbanding dengan Google yang hanya mempunyai program Google Safesearch yang kadangkalanya terlepas saringannya, program ChatGPT ini nampaknya lebih beretika kerana diprogram juga untuk menasihati penggunanya.

Yang penting, kita perlu pandai bertanya untuk mendapat respons dengan jawapan yang memuaskan hati.

Tidakkah juga kita perlu pandai bertanya kepada isteri untuk mendapat maklum balas yang positif?

Kelebihan isteri ialah, dia akan menjawab dengan senyuman. Dengan komputer, kita hanya tersengih sendirian.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian.

Klik di sini untuk terus membaca