YANGON - Tentera Myanmar merampas kuasa pada 1 Februari 2021 dengan menggulingkan kerajaan awam dan menangkap ketua de facto, Aung San Suu Kyi. Lebih daripada 2,800 orang terbunuh sejak tindakan kekerasan junta, menurut Pertubuhan... Klik di sini untuk terus membaca

YANGON - Tentera Myanmar merampas kuasa pada 1 Februari 2021 dengan menggulingkan kerajaan awam dan menangkap ketua de facto, Aung San Suu Kyi.

Lebih daripada 2,800 orang terbunuh sejak tindakan kekerasan junta, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala ribuan telah ditangkap.

Berikut adalah imbasan kembali insiden berdarah sejak dua tahun rampasan kuasa.

Serbuan sebelum subuh

Tentera menahan Suu Kyi dan sekutu kanannya semasa satu serbuan pada waktu subuh 1 Februari menjelang pembukaan Parlimen baharu.

General mendakwa terdapat penipuan dalam pilihan raya November 2020 yang mana parti pimpinan Suu Kyi, parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menang dalam pilihan raya tersebut.

Tindakan penahanan itu mencetuskan bantahan global termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan kemudian pemimpin dari Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain yang mengumumkan sekatan terhadap Myanmar.

Polis Myanmar menggunakan baton mengejar penunjuk perasaan di Letpadan, Yangon. - Agensi

Tindakan kekerasan meningkat

Seorang wanita muda, Myal Kyal Sin atau 'Angel' ditembak mati di kepala semasa tunjuk perasaan terhadap junta dan selepas itu mendiang menjadi simbol penentangan kepada tentera Myanmar.

Tindakan kekerasan terhadap protes jalanan semakin meningkat dan menjelang 11 Mac, Amnesty International menyatakan pihaknya mendokumentasi kekejaman junta termasuk penggunaan senjata di medan perang terhadap penunjuk perasaan tidak bersenjata.

Sehari kemudian, pakar PBB di Myanmar menuduh tentera melakukan jenayah kemanusiaan terhadap penduduk awam.

Hari paling dingati

Lebih 100 orang awam terbunuh dalam tindakan keras pada 27 Mac 2021.

Pada bulan berikutnya, penggubal undang-undang awam yang digulingkan terpaksa bersembunyi mengumumkan pembentukan bayangan 'Kerajaan Perpaduan Negara'.

Perbicaraan Suu Kyi bermula

Pada Jun, iaitu empat bulan selepas Suu Kyi ditahan, pemimpin awam itu dibicarakan secara tertutup dalam mahkamah tentera.

Beliau berdepan pelbagai tuduhan termasuk mengimport walkie-talkie secara haram dan melanggar sekatan Covid-19 semasa pilihan raya 2020.

Keputusan pilihan raya dibatalkan

Pada hujung Julai, junta membatalkan keputusan undian 2020 yang sekali gus mendakwa lebih 11 juta kes penipuan undian.

Suu Kyi dipenjarakan

Pada 6 Disember, Su Kyi menerima hukuman penjara buat kali pertama selama empat tahun kerana menghasut tentera dan melanggar peraturan Covid-19. Hukuman itu kemudian dipendekkan selama dua tahun.

Hukuman mati

Pada Julai 2022, junta mengumumkan hukuman mati terhadap seorang penggubal undang-undang parti NLD serta seorang aktivis terkemuka yang didakwa terbabit dalam 'keganasan'.

Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan global susulan hukuman tidak setimpal dan junta menyatakan tertuduh juga terbabit dakwaan membunuh pemberi maklumat.

Bekas duta ditahan

Pada Ogos 2022, pihak berkuasa menahan bekas duta Britain, Vicky Bowman kerana didakwa melanggar peraturan imigresen.

Penangkapan itu dibuat ketika Britain mengumumkan sekatan baharu terhadap firma yang dikatakan membantu mengumpul dana kepada tentera semasa tindakan keras pada 2017 terhadap etnik Rohingya.

Serangan udara

Pada September, 11 orang pelajar sekolah terbunuh dalam serangan udara junta di sebuah sekolah di wilayah Sagaing utata ketika tentera mempergiatkan serangan udaranya.

Aktivis muda, Myal Kyal Sin yang maut ditembak mati tentera semasa tunjuk perasaan di Yangon. - Agensi

Pada Oktober, serangan udara di konsert diadakan kumpulan pemberontak Tentera Kemerdekaan Kachin telah membunuh 50 orang dan mencederakan 70 yang lain.

Perbicaraan Suu Kyi selasai

Selepas 18 bulan, perbicaraan Suu Kyi berakhir pada 30 Disember yang menyaksikan beliau dihukum penjara 33 tahun kerana terbabit rasuah.

Bagaimanapun, junta tidak memberikan maklumat sama ada beliau dibenarkan menjalani hukuman tahanan di rumah. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca