PANDEMIK Covid-19 baru-baru ini telah menyedarkan masyarakat antarabangsa bahawa dunia telah banyak berubah dan menuntut perancangan baharu.
Krisis global akibat penularan wabak ini bukan sahaja menyebabkan hilang punca pendapatan keluarga, malah anak-anak kita ramai yang hilang peluang belajar, apabila sekolah ditutup akibat Covid-19.
Ini bukan sahaja menjejaskan taksiran pembelajaran, tetapi mereka ini juga tergolong dalam generasi yang tersisih seperti yang saya pernah tulis dalam kolum ini pada 17 Jun 2021.
Pada ketika itu berdasarkan laporan UNESCO, hampir 1.6 bilion pelajar di 190 negara tidak dapat hadir ke sekolah kerana sekolah ditutup akibat pandemik. Implikasi kepada pembelajaran ini sangat serius, apatah lagi kalau dikaitkan dengan keperluan mereka untuk mengisi peluang pekerjaan nanti.
Menyedari semua ini, lebih-lebih lagi pendidikan merupakan kunci utama dan jalan keluar daripada belenggu kemiskinan, kepimpinan negara perlu meletakkan keutamaan pada waktu ini untuk pihak kerajaan bekerjasama dengan semua pihak dalam melaksanakan program yang dapat membantu memulihkan generasi yang tersisih ini terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.
Fokus harus diberikan kepada anak-anak di kawasan desa dan pedalaman serta dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Tidak lupa juga kalangan anak-anak miskin bandar.
Pelbagai kaedah pengajaran tambahan berkesan perlu diperkenalkan dan modul-modul sedia ada yang telah dibina oleh pakar-pakar pendidikan harus digunakan melebihi daripada sekadar memberi pendidikan asas untuk mereka boleh membaca, menulis dan mengira.
Para pelajar ini juga wajar dilengkapkan dengan nilai-nilai murni yang akan melahirkan generasi masa depan yang amanah, jujur dan mempunyai kemahiran hidup.
Dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak ini. Pada hemat saya kepimpinan negara perlu memulakan inisiatif ini.
Lebih penting yang kita harapkan adalah agar bantuan seperti ini bukan sahaja akan membolehkan anak-anak ini membaca dan mengira, tetapi juga untuk membantu anak-anak yang sudah sedia cerdik ini menggunakan kecerdikan mereka untuk membantu masyarakat di sekeliling mereka, tidak kira dalam perniagaan, pertanian, kraf tangan, mahupun melalui bidang-bidang profesional.
Hari ini kita sedia maklum akan kelebihan teknologi maklumat dalam kehidupan seharian. Kita juga sedia maklum bahawa generasi hari ini lahir dengan kebijakan untuk menguasai teknologi-teknologi ini.
Sudah pasti sekiranya teknologi ini digunakan dengan baik dan betul ia dapat membantu anak-anak ini menjadi jurubicara serta jambatan yang menghubungkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi sebagai usaha mempromosi kraf tangan dan perniagaan yang diusahakan oleh masyarakat desa.
Anak-anak ini juga boleh membantu ibu bapa dan jiran tetangga mereka untuk menggunakan teknologi demi kebaikan bersama. Syaratnya pihak kerajaan juga perlu fikirkan bagaimana untuk menentukan kualiti internet yang disalur luas ke seluruh negara terutama ke kawasan pedalaman.
Selain daripada pendedahan dalam penggunaan teknologi, pendidikan tambahan seperti ini juga penting untuk diberikan bertujuan memantapkan lagi tahap akademik dan sahsiah murid selain memberi pendedahan kepada murid tentang dunia luar memandangkan kebanyakan daripada mereka tidak pernah keluar dari kawasan perkampungan mereka.
Semestinya pengalaman berada dalam persekitaran universiti pada usia yang muda akan memberi suntikan motivasi dan semangat untuk berjaya pada masa hadapan.
Lebih penting adalah agar suntikan motivasi ini akan menaikkan semangat mereka untuk menyimpan cita-cita menyambung pelajaran ke peringkat universiti selepas ini.
Sebab itu perlu ada lebih banyak program pada waktu ini di seluruh negara yang memberi pendedahan seperti ini kepada murid-murid di luar bandar.
Pada masa yang sama kita berharap agar murid-murid ini nanti tidak mensia-siakan peluang yang akan diberikan kepada mereka. Belajarlah bersungguh-sungguh untuk membantu keluarga masing-masing kerana hanya melalui pendidikan berkualiti, masa depan anda akan lebih terjamin.
Semoga Malaysia terus makmur.
* Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca