SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mempertimbangkan cadangan agar sesi persekolahan di Semenanjung dianjakkan kepada jam 8 pagi, iaitu lewat 30 minit berbanding jadual sedia ada. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mempertimbangkan cadangan agar sesi persekolahan di Semenanjung dianjakkan kepada jam 8 pagi, iaitu lewat 30 minit berbanding jadual sedia ada.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan tersebut, bagaimanapun kementerian perlu melihat garis panduan tatacara pelaksanaannya.

Jelas beliau, perubahan tersebut tidak menjadi masalah kepada sekolah satu sesi tetapi persoalannya apabila melibatkan dua sesi.

"Sebab apabila ada dua sesi, mungkin murid-murid sebelah petang akan balik lewat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad sebelum ini menyarankan agar kerajaan menetapkan sistem persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi bagi meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’.

Keratan Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Anuar, kerajaan sepatutnya mempunyai rasa belas kasihan dan empati pada keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi.

Sementara itu, Jasni berkata, penetapan sistem persekolahan bermula jam 8 pagi mempunyai banyak kebaikan terutama melibatkan sekolah satu sesi dalam bandar yang padat dengan penduduk apabila waris terpaksa berhadapan kesesakan jalan raya.

Selain itu, ujar beliau, keselamatan dan keselesaan pelajar akan lebih terjamin apabila sekolah bermula jam 8 pagi.

"Waris tidak perlu tergesa-gesa hantar awal anak-anak ke sekolah. Kadang-kadang bila jam 7.30 pagi, waris keluar lebih awal. Jadi, anak-anak terpaksa dihantar ke sekolah lebih awal,” katanya.

Menurutnya, apabila murid-murid diletakkan di sekolah lebih awal, implikasi keselamatan mereka perlu difikirkan walaupun terdapat pengawal keselamatan yang menjaganya.

"Tak berlaku kejadian tidak diingini, tak mengapa. Bila akan berlaku, kita tak tahu.

"Tapi (menganjakkan masa kepada jam 8 pagi), waris akan lega. Sebab mereka tak perlu terlalu awal hantar anak-anak ke sekolah,” ujarnya.

Tambah beliau, antara kebaikan lain ialah waris mempunyai masa untuk menyediakan sarapan pagi kepada anak-anak untuk dibawa ke sekolah.

"Oleh kerana itu, kementerian perlu memperhalusi cadangan tersebut, melihat kembali tatacara macam mana nak melaksanakan terutamanya sekolah dua sesi,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca