SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berpandangan tiada keperluan untuk mengubah waktu persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi.
Menurutnya, sesi sedia ada ketika ini dilihat bersesuaian dengan keperluan pelbagai pihak, di samping pelaksanaannya telah lama dilakukan.
"Saya dapati sistem yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menimbulkan masalah kepada pelajar. Bangun awal pagi itu memang sudah menjadi rutin.
"(Syor) ini adalah satu perubahan yang besar. Kita tahu masa yang telah ditetapkan itu ada kaitannya dengan jadual perjalanan bas sekolah dan waktu ibu bapa menghantar anak-anak mereka.
"(Sesi persekolahan) yang sedia ada dah dikira baik. Jika nak ubah, ia akan melibatkan sistem jadual waktu kelas secara keseluruhan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, KPM disaran supaya memulakan sesi persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi.
Cadangan yang dikemukakan oleh Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad bertujuan meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan 'Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera'.
Dalam pada itu, Alimuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berkata, peraturan sedia ada telah dibuat bagi memudahkan pergerakan semua peringkat mengikut sektor masing-masing. "Kita dah ada peringkat tertentu. Misalnya, pertama sekali pelajar sekolah masuk, kedua pejabat kerajaan akan masuk antara jam 8 hingga 8.30 pagi diikuti sektor swasta jam 9 pagi.
"Peraturan sedia ada ini dibuat bagi memudahkan pergerakan semua peringkat supaya semua orang tidak keluar secara serentak,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya terdapat keperluan untuk membuat sebarang perubahan kelak, perbincangan secara terperinci perlu dibuat melibatkan pihak berkaitan."Pihak berkenaan perlu berbincang terlebih dahulu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pengetua, guru besar, guru-guru, pelajar dan juga komuniti lain bagi menilai setiap perubahan atau penambahbaikan yang hendak dilaksanakan,” jelasnya.
NUTP tidak setuju, bimbang jadual pembelajaran terganggu
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak bersetuju cadangan sesi persekolahan di Semenanjung dianjakkan 30 minit kepada jam 8 pagi.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, langkah itu bukan hanya akan menambah beban guru, malah turut mengganggu jadual pembelajaran.
Beliau berkata, permulaan sesi persekolahan di Semenanjung yang bermula 7.30 pagi adalah munasabah dan tidak sepatutnya dibangkitkan.
Sebaliknya, ujar Aminuddin, pihak terlibat perlu meneliti masalah yang wujud ketika ini apabila sesetengah sekolah meminta guru dan pelajar hadir lebih awal iaitu sebelum waktu ditetapkan.
"Ada sesetengah sekolah membuat peraturan sendiri, mengarahkan guru dan murid datang lebih awal iaitu 7.15 pagi kerana terlibat pelbagai program,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Aminuddin turut berharap penguatkuasaan terhadap sekolah dapat dilaksanakan supaya dapat mematuhi peraturan kemasukan jam 7.30 pagi.
"Justeru, tidak akan ada isu berkaitan dengan perkara itu (cadangan jam 8 pagi).
"Selain itu, kita juga perlu mengambil kira sekolah yang mempunyai dua sesi (pagi dan petang). Sekiranya ia dilaksanakan, sedikit sebanyak akan menjejaskan persekolahan sesi petang apabila guru dan pelajar terlibat terpaksa pulang lebih lewat,” tambah beliau.
Rutin harian ibu bapa berkerjaya akan terganggu
Cadangan supaya sesi persekolahan di Semenanjung dianjakkan ke jam 8 pagi tidak disokong oleh ibu bapa.
Seorang kakitangan swasta, Maziah Abd Rahman, 38, berkata, jika dilaksanakan sudah pasti akan mengganggu rutin harian ibu bapa yang bekerja sepertinya.
Maziah berkata, dia sendiri akan terkesan kerana ketika ini menghantar anak ke sekolah sekitar jam 7 pagi kerana perlu masuk pejabat jam 8 pagi.
"Kecuali kerajaan bersedia menetapkan waktu fleksibel termasuk ibu bapa yang bekerja dengan syarikat swasta. Kalau macam itu tiada masalah kalau hendak tukar waktu sesi persekolahan.
"Lagi pun, perubahan sesi pagi akan memberi kesan kepada pelajar yang sekolah pada waktu petang. Mereka pasti akan balik lagi lambat,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pesara, Ismail Murad, 55, berpendapat, isu bangun awal tidak perlu diperbesarkan kerana ia dilakukan sejak dahulu lagi.
Ujarnya, sikap bangun pagi itu dapat diterapkan dalam diri anak-anak sehingga dewasa selain mengajar mereka untuk lebih berdisiplin.
"Saya rasa tidak perlu ubah waktu sesi persekolahan. Waktu sekarang ini sudah sesuai untuk anak-anak selain tidak membebankan ibu bapa terutamanya yang berkerja jam 8 pagi.
"Tidak semua ibu bapa membayar van sekolah, ada dalam kalangan mereka lebih selesa menghantar sendiri anak ke sekolah,” jelasnya.
Seorang kakitangan swasta, Anoor Faizi, 45, menjelaskan, perbezaan waktu baharu dan lama iaitu hanya setengah jam tidak memberi kesan apa-apa kepada anak -anak.
"Macam saya anak-anak sudah terbiasa bangun jam 6 pagi, jadi tiada masalah untuk mereka pergi sekolah awal. Lebih baik sebenarnya.
"Kalau bangun lambat nanti tertinggal solat Subuh pula. Alang-alang dah bangun sekolah boleh solat sekali,” jelasnya.
Siti Farihan Ismail, 39, pula tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia bukan sahaja menyusahkan ibu bapa malah memberi kesan kepada anak-anak.
"Kalau masuk jam 8 pagi mesti balik lambat nanti. Kasihan dekat anak-anak kerana kepenatan. Sekarang balik jam 6 petang sudah lesu, inikan pula waktu dianjakkan.
"Saya rasa tidak perlu, tetap sahaja waktu asal seperti yang sudah diamalkan sejak sekian lama,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca