SHAH ALAM - Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) mencadangkan lima penambahbaikan yang perlu dilakukan kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini. Lima perkara itu ialah menyemak dan meminda Akta... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) mencadangkan lima penambahbaikan yang perlu dilakukan kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini.

Lima perkara itu ialah menyemak dan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, melakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melakukan pemisahan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya, menggubal Akta Pembiayaan Dana Politik, dan penggubalan Akta Perolehan Awam.

C4 berkata, kerajaan diminta menyemak dan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memastikan isu rasuah dapat diatasi atau dicegah sebaiknya daripada terus menular.

Jelas pertubuhan bukan kerajaan itu lagi, tujuan menyemak serta meminda akta tersebut adalah membolehkan dan membenarkan pendedahan kes salah laku kepada pihak luar seperti media, ahli Parlimen, pertubuhan masyarakat sivil dan badan lain yang tidak disenaraikan oleh akta.

Selain itu katanya, semakan ke atas akta tersebut diharap dapat memberi pembelaan sewajarnya kepada pihak pemberi maklumat

"Berikan pembelaan kepentingan awam kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat walaupun dilarang oleh undang-undang bertulis seperti dalam Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Malaysia berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021.

Malaysia mencatat 47 mata pada tahun lalu berbanding 53 peratus pada 2019, jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun.

Lima langkah untuk menaikkan CPI negara seperti yang dicadangkan C4.

Penurunan itu menunjukkan negara ini menuju ke arah yang salah dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam.

Mengulas lanjut, C4 menegaskan, kerajaan perlu segera melakukan reformasi terhadap SPRM dengan memberi kuasa penuh dan autonomi di dalam kapasiti penyiasatan kepada badan memerangi rasuah tersebut.

"Ini bermakna membebaskan SPRM daripada sebarang pengaruh tidak wajar atau campur tangan daripada pihak luar seperti badan eksekutif, di samping membentuk entiti penyeliaan yang mengawasi SPRM di dalam pelantikan jawatan Ketua Pesuruhjaya, belanjawan dan penyediaan tenaga kerja di kawasan,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan lagi skor CPI negara adalah dengan melakukan pemisahan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya.

Jelasnya, pemisahan kedua- dua entiti perundangan itu penting bagi memastikan kebebasan pendakwaan kes terutama melibatkan ahli politik atau orang berkepentingan.

Selain itu menurutnya, inisiatif yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah menggubal Akta Pembiayaan Dana Politik bagi membendung budaya politik wang yang telah sebati dalam sistem politik Malaysia.

Akta Perolehan Awam juga perlu digubal bagi memastikan tidak berlaku isu ketirisan, menyebabkan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit dalam urusan perolehan negara.

Klik di sini untuk terus membaca