PARTI UMNO mempunyai sejarah panjang dalam gelanggang kepimpinan dan pentadbiran negara. Istana Besar Johor Bahru menyaksikan sejarahnya bermula pada 11 Mei 1946 atas nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Sepanjang 77 tahun... Klik di sini untuk terus membaca

PARTI UMNO mempunyai sejarah panjang dalam gelanggang kepimpinan dan pentadbiran negara. Istana Besar Johor Bahru menyaksikan sejarahnya bermula pada 11 Mei 1946 atas nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Sepanjang 77 tahun penubuhannya, UMNO dikenali sebagai ‘parti keramat orang Melayu’ yang sentiasa mendapat sokongan orang Melayu dan bukan Melayu. Tetapi di manakah UMNO hari ini?

Apakah sejarah menunjukkan kini ia sudah tidak menjadi pilihan utama kerana kekuatan parti lawan atau kekurangan sendiri? Setiap fasa wajar difahami untuk meleraikan kekusutan yang dilihat dari pelbagai lensa.

Sepanjang 15 kali menyertai Pilihan Raya Umum (PRU), UMNO kekal sebagai parti yang menjadi tulang belakang kepada parti gabungan Perikatan dan kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Sejarah menunjukkan warisan kesinambungan kepimpinan meletakkan bekas Presiden dan Timbalan Presiden atau Naib Presiden sebagai Perdana Menteri.

Di samping memahami persejarahan panjang sumbangan UMNO ke atas proses pembangunan, modenisasi dan perubahan, kita perlu menggali fasa yang turut membawa kepada persoalan hari ini yakni apakah fasa-fasa krisis yang pernah dilalui oleh UMNO dan masa depan UMNO.

Fasa 1967-1969, 10 tahun selepas memenangi PRU yang pertama pada tahun 1959, Perikatan dan UMNO kehilangan sokongan pada PRU ke-3. Kedudukan bilangan kerusi di negeri Selangor khususnya turut membawa kepada rusuhan kaum 13 Mei 1969, tiga hari selepas PRU diadakan. Ia juga adalah rentetan kepada ketidakpuasan hati yang telah bermula sejak 1967 dengan isu nasionalisme dan kepimpinan.

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tewas di kerusi Kota Selatan (kini Pendang), dipecat kerana kritikan terbuka ke atas Tunku Abdul Rahman, Presiden UMNO kedua. Surat kritikan menjadi menjadi ‘surat terbuka’. Malahan, beliau pernah berdiri atas pentas parti Pas di Kapar tanpa menyertainya. Kira-kira 12 tahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri keempat.

Fasa 1977-1979, 10 tahun selepas Peristiwa 13 Mei juga melihat satu lagi krisis dalam UMNO. Sulaiman Palestin mencabar Presiden, Tun Hussein Onn dalam pemilihan tahun 1978. Ini kali kedua Presiden ditentang selepas Tunku berhadapan dengan Ahmad Fuad Hassan pada tahun 1951. Fasa 1987-1989, 10 tahun selepas krisis akhir 1970-an, UMNO berhadapan satu lagi krisis.

Kem Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO 1987 mengheret UMNO ke mahkamah sehingga UMNO diisytihar parti tidak sah. Muncul parti Semangat 46 pada waktu itu.

Fasa 1997-1999, satu lagi kitaran 10 tahun menyaksikan hubungan Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Presiden menjadi retak membawa kepada pemecatan Anwar daripada UMNO. Maka, lahir parti ADIL yang kini dikenali sebagai PKR. Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas 24 tahun peristiwa ini.

KRISIS KELIMA

Fasa 2007-2009 pula adalah putaran krisis kelima setiap 10 tahun yang berlaku ke atas UMNO. Keluarnya Dr Mahathir daripada UMNO, dan tewasnya beliau pada pemilihan Bahagian Kubang Pasu akibat pertembungan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi perlu dihalusi. Ia juga mencatat sejarah bagaimana BN hilang majoriti dua pertiga buat kali pertama dan Abdullah diminta melepaskan jawatan. Jika PRU 2004 BN menang majoriti paling tinggi, PRU 2008 adalah permulaan sejarah hitam buat UMNO. Dari 198 kerusi, tinggal 140 (137) kerusi.

Siapakah yang bertanggungjawab gagal mempertahankan majoriti paling besar dan menjadi titik permulaan UMNO ke persimpangan? Beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah jatuh manakala Kelantan kekal di tangan pembangkang. Fasa 2017-2019 melihat pertembungan Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Sekali lagi UMNO dalam krisis.

Dr Mahathir sekali lagi keluar parti dan menubuhkan parti Bersatu. Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Afdal juga berlaku.

BN dan UMNO tumpas kali pertama di peringkat persekutuan. Najib meletakkan jawatan Presiden parti. Pemilihan parti menyaksikan pertembungan antara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan empat calon lain. Dr Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri (ketujuh) selepas Pakatan Harapan (PH) menang dan Muhyiddin Perdana Menteri kelapan pada tahun 2020 dan lahir kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PRU15 menunjukkan prestasi BN dan UMNO yang paling buruk dalam sejarah pilihan raya. UMNO menang 26 kerusi, MCA 2, MIC 1 dan PBRS 1. Keputusan ini menyebabkan buat kali kedua, UMNO bukan pilihan dominan. Kini UMNO pilihan ketiga. BN tidak membentuk kerajaan tetapi ‘menentukan’ pembentukan kerajaan.

Ketiadaan Najib, Mukhriz bersama parti Pejuang, Khairy Jamaluddin dipecat menyebabkan protege anak pemimpin UMNO semakin hilang apatah lagi dengan penggantungan Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Hampir kesemua Presiden UMNO berada di luar parti pada zaman pengakhiran mereka, termasuklah Dato Onn, Tunku, Hussein dan Dr Mahathir. Yang ada hanya Abdullah yang kini kurang sihat dan Razak meninggal dunia sewaktu memegang jawatan tersebut serta Najib menjalani hukuman penjara.

Apakah UMNO kini di persimpangan? Tindakan memecat dan penggantungan bukan baharu. Ramai seolah-olah naif dengan apa yang sedang berlaku. Ada yang bercakap seolah-olah mereka itu bersih dan ada pula yang melenting kerana tindakan dan keputusan parti. Di manakah mereka ketika parti sangat memerlukan? Mengapakah mekanisme awal tidak diambil jika berasakan parti semakin parah? Pernahkah diamati putaran sejarah 10 tahun dalam UMNO?

MUDAH MENJATUHKAN

Pertama, mudah untuk membangkang dan menjatuhkan dari membinanya. Kedua, bagaimana untuk mengembalikan keyakinan jika ada yang menjadi ‘musang berbulu ayam’ tetapi masih mahukan pangkat dan jawatan? Ketiga, apa berlaku pada tahun 2008 sehingga hilang segalanya 10 tahun selepas itu?

Keempat, apakah kita bertanggapan boleh menjadi ‘team player’ atau syiok sendiri dengan melambung-lambung kepentingan diri? Kelima, di mana roh ‘bersatu, bersetia, berkhidmat’? Keenam, bilamana keputusan kolektif tidak dihormati, apakah mengherdik dan menghentam akan menunjukkan kita masih berjiwa parti?

Ketujuh, polemik pertembungan personaliti dan parti masih berterusan, siapakah yang lebih gah? Kelapan, sebaik mana seorang pemimpin, beliau akan diperhati sama ada sumbangannya bersifat berkepentingan.

Pemecatan Dr Mahathir dan Anwar membawa kepada agenda gerakan sosial besar-besaran sehingga dilabel ‘reformasi’. Tiga pemimpin yang dipecat kemudiannya menjadi Perdana Menteri. Adakah formula dengan tawaran baharu untuk UMNO dan BN?

UMNO juga tidak boleh mengambil mudah kesan saga dalaman parti. UMNO perlu bijak berkomunikasi dengan pelbagai peringkat untuk memastikan kepercayaan tidak tergugat. Ia juga perlu melihat kesan ke atas kerajaan Persekutuan akibat tindakan dalam parti. Begitu juga dengan rakan sekutu dalam BN; reaksi yang boleh mengundang kontroversi apatah lagi sehingga kini gagal menunjukkan prestasi.

Ada yang menamakan pasukan hari ini adalah ‘Pasukan Zahid’, jika begitu bagaimana masing-masing boleh membantu penjenamaan, pemasaran dan imej parti agar tidak ada protes besaran sewaktu PRN tidak lama lagi. Penggiliran kepimpinan penting, dan ini juga memerlukan iltizam dan tekad politik. Sudah bersediakah UMNO untuk melakukan perubahan bersistematik dan tersusun supaya ‘sokong tidak bawa rebah’ kemudian hari.

Dalam persekitaran yang tidak memberikan keutamaan pada fahaman politik, barangkali akan ada yang bersedia untuk berkompromi prinsip semata-mata untuk meningkatkan populariti dan memanjangkan hayat politiknya. Bagaimana rakyat akan reaksi jika ini berpanjangan?

Populariti penting namun generasi hari ini juga perlu melihat kepada wajah, wadah dan sejarah. Warisan, watan dan wawasan adalah sesuatu yang memerlukan nilai budaya politik yang seiring dengan peredaran semasa. Ia juga datang dengan wajah kepimpinan dan barisan di belakangnya sebagai penyuntik kepada kepimpinan antara generasi.

Benarkah UMNO sudah menuju ke destinasi baharu dan sedar apa yang boleh berlaku pada 2027-2029, persejarahan 10 tahun dalam putaran hidup politik keramat ini? Dengan lambakan parti berteraskan Melayu-Islam, UMNO mesti mencari jalan untuk mengembalikan kedudukannya; dan ini memerlukan pengorbanan, kompromi, rundingan dan kewibawaan. Mampukah UMNO lakukannya dalam persaingan dunia politik intra dan inter ras serta etnik yang kian mencabar?

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca