FOBIA itu ketakutan yang melampau dan tidak dapat dikawal oleh kewarasan. Fobia persaingan bukan ‘kiasu’ (sikap yang sangat suka bersaing kerana takut ketinggalan atau kalah kepada pesaing), tetapi ketakutan untuk bersaing kerana takut kalah.
Akibat fobia persaingan, pelaku cuba menyahabsahkan atau menghapuskan persaingan supaya pemenang dalam persaingan yang lepas boleh terus menang, atau pesaing-pesaing berpotensi dihapuskan.
Terdapat dua jenis dalih yang biasa digunakan untuk menghapuskan persaingan. Pertama, persaingan itu membawa perpecahan dan membolehkan musuh dari luar mengambil kesempatan. Penyelesaiannya, semua tunduk dan taat kepada ketua atas nama perpaduan. Semakin besar krisis yang melanda, semakin hebatlah dalih untuk bersatu di bawah seorang pemimpin.
Kedua, pesaing-pesaing yang sedia ada atau berpotensi itu anasir jahat, berbahaya, pengkhianat dan sebagainya, dan perlu dilucutkan kelayakan untuk bersaing. Apabila pesaing berjaya dihapuskan, maka bolehlah penyandang menang tanpa bersaing.
Apabila dirasuk fobia persaingan, semakin besar sumbangan pesaing, semakin perlunya pesaing dihapuskan.
Contoh klasik di nusantara ialah Hang Nadim yang dibunuh pada umur 10 tahun oleh pembesar-pembesar Temasik (Singapura pada abad ke-13) kerana takut budak itu akan merebut periuk nasi mereka.
Apa kesalahan Hang Nadim? Tidak pun dia melafazkan cita-cita untuk jadi raja atau bendahara Temasek. Ketika itu, Temasek diserang ikan todak yang menikam manusia dengan muncungnya yang tajam. Apabila pembesar-pembesar gagal membuat apa-apa, Hang Nadim cadangkan benteng batang pisang yang akan membuatkan muncung ikan todak tersangkut.
Kesalahan Hang Nadim tidak lain tidak bukan ialah inovasi (daya cipta). Fobia persaingan sebenarnya ialah fobia inovasi. Yang takut nak maju ke depan kerana tidak dapat mencipta atau menguasai idea, ilmu dan teknologi baharu ingin menghentikan masa dan 'mengurung' semua orang lain dalam dunia lama.Siapa yang menanggung rugi apabila persaingan berjaya dihapuskan?
Kalau dalam ekonomi, mangsanya ialah pengguna apabila persaingan dihapuskan oleh monopoli. Tanpa persaingan, Sang Monopoli bukan sahaja boleh menaikkan harga setinggi-tingginya, dia juga tidak ada inisiatif untuk mempertingkat mutu barangan atau perkhidmatannya.
Monopoli dalaman perlukan dasar perlindungan untuk mengekalkan dominasinya. Kosnya ialah kemunduran, dan apabila dasar perlindungan terpaksa dibatalkan kerana kemunduran yang terlampau, pasaran akan dikuasai oleh pesaing. Jadi, monopoli dalam ekonomi sekalipun berjaya menghapuskan pesaing dalaman, akhirnya akan dikalahkan oleh pesaing luaran yang lebih kuat.
Kalau dalam politik, mangsanya ialah rakyat atau ahli parti apabila persaingan demokratik dihapuskan oleh diktator atau penguasa oligarki. Bukan sahaja rakyat atau ahli parti kehilangan pilihan, mereka juga tidak dapat menghalau pemimpin apabila pemimpin berkenaan bersikap harapkan pagar, pagar makan padi.
Paling mudarat, persaingan tidak mungkin dapat dihapuskan. Apabila negara mundur dan miskin kerana tiada persaingan dalaman untuk membawa inovasi serta semak dan imbang, maka negara akan dikuasai negara lain yang lebih berdaya saing.
Apabila parti berjaya menghapuskan pesaing dalaman sehingga ketandusan inovasi dan kehilangan integriti, ia akhirnya akan dihapuskan oleh pesaing luaran. Untuk masyarakat maju ke depan, tak kira dalam hidup ekonomi atau politik, kita mesti mengalahkan fobia persaingan, yang sebenarnya juga fobia kepada invosi serta semak dan imbang.
Takut bersaing, sudahnya kalah. Bezanya cuma kalah di tangan siapa dan bila.
Dari Makasar datangnya Daing,
Pergi ke Batam membawa kadim;
Hidup ini perlu berani bersaing,
Ambillah teladan kisah Hang Nadim.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca