SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal membebaskan beberapa akaun milik parti itu secepat mungkin daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal membebaskan beberapa akaun milik parti itu secepat mungkin daripada terus dibeku ketika ini.

Hal ini kerana Ketua Bersatu Terengganu itu yakin parti berkenaan tidak terlibat dengan sebarang penyelewengan dana bantuan Covid-19 semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan daripada tahun 2020 hingga 2021.

Razali berkata, beliau difahamkan Bersatu bukan sahaja sudah memberikan kerjasama penuh bahkan telah menyerahkan segala dokumen diperlukan bagi membantu siasatan kes SPRM.

"Saya sudah mendapat penjelasan daripada ibu pejabat parti dan mereka memaklumkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana bantuan Covid-19 semasa PN menjadi kerajaan selama 17 bulan.

"Saya percaya ibu pejabat Bersatu memberikan kerjasama penuh dan menyerahkan semua dokumen diperlukan SPRM kerana kami tidak melakukan apa-apa penyelewengan dan 'nothing to hide (tiada apa mahu disembunyikan)'.

"Jadi saya yakin akaun Bersatu akan diaktifkan semula selepas siasatan SPRM selesai. Justeru, saya berharap SPRM dapat menjalankan siasatan secara adil dan telus tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Razali berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan pihaknya sudah membekukan beberapa akaun milik Bersatu bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

RAZALI

Azam berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Dalam pada itu, Razali berkata, beliau difahamkan hanya akaun ibu pejabat Bersatu dibekukan manakala akaun parti negeri termasuk Terengganu diketuainya masih boleh digunakan seperti biasa.

"Setakat ini, akaun Bersatu Terengganu tidak dibekukan kerana kami tidak mempunyai banyak simpanan. Saya yakin akaun Bersatu yang dibekukan oleh SPRM akan dilepaskan semula tidak lama lagi.

"Saya juga berharap SPRM dapat melakukan siasatan secara terperinci, adil dan telus bagi mengenal pasti serta mendakwa mereka terbabit kes penyewengan dana kerajaan berkenaan jika ada,"katanya.

Pada Disember tahun lalu, SPRM telah menerima butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan Covid-19.

Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Klik di sini untuk terus membaca