TANJONG KARANG - Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar awam di seluruh negara mendapati harga sayur mengalami kenaikan sehingga peniaga tiada pilihan terpaksa menaikkan harga barang keperluan rakyat itu.
Di Pasar Awam Tanjong Karang di sini, harga beberapa jenis sayuran mengalami kenaikan mendadak sehingga RM5 sekilogram sejak tujuh hari lalu.
Tinjauan mendapati peniaga terpaksa menaikkan harga sayuran berkenaan kerana berlaku kenaikan harga borong.
Peniaga sayur, Siti Aminah Mohamed Amir, 36, berkata, harga kacang panjang misalnya, mengalami kenaikan daripada RM10 sekilogram kepada RM15 sekilogram.
"Kacang panjang sememangnya mendapat permintaan tinggi dan harganya naik mendadak selepas Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelas Siti Aminah, kenaikan harga tersebut dipercayai berpunca daripada kekurangan bekalan sayuran di pasaran.
Peniaga sayur, Sawandi Berahim, 69, pula berkata, harga sayuran tidak stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
"Sayur meranti dan kangkung misalnya, sebelum ini dijual RM4.50 sekilogram tetapi sekarang ia meningkat kepada RM7 sekilogram,” katanya yang mula berniaga sejak 20 tahun lalu.
Seorang lagi peniaga sayur, Mohamad Jahari, 34, berkata, antara sayur yang naik harga ialah tomato iaitu daripada RM8 sekilogram dijual kepada RM12 sekilogram.
"Sayur lain yang turut mengalami kenaikan harga ialah kangkung daripada RM5 kepada RM7 sekilogram, manakala sayur pak choy daripada RM10 sekilogram kepada RM12 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini mempunyai kaitan dengan peningkatan harga baja dan racun.
"Kos input pertanian naik mendadak dan perkembangan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kenaikan harga sayuran yang dijual di pasaran,” ujarnya.
Di PULAU PINANG, peniaga sayur-sayuran di pasar awam di sekitar Seberang Perai tidak mempunyai pilihan, selain menaikkan harga jualan berikutan mendapat bekalan beberapa jenis sayuran dengan harga tinggi sejak kebelakangan ini.
Tinjauan mendapati rata-rata mereka mengakui kenaikan harga yang berlaku dalam tempoh sebulan ini agak mendadak, namun tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar berikutan mendapatkan bekalan sayur-sayuran daripada orang tengah.
Peniaga di Pasar Awam Kepala Batas, Kuggan Saravanan berkata, bendi, timun, tomato dan kacang panjang antara sayuran yang meningkat harga sekali ganda tetapi masih mendapat permintaan pelanggan.
Menurutnya, kenaikan harga dipercayai berlaku akibat kekurangan tenaga kerja di kebun sayuran, selain kekurangan hasil berikutan cuaca tidak menentu sejak Januari lalu.
"Nak tak nak kami terpaksa jual dengan harga ini. Nasib baik pelanggan faham tetapi ada juga mengeluh dengan kenaikan yang berlaku,” katanya.
Peniaga di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya, Lim Kok Tek pula berkata, sepanjang 30 tahun dia menjual sayur-sayuran, kenaikan harga yang berlaku kali ini dianggap paling tinggi walaupun ia melibatkan sayuran ‘kampung’.
"Sudah dua bulan harga sayur di sini tidak menentu. Memang agak mahal tapi kami (peniaga) pun bukan ambil untung banyak dan faham ramai pelanggan yang terkesan dengan kenaikan ini,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Yah Saad pula mendakwa kenaikan harga yang berlaku mungkin manipulasi orang tengah yang mengaut keuntungan lebih hingga menyebabkan peniaga sepertinya tersepit dan terpaksa menaikkan harga.
Katanya, ada dalam kalangan peniaga di pasar awam berkenaan yang terus mendapat bekalan sayuran dari kebun dengan harga lebih berpatutan.
"Kalau nak ambil terus daripada pekebun, mesti ambil stok bekalan yang banyak, sebab itu saya terpaksa ambil sayur-sayuran ini daripada pemborong sahaja sebelum dijual di sini dengan harga sedikit naik sejak dua minggu lalu,” katanya.
Kekurangan bekalan
Di MELAKA, peniaga sayur di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang di sini mendakwa kebanyakan harga sayur naik selepas Tahun Baharu Cina.
Peniaga, K Kumar, 43, berkata, antara sayuran yang sukar didapati termasuk kacang panjang dan dijual dengan harga lebih tinggi iaitu RM10.70 bagi sekilogram, berbanding harga sebelum perayaan antara RM6 hingga RM7 sahaja.
"Disebabkan masalah ini, saya yang bertahun menjual sayur rasa tak bersemangat nak berniaga sebab untung terlalu sedikit dan ramai pelanggan tak dapat nak beli sayur.
"Kita tak boleh nak jual mahal di pasar kerana yang datang membeli bukanlah orang senang, ada juga golongan susah,” ujarnya.
Katanya, kekurangan bekalan sayur termasuk sayur bendi yang kebiasaan dihantar pembekal sebanyak 30 kilogram (kg) sehari, namun kali ini hanya mampu menghantar 10kg sahaja dan ia tidak dapat menampung permintaan pelanggan.
Seorang lagi peniaga, Kalsom Kassim, 62, turut bersetuju berlaku kenaikan harga sayur-sayuran seperti tomato dari RM3 hingga RM5 sekilogram kini mencecah RM11 sekilogram.
"Itu belum lagi tomato yang rosak, jadi kita peniaga sayur-sayuran memang terkesan,” katanya.
Kalsom berkata, disebabkan kekurangan bekalan, dia terpaksa menjual sayur-sayuran kepada pelanggan tetap sahaja terutama peniaga makanan.
Di JOHOR, beberapa peniaga yang ditemui di pasar awam di Pontian mendakwa bekalan yang diterima daripada pembekal bagi tomato cukup tinggi harganya menyebabkan harga jualan sayur itu terpaksa dinaikkan.
Peniaga, Siti Norlizah Rosmin, 56, berkata, tomato antara sayur- sayuran yang mengalami kenaikan harga ketara 100 peratus sejak hampir sebulan lalu.
"Kenaikan harga sayur sejak bulan November lalu menyebabkan harganya melambung sekali gus menjejaskan ekonomi peniaga dan pembeli.
"Tomato paling ketara naik, dahulu harganya cuma RM40 bagi 10kg yang dijual di dalam kotak tetapi sekarang harganya RM90 bagi 10kg.
"Begitu juga dengan daun sup, dahulu harganya RM15 sekilogram tetapi sekarang RM22 sekilogram. Sayur hijau seperti bendi, kangkung dan bayam turut berlaku kenaikan sekitar RM1.
"Kami peniaga perlu bijak atur harga jualan supaya munasabah. Kami juga tersepit kerana untung diperoleh sangat kecil,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Md Shukor Rosli, 40, pula mendakwa, kenaikan harga sayur tidak menentu sebelum ini dan kini harganya mendadak naik.
"Harga sayur naik turun sebelum ini tetapi sekarang macam melampau pula. Saya ambil contoh, tomato dahulu RM40 ringgit untuk 10 kilogram, sekarang RM90 bagi 10 kilogram.
"Ada juga pembeli yang tanya sebab harga sayur naik. Kami peniaga terima bekalan daripada pemborong pun dah tinggi harganya,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca