KUANTAN - Kenaikan harga beberapa jenis sayur sehingga mencecah hampir 100 peratus turut berlaku di negeri ini bukan sahaja membebankan pengguna, malah turut memberi kesan kepada peniaga sayur sendiri.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kuantan di sini mendapati rata-rata peniaga sayur meluahkan kebimbangan mereka kerana situasi itu akan menjejaskan perniagaan mereka sekiranya berlanjutan.
Peniaga sayur, Yong Wei Sing, 36, berkata, kenaikan harga sayur itu ketara berlaku selepas perayaan Tahun Baru Cina.
Menurutnya, kebanyakan sayur mengalami peningkatan harga, namun paling ketara tomato, bendi, kacang panjang dan timun.
"Sebelum ini, harga bagi sekilogram tomato dalam lingkungan RM8, namun kini RM11 manakala bendi dari RM8 kepada RM12 sekilogram.
"Timun sebelum ini kita boleh jual RM3 hingga RM4 sekilo tapi sekarang mencecah RM6 begitu juga dengan kacang panjang dari RM7 kepada RM11,” katanya.
Wei Sing berkata, sebagai peniaga dia terkesan dengan situasi itu kerana pengguna akan mengurangkan pembelian disebabkan harga yang terlalu tinggi.
"Beberapa peniaga kedai runcit yang selalu dapatkan bekalan sayur di gerai saya ini juga hentikan pembelian kerana isu kenaikan harga ini.
"Bila harga tinggi, mereka bimbang tidak dapat menjualnya dan terpaksa mengalami kerugian,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga sayur, Yusaini Arif Abu Bakar, 53, pula berkata, isu kenaikan harga sayur bukan isu baharu, sebaliknya berlaku setiap tahun atas beberapa faktor.
Menurutnya, keadaan itu memang membebankan peniaga namun tidak boleh dielakkan.
"Kita akui kerana pihak pekebun tidak dapat menanam sayur mengikut pusingan seperti biasa disebabkan faktor cuaca. Bila proses penanaman terganggu, hasil tidak dapat dituai mengikut jadual hingga berlaku kekurangan bekalan,” katanya.
Dia yang berniaga sayur sejak 30 lalu memahami situasi itu namun berharap ia tidak berpanjangan.
"Bila pelanggan merungut harga tinggi, kita pun tidak seronok kerana permintaan akan merosot.
"Sebab itu sekarang ini saya kurangkan sedikit pembelian stok bagi mengelak kerugian kerana sayur tidak boleh simpan lama, cepat rosak,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Mohd Nasrul Harun, 32, kenaikan harga sayur memaksa peniaga sepertinya mengeluarkan kos modal yang tinggi dan potensi rugi agak besar sekiranya pelanggan mengurangkan pembelian.
Bagaimanapun, katanya, ketika ini perniagaannya berjalan seperti biasa kerana sayur adalah keperluan setiap hari.
"Pelanggan tetap datang cuma paling bimbang, kenaikan harga ini akan melibatkan semua jenis sayuran. Kita untung kecil sahaja, jadi kalau pelanggan kurang, itu masalah besar,” katanya.
Cuaca buruk, banjir punca tanaman sayur kurang hasil
Dalam pada itu, Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands menjelaskan faktor cuaca menjadi punca kenaikan harga sayur-sayuran tempatan.
Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, isu seperti hujan dan banjir itu didapati mengurangkan penghasilan tanaman, sekali gus menjejaskan rantaian pengeluaran.
Namun, beliau berkata, kenaikan harga sayur-sayuran dilakukan pihak pemborong bukan petani.
"Sekarang ini cuaca buruk selain kerap hujan, suhu malam boleh mencapai hingga 12 darjah Celsius menyebabkan penanaman sayur kurang mendapat hasilnya.
"Susulan itu, pengeluaran sayur berkurangan tetapi permintaan tinggi, sekali gus mengakibatkan harga melonjak naik,” ujarnya.
Menurutnya, harga sayur yang naik seperti tomato, bendi, terung, kekacang termasuk timun. Kesan harga timun pula disebabkan banjir di Johor baru-baru ini, cuaca buruk tersebut berlarutan sejak Disember hingga Januari.
"Namun lonjakan harga itu bukan petani (putuskan) sebaliknya pemborong, yang mengikut demand and supply (permintaan dan penawaran) itu," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 160 peratus sejak sebulan lalu.
Sementara itu, Ee Mong berkata, pihak mereka juga runsing apabila memikirkan jika hujan masih berlarutan boleh mendatangkan risiko wabak kepada tanaman.
"Kos penanaman tinggi tidak menjadi masalah cuma apabila pengeluaran kurang kerana hujan menyebabkan kelembapan tinggi, mendatangkan risiko wabak terhadap tanaman.
"Tetapi, jangkaan kenaikan harga sayur itu tidak dapat dipastikan sehingga bila. Namun ada ramalan mengatakan sehingga Mac jadi jika itu berlaku, bukan pengguna sahaja yang susah hati (disebabkan harga), kita sebagai petani pun sama, tiada pengeluaran, bayaran (pendapatan) pun rendah,” ujarnya.
Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid pula memaklumkan pengeluaran sayur kini dilihat berkurangan sebanyak 25 peratus disebabkan hujan.
"Harga sayur naik kerana cuaca tidak begitu baik. Selama tiga bulan, hujan kerap turun dan mata air pun tiada jadi pengeluaran (sayur) itu kurang. Selain itu, kualiti sayur-sayuran jika tiada pelindung hujan, tidak begitu baik.
"Pengeluaran sayur kini berkurangan kira-kira 25 peratus, sekali gus menyebabkan harga sedikit meningkat. Kebanyakan sayur yang naik adalah seperti cili, tomato, kobis,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca