LEBIH sebulan memasuki tahun 2023, majoriti rakyat masih terus mengeluh isi dompet masing-masing semakin menipis disebabkan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup membebankan.
Diakui, isu kenaikan harga makanan bukan baru sehari dua berlaku, namun tetap perlu diberi perhatian serius semua pihak terlibat bagi mengelak perkara itu berterusan mengasak kelangsungan hidup rakyat.
Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur sikap segelintir peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman meskipun harga bahan mentah di pasaran dikatakan telah turun.
Beliau menyeru kerjasama peniaga untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah, selain menyarankan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.
Peningkatan inflasi
Terkini, Rafizi mendedahkan pula harga makanan dan minuman siap yang dibeli di hotel, restoran dan kedai makan merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan inflasi.
"Walaupun semua komponen lain dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun secara sederhana, harga makanan dan minuman telah meningkat lebih tinggi.
"Apabila kos bahan mentah meningkat dua peratus, kenaikan harga di restoran, hotel dan lain-lain meningkat sebanyak tujuh peratus iaitu lebih tiga kali ganda kenaikan barangan mentah,” ujarnya pada sidang media kementeriannya pada Rabu.
Untuk rekod, kadar inflasi negara pada tahun lalu adalah 3.3 peratus, lebih tinggi dua peratus daripada tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, sekali lagi ditekankan pentingnya sikap cakna semua pihak termasuk kerajaan, peniaga hingga pengguna bagi membantu mengawal kadar inflasi.
Antara inisiatif untuk pengguna yang dicadangkan adalah menerusi platform data terbuka, OpenDOSM NextGen yang dilancarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 12 Januari 2023 di mana ia mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara.
Kerajaan berharap melalui penerbitan data itu dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih tepat, dan seterusnya menjadikan permintaan lebih anjal di samping mengawal kenaikan harga.
Bagaimanapun, menurut Felo Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar, saranan itu agak tidak praktikal untuk dilaksanakan oleh pengguna.
"Apabila pengguna beli barang, misalnya dari pasar, pengguna biasanya akan bandingkan harga antara kedai. Kalau mampu, kita beli, kalau mahal, tidak beli.
"Saya berpendapat agak kurang praktikal sekiranya pengguna perlu merujuk kepada data dari DOSM sebelum membuat pembelian. Tambahan pula data yang dikeluarkan akan mengambil masa untuk dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Pemantauan setiap peringkat
Dalam pada itu, Nambiar turut berkata, peranan pelaksanaan pemantauan untuk mengawal harga barangan dan makanan belum tentu dapat menjamin harga turun.
"Harga makanan di restoran mahal disebabkan pelbagai faktor termasuk harga barangan mentah dan lain-lain yang berkaitan seperti sewa dan sebagainya. Harga makanan yang dijual kepada pengguna adalah end result setelah mengambil kira semua faktor tersebut.
"Isunya mampukah pemantauan dilaksanakan di setiap peringkat bagi memastikan harga makanan yang sampai kepada pengguna tidak membebankan?” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, dalam sistem pasaran bebas, peranan kerajaan sebenarnya bukan untuk mengekang harga sebaliknya bertujuan memantaunya.
Bagaimanapun, terdapat kes di mana pengguna masih tetap memilih makan di satu-satu restoran yang biasa dikunjungi meskipun terdapat peningkatan harga.
"Ini kita panggil teori kelakuan pengguna yang tetap selesa dengan premis makanan pilihan mereka walaupun ada premis lain dengan harga lebih murah.
"Akhirnya terpulang kepada pengguna dengan kuasa memilih yang ada di tangan untuk menentukan pilihan mana yang lebih baik agar kewangan masing-masing tidak terbeban,” katanya lagi.
Rantaian makanan
Berhubung strategi baharu sedang dirangka beberapa agensi kerajaan sebagai solusi penyelesaian segera kepada isu kos sara hidup, Barjoyai berkata, kerajaan sebaiknya mengemukakan satu syor untuk memendekkan rantaian pasaran.
"Buat masa ini rantaian pasaran untuk barangan sampai kepada pengguna melibatkan banyak peringkat daripada pengeluar, pengilang, pemborong, peruncit, untuk makanan pula mungkin melalui pasar borong misalnya.
"Semua rantaian ini menyebabkan penambahan kos berikutan ada margin keuntungan diambil oleh pihak terlibat.
"Jadi jika ada mekanisme untuk memendekkan rantaian itu, maka lebih banyak dapat dijimatkan sekali gus memastikan penawaran harga kepada pengguna akhir akan lebih berpatutan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca