BELUM sempat suhu politik negara reda susulan berita pemecatan dan penggantungan beberapa ahli parti UMNO baru-baru ini, tumpuan ramai kini terarah kepada tindakan pembekuan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh... Klik di sini untuk terus membaca

BELUM sempat suhu politik negara reda susulan berita pemecatan dan penggantungan beberapa ahli parti UMNO baru-baru ini, tumpuan ramai kini terarah kepada tindakan pembekuan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada Rabu, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan terdapat beberapa akaun milik parti yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibekukan bagi tujuan membantu siasatan ke atas wang yang disyaki diperoleh daripada hasil haram.

Siasatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Turut dilaporkan sumber, tindakan pembekuan adalah berasaskan dakwaan Bersatu menerima RM300 juta daripada kira-kira 10 kontraktor yang mendapat pelbagai projek ketika parti itu menjadi kerajaan Persekutuan.

Menariknya, sementara menanti hasil siasatan telus untuk membuktikan sama ada parti Bersatu berada di pihak yang benar atau batil, timbul persoalan sama ada tindakan pembekuan itu sekadar taktik kerajaan Pakatan Harapan (PH)—Barisan Nasional (BN) untuk membendung pengaruh PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada tahun ini?

"Saya tidak menolak langkah kerajaan membekukan akaun parti Bersatu membenarkan persepsi umum bahawa ia adalah langkah politik untuk mengekang pengaruh PN,” ujar Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar kepada Sinar Premium pada Khamis.

Keutuhan koalisi PN sebelum ini menjadi tanda tanya susulan Pas dilihat masih memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO yang merupakan musuh ketat Bersatu.

Maklumnya, PN telah membuktikan keupayaan sebagai sebuah parti yang mampu memberikan kejutan besar kepada PH dan BN ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, justeru tidak hairan sekiranya langkah sebegini diambil parti lawan untuk menyekat kemaraannya.

"Pada masa sama, ia akan menjadikan PN leka dan sibuk dalam menepis persepsi bahawa mereka terpalit dengan politik wang semasa PRU15 lalu dari sumber yang meragukan,” katanya.

Tambahnya, selain merencatkan reputasi PN sebagai sebuah parti yang menampilkan imej bersih dan stabil, kesan daripada pembekuan akaun Bersatu oleh SPRM itu berisiko mengganggu persiapan parti menjelang PRN akan datang.

Hal tersebut diperakui Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengatakan parti kecil itu tidak mempunyai wang yang banyak dan impak daripada pembekuan beberapa akaun itu akan menjejaskan kempen PRN sekiranya ia berlaku dalam masa terdekat.

Dari satu sudut lain, Hisomuddin berpendapat tindakan pembekuan akaun oleh SPRM itu juga adalah sebahagian usaha Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentang rasuah serta berusaha memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah yang merosot mutakhir ini.

Tugas SPRM

Bagi Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, dalam isu terkini membabitkan Bersatu, SPRM hanya menjalankan tanggungjawab menjalankan siasatan apabila menerima aduan.

"Hal ini bukan kali pertama berlaku dalam mana-mana kerajaan dan ia selalunya dikaitkan dengan kepimpinan dan kerajaan.

"Walhal tindakan sebegitu adalah amanah agensi atau jabatan berwajib,” ujar Sivamurugan.

Untuk rekod, langkah sama turut pernah diambil kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap UMNO selepas PRU14.

Menurutnya, isu Bersatu ini juga mampu menjejaskan legitimasi moral rakyat terhadap parti berkenaan, lebih-lebih lagi pada saat PN bakal mendepani PRN di enam negeri tahun ini.

"Sekiranya isu legitimasi moral ini dimainkan mana-mana parti, ia boleh mempengaruhi pola pengundian sekali gus memberi kesan terhadap PRN akan datang.

"Dari sudut positif, sekiranya tidak wujud sebarang elemen salah laku maka pihak yang dituduh dapat membersihkan segala persepsi buruk yang terpalit ke atas mereka sebelum ini.

"Dari sudut negatif, sekiranya terbukti wujud elemen salah laku, maka pihak tertuduh akan berdepan kesukaran untuk mencari ruang justifikasi,” ujar beliau.

Katanya, langkah pembekuan itu tidak mustahil boleh membantu melonjakkan lagi kemaraan PN sekiranya siasatan akhir memihak kepada mereka.

"Jika didapati tiada sebarang kesalahan dilakukan, ia sebenarnya boleh dianggap membantu PN menaikkan imej parti itu sebagai sebuah parti politik yang mempertahankan soal integriti dan moral,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca