PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpandangan, Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) perlu diberi ruang untuk dinilai semula supaya dapat memberi penekanan kepada inisiatif berimpak tinggi dalam usaha... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpandangan, Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) perlu diberi ruang untuk dinilai semula supaya dapat memberi penekanan kepada inisiatif berimpak tinggi dalam usaha memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

Pengarah Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, secara tidak langsung, ia menyokong komitmen kerajaan dalam mendepani isu rakyat khususnya usaha memulih, menstabil dan memperkasakan ekonomi negara.

"Saranan penambahbaikan ini melibatkan inisiatif NACP yang sedang diterajui dan dilaksanakan oleh pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan proses libat urus berterusan membabitkan pelbagai pemegang taruh dalaman serta luaran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Hafaz berkata, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan turut menerima Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sebagai asas pengukuran tata kelola baik sesebuah negara dan telah menetapkan sasaran penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025.

Mohd Hafaz turut mengulas kenyataan Presiden Transparency International (TI)-Malaysia, Dr Muhammad Mohan berkenaan CPI Malaysia 2022 yang dikeluarkan oleh TI terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.

"SPRM menerima pandangan tersebut dengan minda terbuka yang menyentuh aspek pentadbiran awam, pemerkasaan undang-undang tata kelola dan pemerkasaan serta kebebasan SPRM (kewangan, keanggotaan, mandat),” katanya.

Beliau berkata, SPRM ingin menekankan bahawa sepanjang tahun lalu, tindakan telah diambil terhadap kes-kes besar yang berkepentingan awam seperti kes Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

"Disebabkan siasatan masih dijalankan yang melibatkan negara asing, maklumat siasatan tidak boleh didedahkan kerana ia akan menjejaskan siasatan.

"Kekurangan ketelusan maklumat ini mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap siasatan SPRM dan komitmen kerajaan seolah-olah tiada tindakan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, ulasan TI-Malaysia juga tidak mengambil kira kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang berjaya disiasat dan diambil tindakan undang-undang, termasuk yang membabitkan penjawat awam.

"Antaranya ialah kejayaan kes SRC yang membawa kepada hukuman penjara bekas Perdana Menteri dan kes pembekalan elektrik solar kepada sekolah-sekolah pedalaman Sarawak yang berjaya mensabitkan Datin Seri Rosmah Mansor pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun yang sama, Op Power iaitu operasi yang melumpuhkan sindiket mencuri elektrik untuk pelombongan bitcoin telah berjaya dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Op Mitra 2.0 yang membabitkan penyelewengan berjuta-juta dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) serta Op Hire berkaitan penyelewengan dana PenjanaKerjaya di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya memberkas suspek-suspek terlibat,” katanya.

"Pada tahun ini menyaksikan berpuluh-puluh pertuduhan telah dilakukan terhadap mereka yang disyaki terlibat menyeleweng dana yang diperuntukkan untuk menjana ekonomi ketika pandemik Covid-19 itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut berusaha membangunkan indeks tata kelola nasional seperti Malaysian Governans Indeks (MGI) yang bersifat evidence and outcome-based bagi mengukur tata kelola negara.

"SPRM juga sedang mengusahakan satu kajian komprehensif nasional antirasuah berdasarkan kajian Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang menekankan pengukuran pengalaman rasuah berbanding persepsi dengan memanfaatkan data primer dan data pentadbiran.

"Kajian berdasarkan pengalaman dan bukti (experience and evidence-based data) mampu melengkapi (complement) kajian indeks CPI yang berasaskan persepsi agar memberikan gambaran yang lebih jelas, jitu dan menyeluruh tentang tahap dan faktor rasuah di Malaysia,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca