PADA 1 Februari lalu, genap dua tahun kudeta oleh tentera Myanmar yang merampas kuasa daripada kerajaan, yang sepatutnya ditubuhkan oleh ahli-ahli parlimen pimpinan Aung San Suu Kyi dan parti NLD, yang beroleh kemenangan besar dalam pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 1 Februari lalu, genap dua tahun kudeta oleh tentera Myanmar yang merampas kuasa daripada kerajaan, yang sepatutnya ditubuhkan oleh ahli-ahli parlimen pimpinan Aung San Suu Kyi dan parti NLD, yang beroleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum bebas dan adil.

Sejak peristiwa tersebut, dari sehari ke sehari, penderitaan dialami rakyat menjadi semakin teruk. Sehingga Disember lalu, lebih 18,500 pertembungan bersenjata dan serangan telah berlaku. Seramai 1.2 juta rakyat menjadi orang pelarian dan lebih 2,500 orang awam dibunuh, manakala 1,500 dipenjarakan.

Ekonomi telah menguncup sebanyak 15 peratus, inflasi melonjak sehingga 19.4 peratus, kadar kemiskinan meningkat sekali ganda sehingga 40 peratus, dan 34 peratus rakyat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Di sebalik kezaliman junta, gerakan prodemokrasi rakyat semakin kuat. Perhubungan dan kerjasama antara pelbagai pihak yang menentang junta semakin teguh. Kini, mereka mengawal majoriti daripada kawasan-kawasan di dalam negara tersebut.

Saya telah bertemu, dan akan terus berhubung dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) dan pemegang-pemegang taruh yang lain.

Saya difahamkan, dua pasukan kementerian luar negara-negara anggota ASEAN yang lain juga telah bertemu mereka. ASEAN dan komuniti antarabangsa perlu menyokong mereka. Usah hampakan mereka.

Hari ini, ASEAN dan komuniti antarabangsa mesti berbuat lebih daripada apa yang telah dilakukan selama ini. Apa yang perlu disegerakan ialah dua tindakan besar, umpama kedua-dua belah duit syiling iaitu di satu pihak memperkuatkan gerakan prodemokrasi, dan di pihak yang satu lagi, melemahkan junta.

Bagi memperkuatkan gerakan prodemokrasi, ASEAN perlu mengadakan pertemuan (yang diuar-uarkan) dengan NUG, NUCC dan pemegang-pemegang taruh yang lain.

Ia bertujuan mengimplementasi satu kerangka yang punya end game yang jelas, iaitu menegakkan demokrasi yang menjamin kebebasan dan keadilan buat semua.

Proses merealisasikan kerangka ini perlu melibatkan pelbagai perkara, tetapi hendaklah diketuai oleh gerakan prodemokrasi Myanmar.

Bagi melemahkan junta, komuniti antarabangsa perlu mengenakan tekanan dan sekatan yang lebih keras, iaitu jangan membekalkan senjata, peralatannya dan petrol berkaitan ketenteraan kepada junta. Dan halang junta daripada mengadakan pilihan raya, kerana ia sudah tentu adalah pilihan raya yang palsu.

Pada masa sama, ASEAN perlu memikirkan adakah masanya telah tiba untuk mengkaji semula Konsensus Lima Perkara (K5P). Ini kerana, sehingga hari ini, adalah jelas bahawa K5P tidak menunjukkan apa-apa kemajuan positif.

Sekiranya ia hendak diteruskan juga, maka, ia memerlukan satu penambahbaikan yang serius, contohnya, dengan melaksanakan satu kerangka yang punya end game yang jelas. Atau menukar K5P dengan sesuatu benar-benar berkesan.

*Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca