SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan beliau bakal mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti yang dijadualkan akan diadakan pada Mac ini. Pengesahan Mohamed Khaled itu sudah dijangka memandangkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan beliau bakal mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti yang dijadualkan akan diadakan pada Mac ini.

Pengesahan Mohamed Khaled itu sudah dijangka memandangkan beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.

Berikutan itu, peluang beliau untuk mengekalkan jawatan ketiga tertinggi UMNO selepas jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dianggap cerah oleh sebilangan pemerhati politik ketika ini.

Lebih-lebih lagi, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu diberi kepercayaan menjadi Pengerusi UMNO Johor oleh pucuk kepimpinan parti minggu lalu, bagi menggantikan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Ir Hasni Mohammad yang digugurkan.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled enggan mendabik dada terhadap peluang beliau kali ini dan menganggap kesemua calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti mempunyai peluang sama rata.

"Ya, saya akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO untuk pemilihan kali ini.

"Bagi saya, persoalan mengenai peluang ini tidak berbangkit. Semua yang bertanding mempunyai peluang yang sama rata untuk dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.

"Keputusan pemilihan bergantung kepada pilihan akar umbi dan saya menyerahkan sepenuhnya kepada akar umbi untuk menentukannya," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Selain Mohamed Khaled, Sinar Premium dimaklumkan terdapat sembilan lagi pemimpin terkemuka yang dijangka bertanding bagi merebut kuota tiga jawatan Naib Presiden UMNO kelak.

Sembilan 'otai UMNO' itu adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut dijangka bertanding ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, Zambry sewaktu dihubungi menegaskan beliau masih membuat penilaian sebaiknya sama ada bakal bertanding jawatan Naib Presiden atau kekal mempertahankan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang disandang ketika ini.

Ujarnya, dengan parti memberi kepercayaan melantik beliau sebagai Setiausaha Agung BN dan Menteri Luar dalam kabinet Kerajaan Perpaduan, bekas Menteri Besar Perak itu perlu memastikan sebarang keputusan dibuat tidak akan mengundang perpecahan dalaman parti.

"Paling mustahak, parti perlu berada dalam keadaan baik dengan sebarang pertandingan jawatan hendaklah diadakan secara kekeluargaan dan tidak membawa kepada perpecahan.

"Saya yakin semua ahli parti akan memberi penilaian terbaik dan bakal memilih calon-calon berketrampilan untuk membawa parti ke hadapan. Sebaiknya semua pihak perlu berjalan seiringan memastikan UMNO dapat bergerak dengan lebih maju bersama kepimpinan sedia ada," tegas Zambry.

Ditanya sama ada persaingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO bakal melibatkan jumlah pemimpin mencecah 10 orang, Zambry bingkas menyifatkan perkara itu sekadar khabar angin.

Mengakui parti tidak boleh menghalang mana-mana pemimpin daripada bertanding, Menteri Luar itu menegaskan jumlah sebenar pencalonan daripada jawatan Naib Presiden hanya akan diketahui selepas tamat tempoh penamaan calon sebelum jam 5 petang, 26 Februari hadapan.

"Biasanya akan ada tinjauan-tinjauan daripada calon-calon yang ingin memberikan khidmat mereka dalam posisi jawatan tinggi parti. Tetapi seperti biasa, dalam pemilihan parti, apabila tamat tempoh penamaan calon-calon pemilihan, ketika itu baru tahu berapa ramai akan bertanding.

"Soal pemilihan parti bakal menyatupadukan semula ahli UMNO juga perlu dilihat dari segenap sudut.

"Kena ingat proses tindakan disiplin yang dilakukan parti sebelum ini adalah satu keperluan untuk memastikan ahli-ahli lebih berdisiplin. Dalam konteks pemilihan, ia merupakan satu hal lain di mana calon-calon bebas menawarkan diri bertanding apa jua jawatan boleh dipertandingkan.

"Itu satu proses demokrasi yang parti perlu akur dan kita harapkan ahli-ahli UMNO akan membuat penilaian terbaik," tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca