LONDON - Britain berdepan ‘Walkout Wednesday’ ketika rantau Eropah sedang bergelut dengan krisis kos sara hidup yang tinggi.
Tindakan nekad kira-kira setengah juta pekerja telah melumpuhkan beberapa perkhidmatan termasuk rangkaian pengangkutan awam dan ribuan sekolah terpaksa ditutup pada Rabu.
Pusingan baharu mogok industri disifatkan paling besar sejak tahun 2011 itu dilancarkan sehari selepas lebih 1.27 juta penunjuk perasaan membanjiri jalan utama sekitar Perancis sebagai membantah rancangan pembaharuan sistem pencen di negara tersebut yang diumumkan Presiden Emmanuel Macron.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berpendapat, kenaikan gaji perlu dilakukan secara munasabah dan berpatutan kerana tindakan secara berlebih-lebihan akan menjejaskan usaha untuk menjinakkan inflasi.
Tetapi, Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) yang menjadi penganjur gelombang mogok itu mendakwa Sunak tidak peka dengan cabaran dihadapi pekerja biasa yang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup mereka dengan bayaran gaji rendah, kerja tidak selamat dan kos yang semakin meningkat.
TUC mendedahkan purata gaji pekerja sektor awam ialah 203 pound (RM1,060) sebulan dan jumlah itu dikatakan lebih rendah berbanding pada 2010 setelah mengambil kira kadar inflasi.
Pusingan mogok terbaharu itu disertai guru, pemandu kereta api, kakitangan pasukan sempadan untuk perkhidmatan udara dan pelabuhan.
Kesatuan guru menganggarkan 85 peratus sekolah di England dan Wales terjejas akibat tindakan mogok itu yang jelas menunjukkan tahap kemarahan golongan tersebut dalam profesion mereka.Selain itu, beberapa stesen kereta api di London turut lengang selepas penutupan operasi secara drastik.
"Beban kerja sentiasa bertambah, namun gaji kami tetap rendah dengan inflasi yang melambung tinggi. Kami sudah terlalu penat,” keluh seorang guru di London, Nigel Adams, 57, yang menyertai ribuan rakan sekerjanya berarak menuju ke tengah-tengah kota London sambil membawa plakad tertera ‘Naikkan Gaji Kami’.
Sejak beberapa bulan lalu, Britain dilanda gelombang mogok luar biasa terdiri daripada golongan profesional termasuk peguam dan pekerja sektor peruncitan setelah inflasi di negara itu melambung lebih 11 peratus, merupakan paras tertinggi dalam tempoh lebih 40 tahun.
Seorang wakil kesatuan itu yang hanya dikenali sebagai Graham memberitahu, golongan pekerja tiada pilihan lain kecuali mengadakan mogok untuk menarik perhatian kerajaan.
"Sebahagian daripada anggota kesatuan kami masih perlu mendapatkan bantuan bank makanan walaupun mereka masih bekerja,” ujarnya.
Beberapa pemimpin kesatuan pekerja turut menyelar sikap berdiam diri kerajaan terhadap tuntutan golongan tersebut.
"Tidak mustahil lebih ramai pekerja dalam bidang lain akan menyertai mogok ini yang mungkin akan berterusan sepanjang musim panas,” kata Ketua Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (PCS), Mark Serwotka.
Data rasmi terbaharu dikeluarkan Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) menunjukkan 1.6 juta hari bekerja terjejas bermula Jun hingga November 2022 kerana gelombang mogok tersebut yang merupakan angka tertinggi dalam tempoh tiga dekad.
Kali terakhir Britain menyaksikan tindakan berskala besar sama adalah kira-kira 12 tahun lalu apabila lebih sejuta pekerja sektor awam melancarkan mogok selama sehari kerana mempertikaikan sistem pencen. LONDON SUMBER: Agensi/ AFP
Klik di sini untuk terus membaca