KEENGGANAN UMNO untuk mengambil tindakan tegas terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sewaktu krisis kepimpinan negeri pada bulan lalu, menunjukkan amalan dwistandard dalam... Klik di sini untuk terus membaca

KEENGGANAN UMNO untuk mengambil tindakan tegas terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sewaktu krisis kepimpinan negeri pada bulan lalu, menunjukkan amalan dwistandard dalam parti seolah-olah wujud.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir menyifatkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Lembaga Disiplin UMNO tidak mengenakan sebarang tindakan disiplin terhadap lima ADUN itu sebagai tidak adil, mengambil kira nasib beberapa pemimpin parti yang telah dipecat dan digantung keahlian.

Hal ini susulan pada 8 Januari lalu, lima ADUN berkenaan iaitu ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya; Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) telah menandatangani akaun bersumpah (SD) bagi menyokong Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri.

Jeniri

Perkara tersebut jelas membelakangi keputusan UMNO Sabah diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sebulat suara menarik sokongan terhadap kepimpinan Hajiji yang didakwa tidak selari dengan Fasal 6 (3) dan (7) Perlembagaan Negeri Sabah, pada 6 Januari lalu.

Berikutan itu, timbul spekulasi bahawa mereka bakal dipecat atau digantung keahlian dalam mesyuarat MKT yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Mesyuarat MKT berkenaan tidak membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan lima ADUN yang telah mengkhianati UMNO Sabah.

CHIN HUAT

Keputusan itu jelas bertentangan dengan keputusan MKT pada hari sama yang memutuskan untuk memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas kesalahan pelanggaran peraturan parti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain Khairy dan Noh, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.

"Sikap pilih kasih UMNO yang hanya mengambil tindakan disiplin keras terhadap pemimpin tertentu dilihat mendatangkan ancaman kepada pucuk kepimpinan parti.

"Pastinya ia akan menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti.

"Kenapa perlu ada amalan dwistandard seperti itu? "UMNO perlu ambil tindakan tegas setimpal terhadap lima ADUN berkenaan supaya parti dilihat adil dan tidak wujud undang-undang dua darjat yang tidak baik untuk masa depan parti,” katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini, media melaporkan lima ADUN UMNO Sabah berkemungkinan digantung keahlian kerana memberi sokongan terhadap kepimpinan Hajiji dalam satu siri pergolakan politik di Negeri Bawah Bayu berkenaan.

Dilema pemecatan

Sementara itu, Jeniri berpandangan UMNO sebenarnya berdepan dilema untuk berbuat demikian disebabkan bimbang pengaruh parti itu semakin hilang di Sabah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan MKT terpaksa merelakan lima ADUN berkenaan dilepaskan daripada sebarang tindakan tatatertib bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam kalangan parti politik yang membentuk kerajaan campuran di peringkat Persekutuan.

Keratan akhbar Sinar Harian pada 9 Januari lalu.

"Oleh itu, jalan terbaik ialah melepaskan lima ADUN berkenaan tanpa dikenakan tindakan disiplin biar pun Perlembagaan UMNO jelas menuntut mereka dipecat atau digantung keahlian kerana melanggar arahan pucuk kepimpinan parti.

"Jika lima ADUN berkenaan dipecat, saya percaya kedudukan UMNO Sabah akan menjadi semakin lemah pada saat mereka sangat memerlukan sokongan semua wakil rakyatnya untuk meneruskan kelangsungan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, dua tahun lagi,” ujar Jeniri lagi.

Pandangan Jeniri turut dipersetujui Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat yang berpendapat UMNO enggan bertegas dengan lima ADUN Sabah berkenaan kerana mahu menjaga keharmonian parti-parti yang membentuk kerajaan di negeri berkenaan.

Ahmad Zahid (duduk, dua dari kiri) bersama Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) ketika mengadakan sidang akhbar selepas pertemuan dengan UMNO Sabah di Bangunan UMNO pada 30 Januari lalu.

"Nyata sekali, Ahmad Zahid tidak ingin mencetuskan lebih banyak medan perang. Jika UMNO mengambil tindakan terhadap lima ADUN, maka mereka pasti memilih keluar UMNO.

"Sekiranya senario itu berlaku, Ahmad Zahid akan lebih teruk dikecam kerana dianggap menyebabkan sokongan terhadap UMNO di Negeri Bawah Bayu itu semakin merosot,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca