MINGGU lalu sah UMNO telah memecat dan menggantung beberapa nama besar parti selepas desas-desus tentangnya bertiup kencang seusai Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Tindakan ‘pembersihan’ itu sebenarnya tidaklah mengejutkan, malah ia sudah pun bermula sejak hari penamaan calon UMNO ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dengan kritikan keras terhadap usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden daripada mereka yang terbabit, tindakan selepasnya bagai sudah dijangka. Justeru itu ia hanyalah pelengkap kepada apa yang sudah pun bermula.
Ada tiga perspektif bagi melihat apa yang berlaku. Pertama, adakah ini langkah untuk menyekat ‘perang proksi’ menguasai jawatan-jawatan strategik di peringkat bahagian, Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ketua-ketua sayap dan naib-naib presiden.
Memandangkan dua jawatan tertinggi sudah muktamad tidak dipertandingkan, jawatan-jawatan lain masih terbuka untuk direbut dan sangat penting untuk mengimbangi pengaruh serta kekuatan kem Presiden dalam parti.
Kedua, apakah tindakan ini tepat bagi memperkuatkan UMNO ketika parti berdepan krisis keyakinan bukan sahaja dalam kalangan pengundi malah ahli akar umbi.
Dengan pemilihan parti dan paling penting, Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal tiba dalam tempoh kurang dari enam bulan, perbalahan secara terbuka dan berskala besar sebegini akan menjejaskan UMNO.
Terakhir, apa masa depan UMNO selepasnya. Pemecatan tokoh popular seperti Khairy Jamaluddin (KJ) dan penggantungan protegenya, Shahril Sufian sudah tentu akan menjejaskan potensi parti untuk menarik pengundi muda dan atas pagar.
Dalam masa yang sama, menyekat penguasaan ‘warlord’ yang lain berpotensi untuk menjejaskan keharmonian memandangkan pengaruh mereka masih kuat dalam parti.
Paling penting, tempoh singkat antara pemilihan parti dan PRN mungkin menyukarkan UMNO untuk membuat perubahan pantas dan menyeluruh.
Namun perkiraan itu tidak menjadi masalah kalau Presiden dan pasukannya dapat melakukan tindakan yang tepat dan berkesan.
UMNO harus segera menaikkan mereka-mereka yang bersih dan berwibawa sebagai tokoh atau wajah masa depan parti. Ini mungkin suatu paradoks kepada UMNO sejak sekian lama.
Lihat bagaimana tindakan-tindakan parti yang kadang-kadang kontra dalam membuat perubahan ketika mana mereka melakukan perubahan, ia masih dipimpin oleh orang lama.
Malang buat UMNO kalau pembersihannya hanya penggantian sosok tetapi perangai lama dan budayanya tetap sama.
UMNO perlu sekurang-kurangnya perlu memastikan pengisian jawatan-jawatan kanan parti terutamanya Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ketua-ketua sayap dan naib-naib presiden menggambarkan pembersihan yang dibayangkan bukan sahaja oleh ahli parti tetapi aspirasi pengundi.
Kalau pembersihan tersebut hanya untuk menguatkan penguasaan Zahid, dari segi realiti politik parti ataupun persepsi pengundi, tiada sebab untuk melihat mengapa UMNO akan kembali diundi semula.
Realitinya UMNO sudah tidak mampu untuk menanggung sebarang krisis yang membesarkan jurang defisit keyakinan umum, apatah lagi ketika ia dilihat sedang merebak menjangkiti ahli parti sendiri.
Menyorot sejarah UMNO dan krisis kepimpinan yang melahirkan parti-parti serpihan, kemampuan parti-parti tersebut untuk menjatuhkan UMNO sangat menggerunkan.
Lihat bagaimana Parti Semangat 46 menyebabkan UMNO hilang Kelantan tahun 1990, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan berjaya menyatukan pembangkang serta pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal melahirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Warisan, dua parti bertanggungjawab menjatuhkan UMNO ketika PRU14.
Persoalannya, apakah sejarah tersebut masih tidak menggentarkan UMNO yang berani memecat dan menggantung tokoh-tokoh besar mereka – lebih ramai dari sebelumnya – walaupun UMNO berada dalam keadaan yang lebih rapuh dan lemah.
Atau apakah UMNO sebenarnya menggunakan peluang ini untuk betul-betul reform bagi membersihkan parti yang sepatutnya berlaku sejak hilang majoriti dua pertiga ketika dibadai tsunami politik tahun 2008.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca