SHAH ALAM - Jangan jadikan penempatan haram warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan seperti mana Bukit Malut di Langkawi, kata peguam, Norman Fernandez. Norman yang menjadi pemerhati isu Rohingya sejak tahun 2015 berkata, kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jangan jadikan penempatan haram warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan seperti mana Bukit Malut di Langkawi, kata peguam, Norman Fernandez.

Norman yang menjadi pemerhati isu Rohingya sejak tahun 2015 berkata, kerajaan memberi signal yang salah jika tiada tindakan tegas diambil kerana ‘tetamu tidak diundang’ ini akan membawa malapetaka kepada negara jika dibiarkan.

Tegasnya, Malaysia tidak boleh lagi membiarkan warga asing sesuka hati membina penempatan haram di negara ini dan tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa.

"Kita harus mengambil iktibar daripada apa yang terjadi di Bukit Malut. Jangan jadikan Nilai sebagai Bukit Malut 2. Pada mulanya hanya beberapa rumah orang Rohingya dibina di Bukit Malut tetapi akhirnya telah bertukar menjadi perkampungan Rohingya.

"Hari ini pihak berkuasa sudah tidak dapat mengusir mereka keluar. Jangan biarkan perkara ini berlaku di Nilai,” katanya kepada Sinar Premium.

Pada Rabu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menahan seramai 67 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang dilaporkan berkata, warga asing yang berumur antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan menerusi hasil risikan dijalankan selama sebulan.

Bukit Malut, Langkawi, Kedah yang dibanjiri penempatan warga asing.

Penempatan itu telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik.

Umum mengetahui penempatan di Bukit Malut dikaitkan dengan majoriti penduduknya pendatang dari Myanmar.

Difahamkan isu penempatan yang majoritinya merupakan etnik Rohingya itu semakin ‘parah’ berikutan bilangan rumah dibina di kawasan berkenaan semakin bertambah.

Mereka membina rumah di tapak baru diteroka tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan gempur penempatan haram PATI. - Foto JIM Negeri Sembilan

Dalam pada itu, Norman turut menggesa supaya Kedutaan Indonesia di Malaysia supaya menghormati undang-undang negara.

Katanya, kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang mengakui pihak kedutaan bukan sahaja mengeluarkan dokumen perjalanan melegalisasi mereka, malah telah memudahkannya dengan bantuan silibus pelajaran persekolahan Indonesia adalah sesuatu yang memeranjatkan.

"Jangan kedutaan negara lain mengambil jalan mudah membantu rakyat mereka membuka tanah dan menyediakan prasana serta membantu menyediakan pusat pembelajaran. Kedutaan negara asing perlu menghormati kedaulatan negara,” tegas beliau.

Norman turut meminta supaya masyarakat turut memainkan peranan bagi membanteras isu berkenaan.

"Masyarakat juga patut berperanan menjadi mata serta telinga dan maklum pada pihak berkuasa,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca