SHAH ALAM - Badan hak asasi manusia negara luar tidak berhak mempersoalkan sebarang tindakan diambil pihak berkuasa Malaysia dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal secara haram di negara ini.
Peguam, Norman Fernandez berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia mempunyai undang-undang sendiri bagi menangani isu terbabit dan pihak luar termasuk badan hak asasi manusia tidak berhak masuk campur.
"Apakah Malaysia ini bukan negara berdaulat? Kita mempunyai undang-undang kita sendiri. Badan hak asasi luar negara tidak berhak mempersoal dan mencampuri urusan negara,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Pada Rabu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menahan seramai 67 orang PATI dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang dilaporkan berkata, warga asing yang berumur antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan menerusi hasil risikan dijalankan selama sebulan.
Penempatan itu telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik.
Serbuan itu bagaimanapun mendapat kecaman daripada Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) Indonesia yang mendakwa serbuan itu tidak mematuhi prinsip Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
Norman yang menjadi pemerhati isu Rohingya sejak tahun 2015 menegaskan, badan hak asasi manusia dari negara jiran itu tidak seharusnya sibuk membuat teguran terhadap pihak berkuasa Malaysia sebaliknya perlu memikirkan solusi untuk membawa pulang rakyat mereka yang tinggal secara haram di sini.
"Sepatutnya mereka memikirkan cara terbaik untuk membawa pulang rakyat mereka, bukannya menjadi penyelaras dengan memberi sokongan dan kemudahan untuk mereka terus tinggal di sini secara haram,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan negara tidak lagi boleh bertolak ansur dengan kebanjiran pendatang asing yang semakin berleluasa kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah di kemudian hari.
Katanya lagi, serbuan penempatan haram seperti di Nilai Spring itu perlu terus dipergiatkan bagi mengelakkan wujudnya Bukit Malut 2.
"Sudah tiba masa Malaysia bertegas agar kerajaan negara-negara luar membawa pulang rakyat mereka yang tinggal secara haram, dan bukannya mengeluarkan dokumen untuk ‘menghalalkan’ keberadaan di negara ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Norman turut menegur Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dilihat seolah-olah lebih memikirkan kepentingan pendatang asing berbanding kepentingan rakyat dan negara sendiri.
"Sudah tiba masa kerajaan memberi isyarat jelas kepada Suhakam agar tidak terus mencampuri urusan pihak berkuasa dalam isu pendatang asing atas alasan kemanusiaan,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca