SHAH ALAM - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terpaksa menggunakan pelbagai cara lain untuk tujuan pembangunan di kawasan masing-masing susulan tindakan kerajaan mengurangkan pemberian peruntukan pembangunan kepada mereka. Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terpaksa menggunakan pelbagai cara lain untuk tujuan pembangunan di kawasan masing-masing susulan tindakan kerajaan mengurangkan pemberian peruntukan pembangunan kepada mereka.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dengan peruntukan terhad yang diterima daripada kerajaan, beliau akan memberi keutamaan kepada projek pembangunan yang benar-benar terdesak selain jumlah penggunaan peruntukan bagi setiap projek juga akan dikurangkan.

"Pada masa sama, saya akan galakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih proaktif membantu masyarakat setempat, menggalakkan syarikat-syarikat besar melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan lebih aktif dan meluas serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) setempat untuk melakukan program menyokong komuniti,” ujarnya kepada Sinar Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengesahkan peruntukan tahunan kepada ahli Parlimen dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar dilaporkan berkata, pengurangan peruntukan melibatkan elaun pembangunan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.

Sementara itu, Hassan berkata, beliau memahami keadaan kewangan kerajaan sekarang.

"Saya tidak membantah keputusan Perdana Menteri untuk memotong peruntukan pembangunan ahli Parlimen. Walaupun pemotongan itu agak besar iaitu sebanyak RM2.5 juta setahun bagi setiap kawasan Parlimen tetapi saya percaya ini adalah langkah sementara.

"Apabila keadaan kewangan negara semakin baik saya percaya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan membuat semakan semula. Pemotongan pembangunan tersebut tidak melibatkan peruntukan bantuan kebajikan kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Pas menegaskan, kerajaan sepatutnya mewujudkan satu mekanisme lain untuk membantu kebajikan dan pembangunan di setiap Parlimen susulan pengurangan elaun tersebut.

"Perlu ada satu kaedah lain supaya dapat mengimbangi pemotongan itu agar ahli Parlimen dapat terus bantu rakyat dan membangunkan kawasan mereka."Setakat ini saya masih lagi belum menerima apa-apa peruntukan pembangunan. Ketiadaan peruntukan untuk ahli Parlimen ini akan menjejaskan program untuk membantu rakyat seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini,” jelas beliau.Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula berkata, dengan pemotongan itu beliau akan berusaha mencari peruntukan tambahan sendiri bagi meneruskan projek pembangunan di kawasannya.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu mendedahkan, sehingga kini ahli Parlimen pembangkang masih belum mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan.

"Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), dijanjikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang akan turut diberi tapi sampai sekarang kerajaan masih belum beri apa-apa peruntukan pun lagi.

"Jadi saya minta kerajaan segera salurkan peruntukan berkenaan demi kebajikan rakyat,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca