Umum mengetahui bahawa selepas UMNO hanya menang 26 kerusi Parlimen dan Barisan Nasional (BN) gagal membentuk Kerajaan Persekutuan secara bersendirian, bekas Perdana Menteri, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB, lebih banyak mendiamkan diri daripada mengeluarkan kenyataan bagi mengulas mengenai perkembangan politik tanah air.
Namun nama Naib Presiden UMNO itu kembali menjadi sebutan selepas beliau memuat naik status di media sosialnya yang mempersoalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecat dan menggantung keahlian beberapa nama besar dalam UMNO.
"Saya memberi komen yang jelas selepas pemecatan beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini. Saya hanya menegur parti dan membuka mulut selepas PAU 2022 kerana melihat keputusan kita buat baru-baru ini akan merugikan UMNO,” kata Ismail Sabri.
Ikuti wawancara yang dikendalikan hos Hazwan Mokhtar untuk program Sinar Live, eksklusif bersama Ismail Sabri yang diadakan di pejabatnya pada Jumaat, bagi membincangkan pelbagai polemik dan isu melanda UMNO serta kesannya kepada parti terbesar mewakili orang Melayu itu.
SINAR LIVE: Kali terakhir Datuk Seri membuat sidang media adalah pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang lalu, mungkin boleh dikongsikan perkembangan terbaru Datuk Seri?
ISMAIL SABRI: Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saya mengambil kesempatan untuk bersama dengan keluarga, meluangkan masa untuk diri sendiri kerana sebelum itu (semasa menjadi Perdana Menteri) tiada waktu terluang.
Jadi selepas PRU15, saya ada masa untuk luangkan bersama keluarga, untuk diri sendiri, berjoging. Berjumpa kawan-kawan, minum teh tarik, bebas dan tidak mahu terlibat sangat dengan isu politik dan keadaan semasa negara.
Sebab itu, saya tidak mengeluarkan satu kenyataan media pun. Rakan-rakan media menelefon, minta untuk berjumpa, temu ramah. Saya kata biarlah dulu. Biar saya berehat dan bercuti. Saya bertemu media hanya selepas PAU 2022 tempohari.
--SH: Bercerita tentang PAU 2022, banyak isu dan persepsi dilontarkan kepada UMNO. Selaku figura politik yang lama berjuang bersama UMNO, bagaimana Datuk Seri melihat keadaan UMNO hari ini yang dianggap semakin kritikal?
Saya pun bersetuju, masa depan UMNO hari ini yang agak membimbangkan. Ketika PAU 2022, kita menghantar mesej yang agak celaru, yang boleh menggugat masa depan UMNO itu sendiri.
Baru-baru ini pun, pemecatan dan penggantungan beberapa tokoh dalam UMNO menyebabkan kecelaruan dalam parti. Saya yakin ia tidak memberi signal yang baik kepada rakyat. Golongan muda amat penting untuk menjamin masa depan mana-mana parti politik.
Baru–baru ini, kalau tidak silap saya, 4.5 juta pengundi muda mengundi, yang memenuhi saluran 5 dan 6, ataupun 4 dan 5. Kebanyakan mereka menolak UMNO ketika PRU15. Untuk PRU16 pula, akan ada lagi pertambahan pengundi baharu untuk saluran 5 dan 6.
Kalau pada PRU16, saluran orang muda ini tetap tidak menerima UMNO, apakah harapan kita untuk memenangi PRU terutama kalau dalam keadaan kecelaruan, dan mesej yang salah kita berikan kepada rakyat terutama kepada pengundi muda.
Pengundi muda bercakap soal idea, idealisme perjuangan mereka berbeza dengan kita. Mereka tidak kisah dari segi perkhidmatan yang kita beri tetapi mereka melihat dari sudut integriti parti itu sendiri.
Kalau persepsi parti kita adalah parti yang berkaitan dengan perkara korupsi dan sebagainya, mereka melihat UMNO sudah tidak mempunyai integriti tinggi. Jadi ini merupakan satu perkara yang menjadi pertimbangan kepada penerimaan anak muda.
Jadi kita dilihat menyekat hak-hak yang sepatutnya diberikan, saya melihat bahawa signal yang salah telah kita berikan kepada rakyat terutama golongan muda.
Kalau signal yang salah ini diberikan secara berterusan dan tiada tawaran baharu diberikan, saya nampak seperti apa yang penganalisis politik katakan, UMNO akan menghadapi laluan yang sukar.
--SH: Menyebut laluan UMNO yang sukar, antara individu yang berdepan tindakan UMNO baru-baru ini, Khairy Jamaluddin yang merupakan antara magnet utama UMNO untuk menarik sokongan anak muda. Dalam satu sesi bersama anak muda baru-baru ini, Khairy mengatakan UMNO akan 'bungkus'. Apa komen Datuk Seri?
Ya, itu mungkin pandangan beliau sendiri. Seperti saya katakan tadi, saya mungkin orang tua. Cara saya bercakap lain sedikit, ada diplomasi tetapi itu pandangan beliau (Khairy). Tetapi saya tidak mahu terus meletakkan noktah. Cuma saya katakan UMNO akan menghadapi laluan yang sukar. Khairy merupakan tokoh muda yang perlu ada dalam UMNO untuk menarik golongan muda.
Jawatan Ketua Pemuda misalnya, calon yang cuba ditonjolkan adalah Shahril Sufian Hamdan, seorang yang berani bercakap secara terbuka, seperti Khairy. Apabila beliau menzahirkan apa yang ada dalam fikiran, dia tidak berselindung. Mungkin Khairy kata UMNO bungkus dan orang muda mungkin suka sikap seperti itu.
Jadi tokoh-tokoh muda (Khairy, Shahril dan beberapa yang lain) yang seperti dikatakan tadi adalah magnet tetapi akhirnya dipecat, digantung. Jadi apa lagi harapan yang orang muda ada? Orang muda mengharapkan inilah tokoh yang akan membawa UMNO ke tahap yang lebih baik.
Mereka berdua mungkin menjadi tokoh yang menjadi magnet, namun sudah tidak ada. Jadi apa yang boleh menarik minat mereka untuk bersama dengan kita. Saya setuju apabila tokoh-tokoh muda ini ditolak melalui pemecatan dan penggantungan, ia akan memburukkan lagi keadaan.
--SH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka, Dr Muhd Akmal Saleh menawarkan diri atau disebut- sebut sebagai bakal Ketua Pemuda UMNO. Beliau sebelum ini pernah membuat kenyataan yang UMNO mampu melahirkan ramai lagi Khairy dan Shahril. Melihat kepada keadaan sekarang dalam UMNO, apakah hasrat Dr Akmal itu mampu diterjemahkan?
Setakat ini, saya tidak nampak dengan jelas. Ramai lagi yang menawarkan diri untuk bertanding seperti Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan ada beberapa orang lagi. Mereka mesti membuktikan kemampuan untuk bercakap secara lantang, secara terbuka dan boleh menegur sekiranya kepimpinan berbuat salah. Misalnya, jika kepimpinan membuat sesuatu tindakan yang membelakangkan perlembagaan parti, Akmal tegurlah. Orang mahu melihat, seperti mana Shahril berani menegur secara terbuka selepas PRU15. Tetapi tokoh-tokoh lain kita tidak nampak, dan tokoh lain yang dipecat itu telah terbukti.
Saya tidak mengatakan tidak boleh, tetapi apa bukti kemampuan untuk memimpin? Khairy sebagai contoh, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO selama dua penggal. Beliau pernah menjadi Exco Pemuda UMNO bersama saya, seangkatan dengan saya. Jadi, beliau sudah membuktikannya, sedangkan yang baharu ini kita tidak tahu sejauh mana kemampuan mereka.
--SH: Apakah anak muda dalam UMNO tidak boleh bersuara dan menegur kerana akhirnya mereka dipecat dan digantung. Komen Datuk Seri?
Ya, sepatutnya Pemuda UMNO mesti berani secara terbuka. Saya pernah menjadi Exco Pemuda Malaysia, sebelum itu sebagai ketua pemuda bahagian. Saya juga pernah menjadi pemimpin pelajar iaitu Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.
Kalau bercakap soal pemimpin pelajar hari ini, mereka akan kata, kebebasan untuk bersuara (freedom of speech) itu mesti diberi, maknanya perlu bersuara.
Baru-baru ini, ada usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dalam PAU 2022, ramai yang setuju, ramai juga yang tidak setuju. Dalam kalangan Pemuda UMNO pun ada yang tidak setuju tetapi berapa ramai yang bercakap?
Pemecatan, saya berpandangan, parti berhak untuk ambil tindakan disiplin. Tetapi mesti melalui peraturan. Walaupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mempunyai kuasa, ia juga tidak boleh membelakangkan prinsip asas perundangan. Sebagai contoh, hak untuk membela diri. Itu prinsip asas (natural justice), dan ia mesti dikekalkan oleh parti yang bertamadun seperti UMNO.
Saya mengkritik kerana setiap tindakan pemecatan mesti melalui proses perundangan. Mana boleh orang yang ditangkap atau dituduh tidak tahu apa tuduhan terhadap mereka, tiba-tiba pecat dan gantung. Jadi mana keadilannya dalam UMNO?
UMNO mesti dilihat sebagai parti yang mampu membawa keadilan kepada ahli parti, mampu memberikan hak untuk bersuara, mampu untuk memberi hak untuk memilih dan dipilih. Dalam Perlembagaan UMNO, setiap ahli mempunyai hak untuk memilih dan dipilih untuk menjadi pemimpin. Tetapi hak dalam perlembagaan dan semuanya disekat melalui tindakan-tindakan yang dilakukan.
--SH: Apa pandangan Datuk Seri mengenai persepsi negatif dilemparkan bahawa UMNO adalah parti korupsi, rasuah dan sering menyalahgunakan kuasa?
Saya tidak mahu membuat kesimpulan namun tugas kepimpinan adalah untuk menyatupadukan ahli parti. Kalau nampak ada kumpulan dalam parti dari kabilah berbeza, secara klisenya, kita semua satu pasukan UMNO namun perkara itu sudah menjadi rahsia terbuka kepada umum.
Bagi saya, terdapat dua pendekatan berbeza boleh diambil bagi menangani masalah perpecahan dalaman UMNO iaitu pertama menyatu padu kedua-dua kem dan kedua, membuang kumpulan penentang. Jadi hanya akan tinggal satu kem sahaja.
Bagaimanapun, adakah tindakan menyingkirkan satu kumpulan yang tidak sehaluan berkenaan akan menyelesaikan masalah kemerosotan sokongan terhadap UMNO? Bagi saya pendekatan terbaik patut diambil UMNO adalah menyatupadukan dua kumpulan berkenaan selepas kita kalah teruk pada PRU15.
Sebagai contoh secara akademik, kalau kita katakan ada 10 individu berpecah kepada dua kumpulan, kalau ikut cara kedua iaitu kita buang sahaja lima orang, maka parti kita akan menjadi semakin lemah.
Ada orang berpandangan penyatuan sudah berlaku selepas kita buang satu kumpulan penentang yang dilabelkan sebagai pengkhianat. Namun hakikat sebenarnya kita hanya mementingkan diri kita dan tidak melihat kepada penyatuan ahli parti. Budaya pecat-memecat bukan perkara baharu, namun kita harus menjadikan peristiwa lalu sebagai satu pengajaran.
Misalnya tindakan Tun Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden menyebabkan bilangan penyokong UMNO semakin berkurangan, bukannya menambah.
Tindakan UMNO memecat beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini menyebabkan bilangan ahli dan sokongan terhadap UMNO semakin berkurangan. Sebab itulah, Datuk Seri Shabery Cheek mengatakan talian hayat UMNO seperti bar bateri telefon bimbit, mula-mula empat bar. Pecat satu pemimpin tinggal tiga bar, pecat lagi tinggal dua bar dan sekarang mungkin hanya tinggal satu bar sahaja.
Kalau kita lihat dalam PRU15 lalu, 54 peratus orang Melayu menyokong PN, jadi kita tidak boleh memandang ringan perkara ini. UMNO parti Melayu terbesar dengan jumlah keahlian lebih 3.5 juta orang, namun akhirnya kita hanya memperoleh 34 peratus undi Melayu pada PRU15 lalu.
--SH: Kenapa Datuk Seri memilih untuk bersuara di media sosial berbanding dalam mesyuarat MKT UMNO?
Saya hanya memberi komen yang jelas selepas pemecatan beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini. Saya hanya menegur parti dan membuka mulut selepas PAU 2022 kerana melihat keputusan kita buat baru-baru ini akan merugikan UMNO. Sebelum ini saya tidak bercakap langsung. Saya berdiam diri sahaja biarpun ramai wakil media mahu mengadakan sesi wawancara eksklusif dengan saya selepas BN kalah PRU15 lalu.
Saya tidak pernah membuat kenyataan kepada media tetapi hanya menulis di saluran media sosial peribadi seperti Instagram dan Facebook peribadi sahaja.
Begitu juga apabila PAU 2022 memutuskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti kali ini, saya tidak kata tindakan berkenaan salah. Saya hanya menjelaskan terdapat dua pandangan, satu bersetuju dan satu lagi tidak bersetuju dengan alasan tersendiri.
Mengenai pemecatan (Khairy dan Noh), saya hanya sebut bahawa pemecatan itu tidak mengikut peraturan berdasarkan prinsip asas.
--SH: Apa pandangan Datuk Seri mengenai kenyataan ramai penganalisis politik yang melihat UMNO kini perlu diberikan nafas baharu susulan prestasi terburuk dalam PRU15 lalu?
Kepimpinan UMNO ini umpama kita jual produk. Kalau kita nak jual produk mesti ada jurujualnya. Kalau sebelum ini produk sama dijual oleh jurujual sama dan mungkin orang sudah tidak mahu membelinya. Namun sekarang, produk sama mahu dijual oleh jurujual sama, jadi adakah anda rasa akan berlaku perubahan dari segi jualan nanti.
Dulu kita sudah tolak jurujual dan produk sama, apa yang anda fikir sekarang ini kita akan terima? Jadi kalau tiada perubahan dari segi kepimpinan tertinggi dan tiada pendekatan baharu yang bersesuaian dengan kehendak anak muda, jadi saya tidak nampak orang akan terima jika produk sama dijual oleh orang sama.
--SH: Adakah Datuk Seri bimbang akan dikenakan tindakan disiplin oleh MKT kerana sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Presiden UMNO, sejak kebelakangan ini?
Presiden baharu sahaja membuat kenyataan bahawa beliau meraikan perbezaan pandangan. Inilah perbezaan yang saya tawarkan. Jadi saya harap presiden meraikan perbezaan ini. Sebagai sebuah parti yang matang dan lama, saya yakin UMNO dapat menerima pandangan ini secara positif. Jadi saya berterima kasih kepada Presiden UMNO kerana mengeluarkan kenyataan yang memberi jaminan akan lebih terbuka kepada pandangan ahli.
--SH: Apa yang mungkin menjadi pertimbangan Datuk Seri sebelum memutuskan untuk bertanding pemilihan UMNO?Banyak perkara dipertimbangkan. Saya pun tidak tahu siapa yang hendak bertanding jawatan itu (Naib Presiden UMNO). Mungkin ada muka-muka baharu yang boleh menjamin kekuatan parti, tiada masalah untuk saya beri laluan kepada mereka.
Saya mahu tengok siapa yang hendak bertanding? Apa manifesto mereka? Apa yang mereka hendak bawa kepada parti? Kalau dia lebih baik daripada apa saya hendak bawa, kita akan beri laluan kepada muka baharu.
--SH: Apa perkara yang mungkin paling dikesali Datuk Seri kerana tidak dapat disempurnakan sewaktu pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia?
Mungkin banyak perkara dirancang terutama dalam input Bajet 2023 yang tidak dapat direalisasikan menimbulkan sedikit sesalan pada diri saya. Terutama dalam aspek perumahan rakyat, banyak perkara yang saya fikir boleh ditambah baik.
Saya memperkenalkan slogan ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’. Saya harap apa sahaja benda baik diperkenalkan kerajaan dahulu yang bermanfaat kepada rakyat perlu diteruskan. Mungkin saya tidak sempat laksanakan, saya kesal tidak dapat teruskan kerana saya sudah tidak menjadi Perdana Menteri lagi.
Dua perkara yang dekat di hati saya iaitu perumahan rakyat dan kemiskinan. Usaha merapatkan jurang kemiskinan di antara luar bandar dan bandar turut menjadi fokus utama saya sebelum ini. Itu perkara asas yang saya cuba pastikan berjaya diselesaikan terutama melibatkan isu kemiskinan.
Perkara-perkara sebegini yang saya fokus, isu kepentingan rakyat. Dahulu kita fokus isu kemiskinan luar bandar, kita terlupa isu miskin bandar sebenarnya lebih serius. Saya cuba membawa pembaharuan, tetapi tidak berkesempatan.
--SH: Bagaimana Datuk Seri melihat isu gaji kecil bagi sebilangan besar rakyat yang bekerja di ibu kota, pada saat kerajaan berusaha menetapkan kadar gaji minimum bersesuaian demi menjaga kebajikan mereka?
Pada waktu saya menjadi Perdana Menteri, saya menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan. Tetapi waktu itu ada permohonan daripada syarikat-syarikat kecil yang mempunyai pekerja lima orang ke bawah, minta supaya keputusan kerajaan itu ditangguhkan.
Kalau dahulu 1 Mei tahun lalu bermulanya penetapan kadar gaji minimum baharu, tetapi bila kita tangguh sehingga 1 Januari tahun ini, ia terus ditangguhkan lagi. Bagi saya, tindakan itu tidak patut dan saya setuju sekiranya penetapan kadar gaji minimum baharu dikuatkuasakan segera.
Bagaimanapun, asas kadar gaji minimum RM1,500 itu, saya harap tidak ditangguhkan. Sebab itu ramai yang meraih RM1,500 sebulan terpaksa membuat kerja tambahan. Kajian secara menyeluruh perlu diteruskan supaya gaji diperoleh rakyat Malaysia perlu bersesuaian dengan keperluan tempat mereka tinggal.
--SH: Harapan Datuk Seri terhadap kerajaan baharu dan UMNO?
Kita harap kerajaan hari ini dapat menstabilkan politik negara kerana tanpa kestabilan politik, tidak akan wujud ekonomi yang mampan.
Perkara pertama yang saya lakukan sebelum ini ialah menstabilkan politik. Bawa pihak pembangkang dan parti kerajaan untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kestabilan politik. Kita berharap perkara sama juga boleh berlaku.
Secara umumnya, kestabilan politik mesti diwujudkan demi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.
Untuk UMNO, saya harap selepas pemilihan parti, kepimpinan baharu membawa perubahan dan dapat memastikan parti masih menjadi harapan rakyat, khususnya orang Melayu.
Jangan sampai orang Melayu putus harapan, tidak ada keyakinan terhadap UMNO kerana tanpa orang Melayu, UMNO akan lumpuh.
Klik di sini untuk terus membaca