SHAH ALAM - Malaysia perlu mempunyai strategi jelas untuk meraih peluang daripada pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih baik pada tahun ini, sebagaimana Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, walaupun mengguna pakai konsep Malaysia Madani, ia hanya kerangka umum tetapi dalam konteks pembangunan, kerajaan perlu lebih spesifik.
Menurutnya, menangani masalah kos sara hidup, penjaja kecil, masyarakat berpendapatan rendah dan miskin adalah penting, namun ia tidak cukup untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.
"Pelonggaran pergerakan China, kadar inflasi terkawal, pasaran buruh Amerika yang masih kukuh dan kesan kekangan sumber tenaga Eropah tidak seteruk dijangka menyumbang kepada unjuran baharu lebih baik.
"Bagaimana dengan Malaysia? Mungkin pertumbuhan kita sekitar empat ke lima peratus bagi tahun 2023.
"Sudahkan Malaysia mempunyai strategi jelas untuk meraih peluang dari pertumbuhan global yang dijangka lebih baik?
"Sudahkah kita mempunyai tindakan khusus menangani masalah domestik, khususnya cabaran struktural yang sekian lama mengekang kita daripada melonjak pantas?” soalnya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia pada 31 Januari lalu, menjangkakan pertumbuhan ekonomi 2023 dijangka tidak seburuk yang diunjurkan sebelum ini, iaitu tumbuh pada kadar 2.9 peratus, meningkat daripada unjuran sebelumnya, 2.7 peratus.
Menurut Noor Azlan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini, ada menyebut beberapa perkara berkaitan satu dokumen penting iaitu Aspirasi Pelaburan Negara (NIA).
"NIA diumum dan dilancarkan sebelum kerajaan ini dibentuk. Dalam konteks kerajaan, apa sahaja kerangka dan strategi yang baik, bagus kita kena teruskan. Tak perlu lakukan benda baharu atau menunggu, mengkaji lagi.
"Dalam NIA, ada menyebut kita nak pelaburan yang canggih dan bernilai tinggi serta pelaburan yang mampu menghasilkan pekerjaan yang berkualiti.
"Kita juga nak pelaburan yang boleh menyokong industri strategik serta pelaburan yang boleh memberi peluang kepada usahawan tempatan yang mempunyai standard dan dapat melibatkan diri dalam rantaian global.
"Akhir sekali, kita inginkan pelaburan yang mempunyai limpahan kepada wilayah yang agak terkebelakang,” jelasnya.
Noor Azlan berkata, sewaktu menjadi Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), antara persoalan yang sering ditimbulkan pelabur antarabangsa adalah tidak jelas dari segi pembuatan keputusan tentang perkara berkaitan pelaburan.
"Ada kalanya, mereka merasakan dibiarkan terhegeh-hegeh dan tergantung.
"Apabila nak buka tapak kilang, mereka perlu ke bahagian lain. Hendak dapatkan tenaga elektrik, ke bahagian lain pula. Sedangkan kita boleh permudahkan urusan mereka dan Malaysia perlu buat satu tindakan bersama sebagai agensi.
"Kita ingin melihat ke depan, terutama penumpuan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini. Apakah langkah-langkah yang dibuat kerajaan?
"Inilah masanya untuk pertingkatkan lagi pelaburan dan memudahkan proses melabur.
"Kita boleh beri kemudahan dari segi komponen utama seperti pelesenan, insentif dan sokongan teknologi.
"Jika tidak disediakan, pelabur antarabangsa ada pilihan seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia, kita akan terlepas peluang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca