Kita kesuntukan masa. Setiap detik perubahan berlaku. Jika terlewat, nescaya kita terpedaya dengan ledakan informasi dan telapak yang menjadikan titik pertemuan semakin mencabar. Malaysia yang suatu ketika gagah kini sedang diekori atau... Klik di sini untuk terus membaca

Kita kesuntukan masa. Setiap detik perubahan berlaku. Jika terlewat, nescaya kita terpedaya dengan ledakan informasi dan telapak yang menjadikan titik pertemuan semakin mencabar.

Malaysia yang suatu ketika gagah kini sedang diekori atau sudah terkebelakang. Bagaimana untuk menyusun Malaysia yang penuh dengan jalur berbeza walau ada masanya kita bangga menamakan diri kita ‘Malaysia’?

Malaysia tidak sempurna tetapi yang mampu menyempurnakannya adalah rakyat Malaysia. Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kepimpinan negara, beliau bersungguh-sungguh menyusun semula Malaysia.

Kesinambungan kepimpinan dipertahankan melalui cabang pendemok-rasian. Pelantar sama digunakan untuk membentuk kerajaan dan pelbagai latar blok penggabungan yang dinamakannya sebagai Kerajaan Perpaduan.

Hatta, perpaduan penting untuk diangkat menjadi bingkai kepada kepelbagaian. Apakah ramuan dan remedi sesuai untuk membina, membangun serta siap siaga dengan perubahan dan pembaharuan setiap masa sebagai kerangka penyusunan tersebut?

Pastinya, kembali kepada perlembagaan dan Rukun Negara. Ia asas yang tidak boleh diubah tetapi penjenamaan untuk disesuaikan dengan anjakan masa perlu supaya masing-masing menghargai kedudukan diri sebagai ‘warga’.

Begitu juga melihat semula institusi kekeluargaan dan persanakan. Struktur itu penting untuk melihat bagaimana ejen sosialisasi dominan memainkan peranan menyalurkan nilai dalam bentuk pemahaman, penerapan dan amalan.

Nilai faham, hormat dan terima memberi keyakinan serta kepercayaan. Keunikan negara yang rencam menelusuri Semenanjung, Sabah dan Sarawak memerlukan pengiktirafan serta penghormatan sewajarnya.

Ia datang dengan kombinasi bersama ejen sosialisasi lain seperti institusi pendidikan, media, rakan sebaya dan pemimpin. Kesopanan dan kesusilaan adalah elemen penting untuk menggarap serta memberi maksud ke atas nilai kemanusiaan, keinsanan dan keihsanan sebagai menghargai kekuatan negara ini.

Sekali gus, ia boleh mengatasi norma etnosentrik, kesangsian, prasangka, curiga dan kebencian. Mampukah kita menyusun semula melangkaui kepentingan politik dan wadah lain?

Ungkapan madani yang diwartakan kerajaan hari ini boleh diikat dengan menyediakan akses prasarana dan infra bersesuaian. Begitu juga ruang yang kondusif, maklumat rasional dan praktikal.

Perkhidmatan juga mesti dicerna dengan akses cukup dalam keadaan yang sudah berubah. Kemajmukan boleh diraikan dengan mempertahankan apa yang diwarisi dan mempelajari nilai jati diri bagi membela negara berteraskan penguasaan bahasa serta norma silang budaya.

Kepercayaan kepada negara, pemimpin, struktur dan institusi penting. Keterangkuman dengan jiwa inklusiviti yang memberikan pilihan waras dan peluang secukupnya akan melentur sikap serta amalan interaksi kita. Integrasi memerlukan pengorbanan dan kompromi. Dindingnya adalah jujur, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab.

Tiada laut yang tidak berombak tetapi laut budi tepian akal. Jika benih baik jatuh ke laut akan jadi pulau. Dalam laut boleh diajuk, dalam hati siapa yang tahu. Bermakna, kita mesti sentiasa berhati-hati dan berwaspada.

Meraikan penyusunan semula tanah air menerusi langkah kompetensi, ketelusan dan akauntabiliti akan membolehkan tatacara yang dijadikan panduan menjadi rujukan berterusan.

Jurang antara ras, etnik, kelas, bahasa dan kecelikan boleh dirapatkan andai kata akhlak, akidah serta sahsiah dijadikan asas pembentukan diri. Indeks kesejahteraan, kedamaian, kegembiraan dan indeks rasuah boleh dijadikan pengukuran untuk memastikan langkah ke hadapan tidak menjejaskan dakapan ke atas persoalan keselesaan, keselamatan, keamanan serta muhibah.

Nilai warisan perlu dikongsi. Langkah signifikan kini adalah belajar dan ada keinginan untuk menyelami lautan budi. Kasih sayang menjadi tapak menggabungkan kelainan. Belajar erti kasih sayang diselaputi dengan nilai faham, hormat dan terima.

Pembudayaan dalam gaya hidup penting untuk perkukuhkan dalaman diri. Disiplinkan diri dengan tidak mencerca dan membenci. Kepintaran diri datang daripada inisiatif sendiri. Politik juga perlu disusun dalam memeriahkan demokrasi jajaran negara.

Penyusunan semula Malaysia adalah satu impian yang mampu direalisasikan jika kita sama-sama menang dengan memenangi hati yang berlainan warna di luar tapi isinya sama dengan wajah kemanusiaan.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca