Pemilihan UMNO pada Mac ini masih satu misteri berikutan usul tiada pertandingan di peringkat presiden dan timbalan presiden serta pemecatan dan penggantungan dua tokoh utama yang dikatakan mencabar kedudukan tersebut.
Banyak isu melanda parti itu sejak dua bulan lalu. Kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehinggalah kepada kerjasama membentuk kerajaan dengan seteru utama, DAP.
Walaupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 meluluskan usul tambahan tiada pertandingan dua jawatan utama, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat tidak mahu mengambil risiko berdepan perlawanan sengit dua jawatan utama dalam parti.
Lalu dua pencabar utama, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien digantung enam tahun, manakala Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipecat serta-merta. Mereka tidak diberi peluang langsung untuk mempertahankan diri.
Kini, semua mata pemerhati politik tertumpu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang akan membuat keputusan sama ada usul tambahan pada PAU 2022 sah atau tidak.
Jika berdasarkan prinsip asas, usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan UMNO 2023 adalah tidak sah.
Pertama, usul itu bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang menyebut pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden yang dipilih, tiga naib presiden dan 25 ahli Majlis Kerja Tertinggi hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Perwakilan Bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali.
Kedua, kuasa PAU tidak boleh mengatasi kuasa perlembagaan dan undang-undang bertulis UMNO seperti dinyatakan dalam fasal 8.1 Perlembagaan UMNO bahawa – Perhimpunan agung adalah kuasa tertinggi parti dan perjalanan parti adalah berasaskan kepada kuasa serta perintahnya tertakluk kepada perlembagaan dan juga peraturan UMNO.Dengan kata lain, PAU tiada kuasa mengambil alih peruntukan dalam Perlembagaan UMNO kecuali pindaan perlembagaan dilakukan terlebih dahulu.
Atas sebab itu juga, apabila UMNO mahu menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas PRU15, mereka mengadakan perhimpunan khas bagi meminda perlembagaan parti, bukannya membuat melalui usul PAU sahaja.
Ketiga, usul tambahan yang dikemukakan dalam usul menyokong ucapan presiden UMNO juga adalah tidak sah daripada peraturan usul. Ia disahkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melahirkan kebimbangan usul tersebut akan diputuskan tidak sah oleh RoS.
Bagaimanapun, ahli UMNO yang mahu melihat perubahan tidak boleh terlalu berharap kepada RoS. Walaupun RoS sepatutnya bebas membuat keputusan berdasarkan peraturan dan perundangan sedia ada, namun sering pemegang jawatan juga berada di bawah pengaruh politik.
Sebelum PRU14, RoS enggan meluluskan pendaftaran ikatan politik Harapan sehingga terpaksa dibawa ke mahkamah. Namun, seminggu selepas parti-parti yang mahu menubuhkan Harapan menang PRU14, pengarah RoS yang sama meluluskan pendaftarannya.Ia bukan fenomena di RoS sahaja. Kita dapati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara juga ada kecenderungan yang sama seperti lalang ditiup angin.
Misalnya, sebelum PRU14 ada pegawai kanan SPRM mendakwa telah berjumpa dan mendapat pengesahan daripada penderma RM2.6 bilion dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi selepas PRU14, kenyataan beliau di mahkamah, pendedahan rekod perbualan telefon Najib dan pembekuan akaun UMNO menunjukkan perkara berbeza.
SPRM juga menyiasat Rafizi Ramli sebelum PRU15 tetapi kini kes itu telah lenyap dan kini menumpukan kepada Perikatan Nasional (PN) pula bagi pasca PRU15.
Penjawat awam harus bersedia menjalankan tugas mengikut lunas-lunas keadilan, bukannya mengejar naungan politik sehingga menjejaskan kepentingan awam dan keadilan kepada pihak yang teraniaya. Sedarlah, naungan politik tidak lagi kekal lama seperti zaman dahulu. Jangan memerangkap diri sendiri.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca