Ulama dan intelektual Islam adalah tunjang bersama memainkan peranan bersinergi mendidik serta memberi kefaqihan kepada generasi baharu. Peranan mereka sangat penting untuk pengukuhan akidah dan sahsiah orang Islam.
Mereka perlu bekerjasama dengan agensi Islam bagi memurnikan pola pemikiran umat Islam yang menyeleweng daripada dasar syariat sebenar.
Secara tuntasnya, golongan intelektual dan ulama Islam seharusnya menyebarluaskan serta berani tampil ke hadapan untuk membanteras melalui jalur dakwah dan penyebaran kefahaman Islam berdasarkan prinsip ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.
Amat penting ulama berpartisipasi dalam dunia moden dan berdakwah menggunakan ilmu serta teknik betul, antaranya dengan memahami secara mendalam dan holistik pengertian terminologi berkaitan sosiopolitik antarabangsa, serantau serta peringkat nasional seperti globalisasi, neo-kolonialisme atau imperialisme dan pengaruh gerakan tersebut terhadap akidah, sosial, budaya, pendidikan, politik serta ekonomi umat.
Tanpa kefahaman mendalam menyebabkan segala usaha kita menghadapi cabaran ini akan gagal atau kurang berkesan. Ulama perlu menjadi warga dunia paling cakna dengan sumber maklumat terkini dan menguasai kaedah berkomunikasi. Ulama dan intelek Islam tidak hanya perlu duduk di madrasah serta berbicara tentang hukum tetapi hendaklah aktif berusaha mengaplikasikan hukum tersebut dengan hikmah.
Dalam konteks globalisasi, alim ulama dan cendekiawan Islam wajar merumuskan dasar serta nilai Islamisasi yang lebih mendukung keadilan sejagat berpandukan syariat yang mencakupi ekonomi, melindungi nilai moral dan kemanusiaan.
Ulama juga mestilah kembali kepada neraca Islam sebenar dalam melihat dan mengamati sesuatu isu atau tindakan berbangkit melibatkan agama. Tidak membenarkan apa-apa parameter lain digunakan mengatasi kehendak syariat Islam termasuklah kepentingan politik ras dan ekonomi.
Oleh itu, amat perlu bagi golongan intelektual dan ulama membina serta memupuk tahap politik kepartian yang berkadar agar lebih berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ dalam tindakan.
Ulama juga mestilah mengambil inisiatif dan menggarap piawaian yang mantap dalam usaha mendoktrinkan kesepakatan umat Islam dengan ciri membangunkan kesedaran hakiki terhadap nilai-nilai wasatiyah yang diaplikasikan berdasarkan syariah Islam.
Mereka juga perlu menampilkan asas dan dasar keadilan Islam, pembelaan terhadap hak asasi manusia serta nilai peradaban tinggi dan mulia yang boleh menjanjikan kesejahteraan dalam agama.
Golongan ulama dan intelektual Islam perlu memperkasa pegangan umat terhadap akidah serta nilai-nilai budaya Islam. Mereka wajib menjustifikasikan dasar pendidikan Islam agar jati diri umat dan dasar budaya Islam tidak tergugat.
Ketika ini menyatakan sesuatu itu halal atau haram sudah tidak lagi memadai kerana masyarakat sudah mula mempersoalkan hukum diberikan. Dalam hal itu, amat penting bagi ulama mengetahui maqasid syariah setiap sesuatu perkara tersebut dan falsafah kenapa ia sedemikian rupa hukumannya.
Dengan justifikasi terperinci, hukum yang disebarkan itu akan lebih mudah diterima masyarakat. Namun, penulis tidak bersetuju semua perkara perlulah didebatkan. Bagi nas-nas yang telah disepakati dan tidak timbul pertelingkahan, sudah pasti tidak perlu lagi dipertikaikan.
Amat menyedihkan apabila terlalu ramai yang berlagak mahu menjadi mufti walaupun tidak mempunyai ilmu mantap untuk berbuat demikian. Golongan itu rasa megah jika dapat menggarap sesuatu hukum khususnya jika hukum tersebut bertentangan dengan pandangan yang telah diterima umum.
Selain itu, ulama dan intelektual hendaklah bersikap proaktif bagi mengukuhkan budaya murni dalam lapangan teknologi, informasi dan lain-lain demi menegakkan keadilan serta menyemai kesejahteraan hidup.
Golongan ulama tidak seharusnya ketinggalan dalam era moden kerana golongan sasar mereka mahir dalam bidang yang sama. Jika agamawan ketinggalan, sudah pasti agak sukar bagi mereka melaksanakan usaha dakwah.
Ulama dan intelektual Islam perlu bersama dengan masyarakat dalam segala aspek. Denyut nadi masyarakat hendaklah dirasai oleh agamawan demi menyampaikan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca