Apabila kerajaan, tidak kiralah daripada parti mana atau apa cogan katanya, bercakap mengenai jaminan makanan (food security), ramai orang tidak percaya lagi.
Boleh jadi, orang ramai tidak cukup tahu mengenai dasar dan rancangan pertanian negara atau kerajaan sendiri terlalu kerap melabur janji tetapi tidak cukup menyemai padi. Sekadar menanam tebu di tepi bibir.
Sepanjang saya menulis mengenai ekonomi, khususnya pertanian iaitu sejak menjadi wartawan pada 1969, tidak ada perdana menteri yang tidak bercakap dan melakukan sesuatu mengenai isu ini.
Almarhum Tunku Abdul Rahman melaksanakan Rancangan Pengairan Muda pada akhir 1960-an bagi memperbaiki ekonomi hampir 100,000 keluarga tani dan menambah pengeluaran beras negara.
Beberapa rancangan pengairan dan perparitan besar turut dilaksanakan pada zaman pemerintahan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein serta Almarhum Tun Hussein Onn seperti Kemubu, Trans-Perak dan Johor Barat.
Jadi, boleh kata setiap perdana menteri ada idea dan rancangan masing-masing bagi membangunkan pertanian serta menjamin bekalan makanan mencukupi pada kadar harga berpatutan.
Bagaimanapun apabila dikaitkan dengan import makanan, nampak banyak dasar dan rancangan mereka sama ada cakap-cakap kosong atau tidak berkesan, ambil kira faktor sampingan seperti penambahan permintaan yang pesat, turun naik harga antarabangsa dan kadar tukaran mata wang ringgit, bil import makanan kita naik daripada RM45.3 bilion pada 2015 kepada RM55.4 bilion (2020).
Apabila bekalan ayam dan telur tidak cukup, harga melambung walaupun ekonomi telah dibuka semula lebih setahun, kita terpaksa mengaku bahawa dasar serta rancangan pertanian kita, khususnya pengeluaran makanan telah gagal.
Kita tahu industri pertanian seperti ternakan ayam dan kelapa sawit bergantung kepada pekerja asing, namun setelah lebih setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 ditarik balik, kerajaan masih berdolak-dalik mengenai kemasukan pekerja import.
Sebenarnya jika kita serius dan tahu cara mengeluarkan lebih banyak bahan makanan, kita boleh melakukannya dengan cepat tanpa perlu buka tanah baharu. Kita boleh mulakan dengan memulihkan tanah terbiar dan pelbagaikan kegiatan pertanian.
Setakat ini, rancangan memulihkan tanah terbiar gagal. Daripada 119, 273 hektar yang direkodkan pada 2014 di Semenanjung, Jabatan Pertanian hanya berjaya pulihkan 7,944.97 hektar dengan penyertaan 5,964 petani menjelang 2018.
Selain itu, penanam padi juga patut diberi kelonggaran memindahkan sebahagian sawah kepada pertanian tunai jangka pendek seperti menternak ayam, itik dan ikan serta tanaman seperti kacang tanah, pelbagai jenis ubi dan ruminan.
Dahulu di bawah Rancangan Buku Hijau Tun Razak, petani diberikan subsidi benih, anak ayam dan itik, baja serta latihan. Pegawai masuk kampung untuk beri tunjuk ajar. Banyak isi rumah mencapai kecukupan makanan, malah ada yang lebih untuk dijual.
Dalam kerajaan kita terhegeh-hegeh menangani masalah kekurangan bekalan makanan, kenaikan harga dan inflasi, tiba-tiba kita dengar berita bahawa Singapura akan laksanakan projek pertanian makanan besar-besaran di Sarawak sebagai sebahagian food security mereka.
Satu perjanjian persefahaman telah ditandatangani pada 4 Julai tahun lalu antara agensi kerajaan Singapura dengan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak.
Kita hanya bercakap mengenai potensi Sarawak sebagai bakul makanan (food basket), malangnya satu laporan tahun lalu mengatakan penanaman padi semakin diabaikan di negeri itu.
Singapura nampak potensi yang tersedia itu kerana pengalamannya sebagai petani menumpang kelas antarabangsa. Singapura tiada tanah pertanian tetapi mereka membeli, memajak dan menyewa banyak tanah pertanian di luar negara.
Misalnya, sudah berzaman pemodalnya membiayai petani Johor menanam pisang untuk dihantar ke negara mereka, yang kemudiannya dieksport sebagai Produce of Singapore (Keluaran Singapura). Sebagai negara pedagang yang mengimport lebih 90 peratus keperluan makanannya, Singapura mempunyai dasar dan program jaminan makanan yang jelas serta menyeluruh.
Ia mengimport bahan makanan daripada lebih 170 negara dan wilayah bagi mengelak pergantungan kepada negara tertentu. Pada masa sama, ia terlibat dengan cergas dalam pengeluaran, pengilangan dan perdagangan bahan-bahan makanan di luar wilayahnya.
Natijahnya, kalau kita sanggup belajar dan otak kita tidak beku, kita boleh belajar dari Singapura serta negara-negara lain yang berjaya dalam pertanian dan dasar jaminan makanan.
Isu ketidakcukupan makanan, kenaikan harga dan inflasi tidak akan selesai sekadar menukar kerajaan serta berpidato mengenainya. Perdana menteri, menteri dan pegawai kerajaan kena meredah sawah serta ladang untuk mengetahui keadaan sebenar.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca