BEBERAPA hari ini nampaknya di mana-mana orang memperkatakan tentang Menu Rahmah RM5.
Apabila idea dan usaha murni tersebut disambut baik oleh tauke-tauke kedai termasuklah bos besar Mydin, Menu Rahmah nampaknya mula jadi fenomena.
Akhbar Belalang sendiri tak ketinggalan menyokong usaha kerajaan apabila menyiarkan di muka hadapan akhbar pada 28 Januari lalu, bertajuk Menu Rahmah RM5.
Kata orang, benda yang baik untuk rakyat sudah tentu Belalang dan Sinar Harian sokong.
Almaklumlah dalam suasana sukar hari ini, tak semua ketua keluarga dapat menghidangkan makanan di atas meja untuk famili.
Sekurang-kurangnya idea Menu Rahmah dapatlah juga jimatkan poket daripada cepat nipis terutamanya pada hujung bulan.
Tapi Belalang faham, tidak semua tauke kedai makan dapat sertai program Menu Rahmah ini.
Kata seorang rakan Belalang yang berniaga restoran, 'RM5, kos pun tak lepas'.
Sebab kos sepinggan nasi, ayam, sayur dan air kata kawan Belalang pun sudah cecah RM6.
Kebanyakan tauke kedai makan yang sertai Menu Rahmah, rata-rata macam gives back kepada rakyat Malaysia.
Belalang ucap tahniah kepada tauke-tauke kedai yang turut bersedekah untuk sahut seruan kerajaan.
Tapi dalam puji-puji usaha baik kerajaan, Belalang terkejut dengan keputusan kabinet yang khabarnya bagi lampu hijau penjualan dan pembakaran mercun.
Belalang pelik, elok-elok haram kenapa pula nak halalkan.
Pada Belalang, alasan kononnya halalkan penjualan mercun untuk tambah pendapatan negara melalui cukai, adalah terlalu dangkal.
Ini kerana wang ringgit tidak boleh ditukar ganti dengan keselamatan, keamanan dan pencemaran.
Bayangkan setiap kali musim perayaan, berapa ramai kanak-kanak terutamanya budak Melayu di kampung-kampung yang kudung tangan sebab mercun.
Jangan lupa juga, apabila ia dihalalkan, orang akan bermain mercun sesuka hati di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Bayangkan kita yang tinggal di bandar, rumah teres dan apartmen yang berdekatan mahu bingit telinga serta terkejut anak-anak kecil jika mercun diletupkan pada jam 1 atau 2 pagi.Bagi Belalang, ada banyak cara lain untuk kerajaan tambah pendapatan negara.
Kerajaan diketuai Pakatan Harapan, tak perlu malu-malu untuk perkenalkan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kalau betul-betul niat nak tebalkan poket negara.
Usahlah biarkan masyarakat berprasangka yang ada pemimpin terlalu ‘ramah’ dengan kelompok peniaga tanpa memikirkan impak kepada rakyat jelata.
Belalang: Raya tetap meriah tanpa mercun
Klik di sini untuk terus membaca