KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu beri masa kepada kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan kemampuan dan melaksanakan apa yang dijanjikan mereka dalam manifesto Pilihan Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah tidak adil jika semua pihak terus mengkritik pentadbiran Anwar kerana kerajaan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan masih baharu dan belum pun berusia 100 hari lagi.
"Biasanya orang baharu kahwin, berdepan dengan pelbagai masalah. Bila kita bercinta dengan kekasih selama tujuh atau lapan tahun, namun bila kita duduk bersama lepas kahwin, banyak perkara yang kita tidak nampak daripada pasangan kita, akan terjelma.
"Kita kemudiannya perlu menyesuaikan diri agar dapat bersama-sama menerima perbezaan cara hidup dan sifat pasangan kita. Jadi sifat kerajaan pun sebegitu. Bila Anwar baru ambil alih, beliau kena sesuaikan diri dengan kondisi kerajaan sedia ada dan keadaan semasa.
"Jadi saya percaya, kerajaan sekarang sedang menyesuaikan diri dengan keadaan sama. Bagi saya tidak sampai 100 hari, tidak adil hendak beri penilaian awal. Mungkin selepas tempoh itu baru sesuai untuk komen," katanya dalam wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian, pada Jumaat.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta memberikan pandangan mengenai Kerajaan Perpaduan Malaysia pimpinan Anwar yang dikatakan masih gagal menunaikan apa yang dijanjikan dalam manifesto PH biarpun sudah lebih dua bulan menguasai Putrajaya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana meneruskan dasar dan program diperkenalkannya sepanjang tempoh 15 bulan menjadi Perdana Menteri, sebelum ini biarpun ada yang dijenamakan semula.
"Saya berterima kasih kerana banyak polisi lama diteruskan kerajaan baharu ini. Banyak tindakan kita diteruskan. Sebagai contoh, pendekatan Menu Rahmah sebenarnya telah saya dilancarkan menerusi program Menu Rakyat 1Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum ini.
"Ketika nilai harga Menu Rakyat 1Malaysia adalah RM2 untuk sarapan, RM4 makan tengah hari. Sekarang walaupun tukar nama, tetapi menu lebih kurang sama. Untuk sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ia disambung dalam bentuk lebih kurang sama, namun nama berbeza.
"Saya harap pada pembentangan Bajet 2023 pada bulan ini, banyak perkara yang diumumkan kita demi kepentingan rakyat sebelum ini, akan diteruskan kerajaan baharu," katanya.
Ditanya mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dilaporkan menurun daripada 48 peratus pada tahun 2021 kepada 47 peratus pada tahun 2022, Ismail Sabri berharap kerajaan akan mengambil tindakan sepatutnya memandangkan Perdana Menteri setiap hari bercakap tentang perangi rasuah.
"Saya harap kerajaan benar-benar mengambil tindakan tegas dan memenuhi hasrat diumumkan Perdana Menteri. Jadi kita tunggulah, tidak sampai 100 hari lagi tempoh pentadbiran kerajaan baharu.
"Mungkin lepas ini, CPI boleh berubah menerusi tindakan-tindakan terkini dilakukan Perdana Menteri baharu," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca