KUALA LUMPUR - Kerajaan campuran pimpinan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu melaksanakan kajian terperinci dan menyeluruh bagi mengenal pasti kadar gaji minimum bersesuaian mengikut kawasan Parlimen dan mampu memenuhi keperluan kos sara hidup rakyat.
Pada masa sama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berharap kerajaan hari ini, perlu segera menguatkuasakan sepenuh dasar gaji minimum RM1,500 kepada semua sektor dan industri demi membela nasib pekerja di Malaysia sekarang.
Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan, kenaikan gaji minimum dari RM1,200 kepada RM1,500 diperkenalkan kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana ada majikan tidak mampu menampung kenaikan kos operasi.
"Pada waktu saya menjadi Perdana Menteri, saya menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan. Tetapi waktu itu ada permohonan daripada syarikat-syarikat kecil yang mempunyai pekerja lima orang ke bawah, minta supaya keputusan kerajaan itu ditangguhkan.
"Bagi saya, tindakan itu tidak patut dan saya setuju sekiranya penetapan kadar gaji minimum baharu dikuatkuasakan segera," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di pejabatnya, pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan di bawah pimpinannya sebelum ini juga membuat kajian secara mendalam supaya kadar gaji mesti berdasarkan kadar kenaikan kos sara hidup rakyat di negara ini.
"Ini penting kerana kalau duduk di Kuala Lumpur, gaji RM1,500 berbanding duduk di Gua Musang, Kelantan atau di Hulu Kelantan. Gaji RM1,500 di sana mungkin rakyat boleh terus hidup. Sebaliknya gaji RM1,500 di Kuala Lumpur tidak boleh hendak 'survive', tidak cukup.
"Jadi masa itu kita tengah buat kajian berdasarkan tempat mereka tinggal. Katakan di Sabah dan Sarawak, harga barang di sana hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
"Hal ini disebabkan tambahan kos pengangkutan dari Kuala Lumpur untuk dihantar ke Sabah. Jadi barang di Sabah lebih mahal, gaji RM1,500 tidak mencukupi," katanya.
Naib Presiden UMNO itu juga berharap kerajaan pimpinan Anwar, dapat meneruskan dasar 'Satu Rumah Satu Keluarga' bagi memastikan setiap keluarga, dapat memiliki rumah sendiri menerusi pembentangan Belanjawan 2023, akhir bulan ini.
Ismail Sabri juga meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat merealisasikan impian untuk melihat semua Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri kerana tidak lagi menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kabinet dalam kerajaan campuran hari ini.
"Saya berasa kesal kerana mungkin banyak perkara baik dirancang dan menjadi sebahagian input Bajet 2023 terutama perumahan untuk rakyat tidak dapat direalisasikan keran saya bukan lagi Perdana Menteri dalam kerajaan hari ini.
"Saya memperkenalkan slogan 'Satu Keluarga, Satu Rumah'. Perkara itu sedang dirancang. Sebab itu saya harap apa sahaja benda baik diperkenalkan kerajaan dahulu yang bermanfaat kepada rakyat perlu diteruskan. Mungkin saya tidak sempat laksanakan, saya kesal tidak dapat teruskan kerana saya sudah tidak jadi Perdana Menteri lagi," katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan dua perkara yang dekat di hatinya ketika menjadi Perdana Menteri ialah perumahan rakyat dan kemiskinan.
Berikutan itu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan hari ini mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang kemiskinan di antara luar bandar dan bandar.
"Itu perkara asas yang saya cuba pastikan berjaya diselesaikan terutama melibatkan isu kemiskinan. Saya tidak mahu tengok keluar dalam media sosial dan media arus perdana, ada rakyat negara ini yang tidak makan, duduk rumah yang tidak layak dianggap sebagai rumah.
"Dahulu kita fokus isu kemiskinan luar bandar, kita terlupa isu miskin bandar sebenarnya lebih serius.Saya cuba hendak membawa pembaharuan, tetapi tidak sempat," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca