KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mendedahkan majoriti daripada 4.5 juta pengundi muda di saluran mengundi lima dan enam menolak calon Barisan Nasional (BN) - UMNO, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mendedahkan majoriti daripada 4.5 juta pengundi muda di saluran mengundi lima dan enam menolak calon Barisan Nasional (BN) - UMNO, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Berikutan itu, Ismail Sabri melahirkan kebimbangan bahawa UMNO akan terus ditolak oleh pengundi muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 nanti kerana menghantar isyarat salah dan bercelaru menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) lalu.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, keadaan sekarang mungkin menjadi lebih buruk selepas UMNO membuat keputusan drastik memecat dan menggantung keahlian UMNO melibatkan beberapa pemimpin berpengaruh dalam parti dan di kalangan anak muda.

Antara pemimpin terbaru yang dipecat adalah bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar manakala mantan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.

"Pemecatan dan penggantungan beberapa tokoh dalam UMNO juga merupakan satu kecelaruan dan saya yakin ia tidak memberi signal yang baik kepada rakyat.

"Seperti yang saya sebutkan, golongan muda amat penting untuk menjamin masa depan mana-mana parti politik.

"Baru–baru ini, kalau tidak silap saya, 4.5 juta pengundi muda mengundi, yang memenuhi saluran 5 dan 6, ataupun 4 dan 5. Kebanyakan mereka menolak UMNO ketika PRU15. Untuk PRU16 pula, akan ada lagi pertambahan pengundi baharu untuk saluran 5 dan 6.

"Kalau pada PRU16, saluran orang muda ini tetap tidak menerima UMNO, apakah harapan kita untuk memenangi PRU terutama kalau dalam keadaan kecelaruan, dan mesej yang salah kita berikan kepada rakyat terutama kepada pengundi muda," katanya ketika sesi wawancara khas bersama Sinar Harian, pada Jumaat lalu.

Wawancara Sinar Harian bersama Ismail Sabri di pejabat beliau. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Ismail Sabri juga menjelaskan ramai anak muda menolak UMNO kerana mereka tidak boleh terima parti dan pemimpin yang dikaitkan dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam.

"Pengundi muda bercakap soal idea, idealisme perjuangan mereka berbeza dengan kita. Mereka tidak kisah dari segi perkhidmatan yang kita beri tetapi mereka melihat dari sudut integriti parti itu sendiri.

"Kalau persepsi parti kita adalah parti yang berkaitan dengan perkara korupsi dan sebagainya, mereka melihat UMNO sudah tidak mempunyai integriti tinggi. Jadi ini merupakan satu perkara yang menjadi pertimbangan kepada penerimaan anak muda.

"Jadi kita dilihat menyekat hak-hak yang sepatutnya diberikan, saya melihat bahawa signal yang salah telah kita berikan kepada rakyat terutama golongan muda.

"Kalau signal yang salah ini diberikan secara berterusan dan tiada tawaran baharu diberikan, saya nampak seperti apa yang penganalisis politik katakan, UMNO akan menghadapi laluan yang sukar," katanya.

Ismail Sabri berkata, tindakan UMNO memecat beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini menyebabkan bilangan ahli dan sokongan terhadap UMNO semakin berkurangan.

"Sebab itulah, Datuk Seri Shabery Cheek mengatakan talian hayat UMNO seperti bar bateri telefon bimbit, mula-mula empat bar. Pecat satu pemimpin tinggal tiga bar, pecat lagi tinggal dua bar dan sekarang mungkin hanya tinggal satu bar sahaja.

"Kalau kita lihat dalam PRU15 lalu, 54 peratus orang Melayu menyokong PN. Jadi kita tidak boleh memandang ringan perkara ini. UMNO parti Melayu terbesar dengan jumlah keahlian lebih 3.5 juta orang, namun akhirnya kita hanya memperoleh 34 peratus undi Melayu pada PRU15 lalu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca