SHAH ALAM - Hukuman berat perlu dikenakan terhadap individu yang didapati melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Peguam Norman Fernandez berpandangan mereka wajar dihukum bukan sahaja mengikut Akta Imigresen 1959/63, tetapi juga disabitkan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022.
"Saya juga berpendapat mana-mana individu atau sindiket termasuk penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti membawa atau membantu pendatang asing tanpa Izin perlu juga dikenakan hukuman mandatori sebatan rotan," katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, golongan ini merupakan pengkhianat negara yang jika dibiarkan mereka 'berkuasa' akan mendatangkan mudarat kepada negara.
"Tindakan tegas, dan jangan lagi diberi muka kepada mereka ini, kerajaan perlu bertindak habis-habisan.
"Petualang-petualang inilah yang akan mengakibatkan negara tergadai pada satu masa kelak," katanya.
Dalam pada itu beliau meminta supaya pihak imigresen mempergiat dan memperbanyakkan lagi operasi secara berterusan bagi menahan golongan ini.
"Orang ramai juga perlu membantu dengan menjadi mata dan telinga manakala pihak berkuasa tempatan juga mesti mengambil berat tentang kehadiran warga asing untuk memastikan PATI tidak boleh menjalankan aktiviti perniagaan di sini," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang melindungi atau menggajikan PATI boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen dan Seksyen 55B akta sama.
Menurut beliau, selain denda, pesalah turut boleh dikenakan hukuman penjara atau enam kali sebatan jika terlibat dengan kegiatan tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca