MEMBUKA gelanggang pemilihan dengan menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Mohd Nazifuddin Najib menyifatkan ia adalah peluang terakhirnya untuk menembusi sistem parti melalui sayap Pemuda UMNO. Di atas kertas,... Klik di sini untuk terus membaca

MEMBUKA gelanggang pemilihan dengan menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Mohd Nazifuddin Najib menyifatkan ia adalah peluang terakhirnya untuk menembusi sistem parti melalui sayap Pemuda UMNO.

Di atas kertas, peluangnya dilihat cerah kerana hadir dengan membawa legasi Tun Razak, namun ahli Pemuda UMNO Langkawi itu menyatakan, ia bukanlah satu kelebihan kerana perlu melalui proses sama dan bertarung dalam proses pengundian.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, Nazifuddin yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut menyentuh tentang cabaran negara dalam menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Banyak lagi yang dikongsikannya dalam wawancara yang dikendalikan wartawan Sinar Harian, Farah Shazwani Ali.

SINAR HARIAN: Datuk menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang. Namun, ia hadir ketika UMNO sedang bergolak. Apakah Datuk berasakan sudah sampai masanya untuk umumkan perkara ini?

NAZIFUDDIN: Sebenarnya, saya memang berhasrat untuk berkhidmat dalam politik. Keluarga saya daripada datuk hingga ke ayah memang berkecimpung dalam politik. Masa pergolakan ini saya tidak tahu, cuma untuk saya jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO, ini adalah jawatan yang perlu disandang bagi mereka yang berumur bawah 40 tahun. Sekarang ini, saya sudah berusia 39 tahun dan ini adalah peluang terakhir untuk saya.

Saya fikir, kalau tak masuk sekarang, bila lagi. Saya lihat sekarang ini ramai anak muda telah menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebagai anak bekas Presiden UMNO, jika saya sendiri tak membantu parti, siapa lagi yang akan bantu? Saya harap kalau dapat bantu sedikit pun, mungkin boleh dapat lebih undi untuk UMNO. Parti ini adalah parti yang ayah saya betul-betul sayang, jadi saya ingin teruskan jasa kepada parti.

SH: Datuk menggariskan antara sebab utama menawarkan diri adalah untuk menarik golongan muda iaitu pengundi baharu lepasan sekolah. Apakah strategi atau pendekatan yang bakal Datuk aplikasikan untuk memastikan generasi baharu ini memilih UMNO?

Bagi menarik golongan muda, paling penting adalah generasinya perlu dekat dengan pemuda. Kalau sudah tua sangat, mungkin beza tahun sudah boleh jadi bapa. Jadi, untuk pemuda kena ada garisan baharu untuk umur lebih kurang 20 ke 30 tahun yang boleh bersama dengan orang muda dan ada connection yang lebih dekat.

Saya rasa, ceramah panjang atau program politik mungkin tradisi yang agak lama. Bukan maksudnya UMNO menggunakan cara itu, tapi bagi orang muda sekarang, mungkin mereka lebih suka format yang lebih cepat dan straight to the point. Kita perlu buat aktiviti lain daripada ceramah, forum yang lebih menarik dan dekat dengan orang muda.

Saya tengok sejarah UMNO ini banyak berbakti kepada orang Malaysia tapi bagi orang muda sekarang, mereka nak mesej UMNO untuk masa depan. Apa yang UMNO boleh berikan untuk orang muda supaya mereka boleh tertarik pada parti kita. Itulah persoalan yang perlu kita cari bersama barisan pimpinan baharu Pemuda UMNO dan kita perlu bersama-sama mereka.

Mohd Nazifuddin sewaktu diwawancara di pejabatnya, baru-baru ini.

SH: Mungkin Datuk akan menggunakan platform sebagai Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM)untuk menarik golongan muda?

Bila saya bersama dengan orang muda dalam sukan, saya lihat perlunya kita bawa sukan bukan sahaja kepada tahap profesional, tapi penglibatan masyarakat sebab kita perlu momentum perpaduan. Saya lihat ramai anak muda yang dahagakan aktiviti sukan dan lifestyle terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita kena hidupkan lagi sukan rakyat dan sukan antara sekolah kerana ia boleh memupuk perpaduan. Sukan ini ada banyak rangkaian, sukan tradisional, e-sport dan sukan pantai. Ada banyak ruang yang boleh kita lihat untuk menarik golongan ini.

SH: Sebelum PRU15, UMNO berjanji untuk melakukan perubahan dengan memberi kepercayaan penuh kepada orang muda serta memulihkan keruntuhan moral dengan 'membuang' pemimpin yang terlibat dengan Kluster Mahkamah. Bagaimana Datuk melihat proses peremajaan dan pembersihan UMNO sekarang?

Peremajaan UMNO tidak boleh dilakukan dalam tempoh sehari. Ini adalah satu proses dan ia berjalan dengan adanya pemilihan, di mana ada orang-orang baharu yang boleh masuk. Jadi, saya rasa proses itu berjalan sendiri. Tapi untuk meremajakan UMNO, kita perlu tarik balik remaja yang berpotensi dan berminat. Cara nak sertai UMNO juga perlu lebih mudah dan ada platform untuk kenal pasti remaja yang berpotensi dibawa masuk ke dalam UMNO.

Saya lihat sekarang ramai yang sudah nak habis waktu mereka untuk memimpin. Jadi, inilah masanya untuk mencari pemimpin-pemimpin baharu dan bekerjasama dengan mereka.

SH: Mereka yang terlibat dengan pemecatan dan penggantungan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan parti tidak patuh undang-undang, zalim dan bertindak sesuka hati untuk kepentingan diri. Sebagai ahli parti, apa komen Datuk sendiri?

Perlu kita tahu dalam sejarah parti, apa yang lebih penting adalah isu sebenarnya. Bila saya dalam persatuan atau dalam badan, kita melihat perlembagaannya akan menjadi dasar sesuatu keputusan. Kadangkala, kita lihat ada perbalahan antara persatuan A dengan B. Kita tak boleh memihak kepada mana-mana sebab ini melibatkan dasar dan peraturan perlembagaan.

Kalau ada pelanggaran peraturan, ada sistem dan lembaga disiplin di mana ada ruang untuk buat rayuan. UMNO adalah satu institusi. Saya lihat setiap individu itu setiap kesnya berbeza. Apa pun, saya rasa akhirnya yang membuat keputusan adalah pemimpin UMNO. UMNO juga mesti ada ruang untuk berbaik semula dengan semua yang diambil tindakan. Mereka yang diambil tindakan, mesti ada sebabnya. Ini semua satu proses dan terpulang kepada mereka yang terlibat untuk merayu.

Tapi yang penting sekarang adalah masa depan UMNO. Kita kena lihat ke depan dan macam mana nak bangunkan kembali parti. Damaikan dan bawa balik kepercayaan kepada UMNO dan seterusnya bersedia untuk pilihan raya akan datang.

SH: Penganalisis politik berpendapat, tindakan menggantung dan memecat beberapa pemimpin menunjukkan UMNO tidak mahu berubah dan akan menjadi sebab parti itu sukar dapatkan sokongan rakyat selepas ini, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Pandangan Datuk?

Mungkin itu pandangan individu tapi kita ada perancangan untuk melakukan pembaharuan dalam parti. UMNO ada struktur dan peraturan yang sangat ketat. Kita ada peluang merayu dan untuk masa depan, mungkin kita boleh lihat jika ada keperluan untuk tukar apa yang patut demi meremajakan lagi parti. Peluang untuk lebih bersuara, lebih demokrasi, ini satu tanggungjawab kepada pemimpin-pemimpin akan datang selepas pemilihan parti nanti.

Saya rasa apa yang penting adalah pada PRN nanti. Pemilihan calon-calon yang betul dan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH). Kita belum pernah bersama dengan PH sebagai satu pasukan dalam PRN atau pilihan raya. Jadi, saya rasa kita perlu berbincang dengan PH lebih teliti bagaimana nak berdepan dengan PRN.

Kita perlukan satu pasukan yang kuat, walaupun mungkin akan ada unsur perbezaan pendapat tapi saya harap dengan pemuda yang ada dalam parti, kita boleh buat pendekatan politik yang matang. Sekarang ini, penting untuk kita bersama semua pihak dalam politik dan bukannya bermusuh. Ini untuk kestabilan.

SH: Di sebalik pergolakan yang berlaku, adakah Datuk yakin UMNO akan bangkit dan pulih semula?

Kita perlukan muka-muka baharu dalam UMNO dari segi barisan kepimpinan dan parti perlukan masa untuk selesaikan isu yang baru sahaja berlaku. Saya tahu, apabila kehilangan pemimpin di mana-mana bahagian itu memberikan impak yang besar kepada kawasan terbabit.

Bila pemimpin itu sudah tidak ada, isunya adalah ahli-ahli UMNO yang mungkin ke parti lain atau mungkin marah. Benda-benda itu kita kena betulkan dan rapatkan kembali saf UMNO untuk kembali kepada perpaduan dalam UMNO agar kita lebih bersedia.

SH: Bagaimana hubungan Datuk dengan ayah, Datuk Seri Najib Tun Razak? Bila kali terakhir bercakap dengan beliau dan apakah ada kata-kata nasihat yang beliau sampaikan?

Beliau masih sibuk dengan urusan mahkamah dan ada kalanya saya dapat berjumpa. Pastinya keadaan sudah tidak sama dengan dulu. Beliau masih tabah dan percaya dengan sistem kehakiman Malaysia. Saya juga berharap satu hari nanti beliau akan kembali bersama keluarga. Kali terakhir saya berjumpa dengan beliau Jumaat minggu lepas di mahkamah, nampak keadaannya ceria.

SH: Setelah lima bulan di Penjara Kajang, bagaimana keadaan terkini Datuk Seri Najib sekarang?

Beliau kelihatan agak susut badan, mungkin kelihatan lebih segak tapi saya tahu di dalam sana, lebih sepi dan keseorangan. Tapi, kita kena teruskan apa yang boleh kita buat. Saya sebagai anak akan cuba bantunya dari segi persediaan penghakiman. Perjuangan dalam UMNO juga akan diteruskan dan apa yang dia ingin lakukan untuk Malaysia, saya akan teruskan. Insya-ALLAH.

SH: Bagaimana Datuk mengambil aura bapa, Datuk Seri Najib dan datuk, Tun Abdul Razak Hussein yang mana kedua-duanya adalah bekas perdana menteri sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan perjuangan dalam bidang politik?

Beliau (Najib) nak saya teruskan perjuangan seperti biasa. Bagi ayah, apa yang diperjuangkan itu adalah beban yang dia nak pikul sendiri tapi sebagai ahli keluarga, saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu.

Kita tak boleh bantu dalam proses penghakiman tapi kita cuba bantu dan teruskan legasi beliau dalam politik. Inilah apa yang saya boleh buat supaya orang masih ingati beliau. Ramai dalam UMNO yang masih sayangkannya.

SH: Datuk datang daripada keluarga aristokrat. Apakah Datuk juga bercita-cita untuk menjadi perdana menteri juga suatu hari nanti?

Saya tidak melihat ia satu kelebihan tapi bersyukur dan bangga kerana kita daripada keluarga yang baik. Tapi untuk meneruskan perjuangan, kita perlu melalui proses sama. Saya terus melawan dalam proses pengundian wakil-wakil Pemuda UMNO. Saya tidak rasakan ia satu kelebihan. Bapa saya juga sedang melalui proses penghakiman.

Saya hanya nak teruskan legasi baik, banyak program-program dan polisi beliau yang membantu rakyat. Saya percaya, polisi ini terbaik untuk Malaysia. Kalau boleh, kita nak bawa balik kestabilan dan kemakmuran yang telah beliau lakukan dulu dan sambung kembali. Bagi saya, lapan tahun beliau menjadi perdana menteri, banyak kejayaan dan perubahan yang telah berlaku hasil jasanya.

SH: Datuk Mohd Nizar pernah menyatakan yang usaha untuk membela dan membantu Datuk Seri Najib akan diteruskan selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Persekutuan. Boleh Datuk kongsikan jika ada perkembangan berkenaan hal ini selepas hampir lima bulan beliau dipenjarakan?

Proses itu perlu dibuat oleh orang profesional. Kita sebagai ahli keluarga, adalah support system kepada beliau. Kita bukan boleh masuk campur dalam isu ini. Tapi kami selalu melawat beliau, ada kalanya nak tahu apa yang jadi dalam UMNO. Kalau beliau tahu UMNO lebih maju dan bertambah baik, ini adalah satu hadiah untuknya. Setiap kali jumpa, ayah ada beritahu risau tapi kita cuba bantu teruskan apa yang diperjuangkan untuk parti.

SH: Adakah Datuk sering berkumpul dan bersama Datuk Nizar dan adik-beradik lain untuk bertukar pandangan dan saling memotivasi sesama sendiri dalam meneruskan survival legasi Tun Razak dalam bidang politik?

Tun Razak dan ayah saya telah letakkan bar yang tinggi. Bagi saya dan abang, mungkin apa yang kita nak buat jauh berbeza dengan sumbangan kedua-duanya. Tapi kita perlu teruskan perjuangan itu. Kalau kita boleh membantu satu, dua orang rakyat sekali pun, itu adalah satu hadiah buatnya. Ini memang perjuangannya untuk rakyat.

SH: Selepas PRU14, walaupun ketika itu ada yang menganggap Datuk Seri Najib sudah tidak relevan dan ditinggalkan, namun beliau bangkit semula dengan fenomena Bossku serta media sosial yang padu. Apa yang boleh Datuk teladani dan pelajari daripada hal ini?

Fenomena Bossku bukanlah sesuatu yang dibuat, tapi ia datang secara semula jadi. Saya lihat ini adalah kehebatan beliau sebagai seorang pemimpin. Walaupun banyak tohmahan diberikan, ayah boleh keluar kepada rakyat dan menjadi Bossku. Ia satu perkara yang luar biasa.

Saya rasa apabila ada pemimpin yang cuba nak buat benda sama, mereka tak dapat buat sebagaimana yang beliau buat. Inilah legasi yang walaupun berapa banyak tuduhan mahkamah, beliau akan tetap jadi Bossku.

SH: Bagaimana dengan persiapan Sukan Olimpik Paris 2024 setakat ini, adakah Malaysia bersedia?

Persediaan memang sentiasa ada dan persiapan, saya rasa kita sudah sampai ke tahap yang baik. Cuma sekarang kita kena lihat dari segi bajet dan keutuhan atlet. Kita boleh sediakan fasiliti terbaik tetapi untuk mendapatkan emas di Paris, memerlukan atlet betul-betul bermotivasi yang sanggup buat apa sahaja. Itu satu benda yang kita sebagai fasilitator dan pentadbir tak dapat kawal dan bergantung kepada atlet serta kebolehan mereka sendiri.

Sebagai contoh Datuk Lee Chong Wei, dia sangat bermotivasi mengikuti latihan dari jam 5 pagi hingga tengah malam setiap hari sampai ke Olimpik. Benda macam tu kita tak boleh paksa atlet. Saya rasa, kita perlu lihat balik kepada akar umbi, di mana kita boleh dapatkan lebih ramai atlet yang berpeluang untuk ke Olimpik. Sekarang, Sukan Olimpik Paris 2024 sangat dekat tapi perancangan untuk mendapatkan emas itu perlukan masa yang panjang. Atlet kelas dunia tak boleh dilahirkan dalam tempoh setahun dua.

SH: Negara kita masih menggunakan pendekatan sama iaitu menyandarkan beberapa jenis sukan dan atlet sama untuk raih emas sulung negara seperti terjun, badminton dan berbasikal trek. Bagaimana dengan potensi sukan lain?

Setiap sukan ada pro dan kontranya, masing-masing ada cabaran dan kelebihan. Contohnya kita lihat negara China memang mengungguli dalam sukan terjun sebab mereka boleh latih atlet daripada umur 10, 11 tahun dan berlatih setiap hari. Benda macam itu kita tak dapat buat. Kita boleh buat yang paling tinggi pingat gangsa bila lawan dengan negara-negara ini, memang susah nak lepasi emas dan perak.

Bagi sukan berbasikal trek pula, itu sangat subjektif dan perbezaan nombor satu dan dua. Paling dekat dan ada kemampuan adalah Datuk Mohd Azizulhasni Awang. Dia sudah lepas pembedahan dan peluang itu ada, tapi kita tak tahu sejauh mana dia dapat buat kejutan kali ini.

Bagi badminton, ada isu di mana atlet di bawah program kita, fokus dan jadual latihan mereka dikawal tapi bila ada atlet di luar program iaitu atlet profesional, kita lihat sendiri keputusannya tak konsisten. Kita tak boleh paksa mereka buat latihan setiap hari, jadi terpaksa ikut rentak mereka.

Semestinya kita memerlukan fasiliti yang terbaik tapi berbalik kepada atlet itu sendiri, kemahuan mereka untuk mencapai emas di Sukan Olimpik. Itu yang paling penting, kita kena lihat juga dari segi psikologi dan mental supaya kita boleh keluarkan lebih banyak atlet yang fit dan kuat untuk mencapai emas dalam Sukan Olimpik.

Klik di sini untuk terus membaca