KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menyiasat mana-mana akaun milik parti politik, individu, syarikat swasta dan agensi kerajaan yang disyaki terlibat dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menyiasat mana-mana akaun milik parti politik, individu, syarikat swasta dan agensi kerajaan yang disyaki terlibat dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebiasaannya SPRM hanya akan memulakan siasatan ke atas parti politik, individu, syarikat swasta dan agensi kerajaan jika suruhanjaya itu menerima laporan rasmi dibuat mana-mana pihak.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan, SPRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri berhubung siasatan dilakukan.

"Jadi setakat ini mereka menerima maklumat menjurus kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi sebab itulah mereka membekukan akaun Bersatu untuk membantu siasatan lanjut kes penyelewengan dana Covid-19 semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dahulu.

"Sebenarnya SPRM mempunyai SOP tersendiri mengenai bagaimana dan siapa bakal disiasat, namun saya tidak tahu siasatan ke atas akaun Bersatu berdasarkan bukti apa," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada wajar atau tidak SPRM menyiasat sumbangan dana parti bukan hanya kepada parti politik di blok pembangkang, malah penyokong kerajaan campuran di Putrajaya sekarang.

Pada Rabu, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan terdapat beberapa akaun milik parti yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibekukan bagi tujuan membantu siasatan ke atas wang yang disyaki diperoleh daripada hasil haram.

Azam dilaporkan berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Pembekuan akaun itu hanya membabitkan akaun di peringkat Pusat.

Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

Dr Muhammad Faiz dilaporkan berkata, pembekuan akaun itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Disember tahun lalu, SPRM telah menerima butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan Covid-19.

Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

Klik di sini untuk terus membaca