SHAH ALAM - Bagi memastikan pekerja warga asing tidak memanipulasi ‘kebaikan’ negara untuk terus tinggal di negara ini, kerajaan disarankan untuk mengurus kemasukan mereka secara sistematik.
Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, undang-undang sedia ada tidak cukup ketat selain kemasukan mereka yang tidak diurus dengan baik menyebabkan segelintir warga asing mengambil kesempatan untuk terus tinggal di negara ini.
Jelasnya, ini sekali gus menyebabkan berlakunya lambakan warga asing selain ‘mencuri’ hasil dapatan rakyat tempatan.
"Peranan negara dalam mengatur dan mengendalikan kemasukan pekerja asing adalah penting dalam mempengaruhi kesannya terhadap kadar upah dan peluang pekerjaan pekerja tempatan.
"Peranan kerajaan amat penting dalam melaksanakan setiap pelan atau rancangan negara agar tidak mendatangkan kesan negatif kepada negara sendiri,” katanya kepada Sinar Premium.
Sebagai contoh katanya, walaupun buruh asing mendatangkan impak yang agak positif kepada negara, namun perkara itu bukan menjadi satu alasan untuk pihak kerajaan mengabaikan atau memandang ringan terhadap pekerja asing yang masuk tanpa permit.
Justeru katanya, perkara itu perlu dibendung dengan segera demi kepentingan dan keselamatan rakyat serta negara.
"Sebagai contoh, dengan memperkasakan pemantauan oleh pegawai-pegawai imigresen dengan bantuan tentera laut dan maritim di kawasan-kawasan sempadan perairan khususnya yang menjadi pusat atau ‘laluan tikus’ bagi buruh asing tanpa izin, seperti sempadan di antara Filipina dan Sabah,” katanya.
Malaysia merupakan sebuah negara membangun dan terdapat banyak perkara yang perlu dipertingkatkan untuk menuju ke arah negara maju, justeru tegas Hussain Yusri, kerajaan amat memerlukan pelan tindakan strategik berterusan bagi mendepani isu itu.
Walau tidak menafikan pengambilan tenaga kerja dari negara luar merupakan salah satu strategik untuk memastikan ekonomi serta pembangunan negara ini dapat berjalan dengan lancar, Hussain berkata, kebaikan itu tidak harus membuatkan kerajaan ‘memandang sebelah mata’ perkara berkenaan.
"Kemasukan buruh asing memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang ekonomi dan kadar upah yang diterima oleh pekerja tempatan.
"Kesan ini berbeza antara satu negara dengan negara lain bergantung kepada campur tangan kerajaan, peranan kesatuan sekerja, pencapaian pendidikan dan kemahiran dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.
Beliau berkata, dalam menuju ke arah negara maju, pihak kerajaan juga perlu bijak mengatur masalah pekerja tempatan khususnya dari segi pekerjaan.
Tambahnya, tidak dinafikan bahawa kebanyakan masyarakat agak memilih pekerjaan terutamanya melibatkan kerja-kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar).
"Walau bagaimanapun, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk menarik minat pekerja tempatan untuk melibatkan diri dan mengambil peluang pekerjaan di negara sendiri.
"Contohnya penambahbaikan dalam bidang pendidikan dan latihan untuk sektor pekerjaan 3D perlu diberi perhatian. Hal ini kerana latihan yang sesuai dalam bidang-bidang berkaitan boleh merangsang minat pekerja tempatan untuk memasuki sektor ini seperti memperbanyakkan lagi institusi-institusi kemahiran kepada para belia khususnya,” katanya.
Tambahnya, selain itu, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam mengasingkan keperluan pekerja asing dengan rakyat tempatan agar tidak berlaku persaingan antara mereka khususnya dari segi prasarana.
"Persaingan ini mewujudkan satu kehidupan sosial yang kurang sihat dan pihak kerajaan perlu bijak dalam mengatur dan menyediakan prasarana mengikut keperluan dan kesesuaiannya. "Sebagai contoh, mewujudkan klinik atau hospital buat pekerja asing bagi memudahkan pihak hospital untuk mengasingkan dokumen peribadi mereka dengan penduduk tempatan.
"Hal ini adalah demi kebaikan antara masyarakat tempatan dan juga pekerja asing yang mana kedua-duanya mendapat faedah, namun dalam segala perkara keutamaan rakyat lebih didahulukan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca