KUALA LUMPUR - Warga asing yang tinggal lebih masa di negara ini dipercayai dijaga dan dilindungi oleh sindiket. Perkara itu didedahkan oleh Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Warga asing yang tinggal lebih masa di negara ini dipercayai dijaga dan dilindungi oleh sindiket.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal yang menegaskan bahawa sindiket terbabit sangat licik mengaburi mata penguat kuasa sehinggakan mereka gagal dikesan.

"Taktiknya begini, saya ambil contoh seorang rakyat Indonesia, dia keluar masuk setiap minggu bagi membawa masuk pekerja ke Malaysia. Dia hidup mewah dek kerana 'pekerjaan' ini.

"Begitu juga warga Nepal dan Bangladesh. 'Orang dia' sudah ada (bawa masuk pekerja). Mereka ini berselindung di sebalik restoran dan kedai makan mereka sendiri.

"Jadi pekerja-pekerja asing ini dilindungi. Sindiket ini susah hendak dikesan, licik dan mereka pandai berpura-pura," katanya kepada Sinar Premium.

Jelasnya, sindiket dan warga asing tersebut pandai beradaptasi dengan budaya Malaysia bagi memastikan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa.

"Mereka boleh tukar identiti dan tiru cara kita. Misalnya, dia datang pada mulanya dengan penampilan tanpa janggut namun apabila tiba di sini, berubah ada janggut, orang nampak dia hari-hari ada di surau. Jadi siapa sangka dia orang luar.

"Dia nampak macam orang Malaysia. Polis hendak kesan pun susah sebab mereka lebih kurang sama macam orang kita," katanya.

Pada Julai tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pendedahan mengejutkan apabila lebih 1.2 juta warga China dilaporkan tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.

Mengikut rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Malaysia ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari Malaysia bagi tempoh sama hanya 5,954,000 orang.

Lantaran itu, timbul persoalan jumlah warga asing dari negara lain terutamanya Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam dan India yang masuk ke Malaysia tetapi turut tidak pulang ke negara masing-masing.

Sementara itu, tambah Mohamed Shafie, warga asing yang bermastautin di negara ini masing-masing memiliki pertubuhan bagi menjaga kebajikan kelompok mereka.

"Mereka ini seronok tinggal di Malaysia, mereka ada pertubuhan. Jika di Bangladesh dia ada pertubuhan, begitu juga dengan Indonesia dan Nepal.

"Orang ini sudah duduk di Malaysia berpuluh tahun, dalam 20 hingga 30 tahun. Selain itu bagi memastikan mereka kekal di Malaysia, ada dalam kalangan mereka berkahwin dengan orang kita," katanya.

Mohamed Shafie turut mendedahkan, terdapat kes seorang warga Indonesia mampu hidup mewah dengan merekrut pembantu rumah dari negara itu bagi memenuhi pasaran tempatan.

Jelasnya, lelaki Aceh itu berjaya memperoleh pendapatan sekitar RM60,000 hingga RM80,000 sebulan, dan mampu membina kediaman mewah di negara asalnya.

"Taktiknya, dia akan membawa masuk 10 orang pembantu rumah (dalam satu-satu masa) dari sana menerusi pintu belakang.

"Sampai di sini dia simpan di kondominium dan dia akan hubungi pihak yang berminat. Dia boleh 'jual' pembantu rumah itu antara RM8,000 ke RM10,000 seorang," dedahnya.

Klik di sini untuk terus membaca