SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia menerusi Ops Guard akan terus berusaha mengekang pencerobohan migran.
Pengarah Maritim Negeri Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi bersepadu ini bagi mempertingkat usaha mengesan dan mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh ke dalam negara melalui jalan laut.
"Setiap agensi telah menggerakkan aset masing-masing.
"Maritim melaksanakan kawalan di perairan sepanjang 24 jam dan kita percaya kegiatan penyeludupan PATI ini turut membabitkan orang tempatan,” katanya kepada Sinar Premium.
Beliau berkata, antara modus operandi yang dikesan adalah pencerobohan dalam skala kecil dengan menggunakan bot nelayan atau bot kecil.
Katanya, pemantauan mengenai taktik itu sentiasa dilaksanakan bagi mengesan bot-bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Justeru, pihaknya menyeru masyarakat untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang isu membabitkan penyeludupan dan pencerobohan PATI.
"Diingatkan, mereka yang terlibat bersekongkol dengan kegiatan haram ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, rondaan 24 jam yang dilakukan pihaknya sentiasa memeriksa bot termasuk nelayan tempatan.
Jelasnya, modus operandi sekarang adalah berbeza yang mana PATI yang dibawa masuk akan dipindahkan ke bot-bot kecil di tengah sempadan perairan negara.
"Sindiket tidak lagi menggunakan bot pom-pom atau bot khas untuk bawa masuk PATI.
"Berdasarkan maklumat hasil tangkapan yang dijalankan, PATI ini membayar kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 setiap seorang,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca