SHAH ALAM - Kerajaan perlu bersikap tegas dan jangan lagi memberi ‘muka’ kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi memastikan mereka tidak ‘naik lemak’ hingga mengetepikan peraturan dan undang-undang negara lain.
Pengerusi Penaja E-Ihsan, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya menyokong tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk membanteras PATI bagi mengatasi lambakan warga asing hingga mempengaruhi peruntukan negara.
"Kita memang sokong usaha ‘pembersihan’ oleh imigresen. Jika agensi itu kerap melaksanakan serbuan maka dapat mengatasi isu lambakan PATI sekali gus pihak luar pun tidak berani masuk campur berkenaan isu ini.
"Isunya sekarang, negara kita terlalu mengambil kira hubungan diplomatik yang menyebabkan operasi ‘kendur’. Tetapi sebagai kerajaan, mereka perlu (tumpuan) menjaga hak asasi orang tempatan berbanding pendatang asing.
"Kini, PATI dah ‘mencuri’ kos sara hidup rakyat tempatan.
"Jadi, kumpulan berkenaan perlu dibanteras kerana boleh mencetus bangsa baharu,” katanya kepada Sinar Harian.Tegas Ridzuan, pihak luar khususnya Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) Indonesia dinasihatkan tidak campur tangan mengenai tindakan imigresen dalam menangani isu PATI.
Ujarnya, Komnas HAM sepatutnya bertanggungjawab dan mengawasi rakyat mereka supaya tidak sesuka hati menjadikan negara lain sebagai penempatan haram.
Tegasnya, tindakan imigresen itu bagi menggelakkan negara menjadi ‘tong sampah’ kepada PATI.
"Jangan fikir hak perikemanusiaan sahaja tetapi sikap PATI khususnya Indonesia dan Rohingya ini tidak dipedulikan.
"Pihak luar sebelum campur tangan perlu bertanggungjawab dan adil serta mengawasi rakyat mereka sendiri supaya tidak mengganggu budaya, amalan dan keharmonian Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Shahrul Aman Mohd Saari turut mempertahankan tindakan imigresen yang melakukan serbuan di penempatan haram di Nilai Spring, Negeri Sembilan, baru-baru ini dan disifatkan sebagai satu langkah dalam menangani lambakan PATI di Malaysia.
Tegasnya, serbuan itu tidak akan dilaksanakan imigresen tanpa usul periksa sekiranya tiada pelanggaran dibuat oleh pendatang berkenaan.
"Undang-undang secara umum perlu dihormati begitu juga hak asasi manusia.
"Jika ada pelanggaran, maka (warga asing) harus mematuhi peraturan di negara ini.
"Lagipun pegawai dan anggota imigresen (bertanggungjawab) menjalankan tugas. Melainkan ia (perbuatan) memang jelas membuktikan kita tidak mematuhi prinsip Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), maka Komnas HAM Indonesia boleh bersuara.
"Tetapi apa pun yang berlaku perlulah adil dan saksama, tidak boleh ada unsur penindasan secara tersembunyi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca