PEMBANGUNAN infrastruktur terutamanya jalan raya di luar bandar sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan kawasan berkenaan mendapat kemudahan yang lebih selesa, selamat sekali gus memberi pulangan terhadap ekonomi rakyat setempat. Bagi... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBANGUNAN infrastruktur terutamanya jalan raya di luar bandar sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan kawasan berkenaan mendapat kemudahan yang lebih selesa, selamat sekali gus memberi pulangan terhadap ekonomi rakyat setempat.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Pilah, DATUK ADNAN ABU HASSAN, ia menjadi antara agenda yang diperjuangkan pihaknya selain pembangunan ekonomi, jaringan internet, pendidikan dan lain-lain.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, NORAFIDAH ASSAN bersama Adnan baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Selepas berjaya merampas semula kerusi Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apakah yang menjadi fokus Yang Berhormat (YB)?

ADNAN: Kemudahan jalan raya yang lebih baik menjadi fokus saya untuk penduduk Kuala Pilah memandangkan daerah ini merupakan antara laluan alternatif yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Soal kemudahan ini cukup penting kerana ia juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk di daerah ini sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan luar bandar.

Malah, kita telah mengenal pasti beberapa jalan raya yang perlu diberi keutamaan untuk disiapkan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kesesakan trafik terutamanya pada waktu puncak termasuk pada hari perayaan, musim cuti sekolah dan hujung minggu seperti jalan Seremban-Kuala Pilah.

Jumlah kenderaan yang menggunakan laluan ini lebih kurang 28,000 kenderaan sehari atau purata 2,800 kenderaan dalam tempoh satu jam.

SH: Bagaimana usaha dilakukan dalam memastikan perkara yang menjadi fokus YB dapat dicapai?

Kita telah membuat pertemuan dengan agensi dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab bagi tujuan tersebut antaranya, isu naik taraf jalan raya di jalan Seremban-Kuala Pilah iaitu di jambatan Kampung Sawah Liat.

Saya juga telah melawat lokasi tersebut di mana ia melibatkan penggantian axle load kerana jambatan sempit dan uzur. Ia sepatutnya siap pada awal tahun ini namun berdepan dengan beberapa kekangan sekali gus mengambil sedikit masa termasuk sewaktu negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Dalam lawatan berkenaan, saya mohon agar kerja-kerja berkaitan pembaikan jambatan tersebut disegerakan dan diberikan keutamaan, memandangkan ia menyumbang kepada gangguan aliran trafik. Pihak kontraktor telah memberi jaminan untuk menyiapkan jalan tersebut secepat mungkin.

Adnan (kiri) ketika melawat kerja naik taraf jalan raya di jalan Seremban-Kuala Pilah di jambatan Kampung Sawah Liat baru-baru ini.

Saya juga meminta pihak kontraktor mengemukakan tempoh masa (time frame) lebih spesifik agar kerja-kerja dapat disiapkan mengikut jadual dengan segera untuk keselesaan pengguna yang menjadikan jalan ini sebagai laluan utama.

SH: Apakah jenis projek jalan raya yang sedang dalam pembinaan dan cadangan pada masa akan datang?

Setakat ini naik taraf jalan raya sedia ada melibatkan runtuhan cerun akibat hujan berterusan pada hujung tahun lepas, antaranya di laluan FT 1275 Seksyen 2.7 Jalan Felda Kepis sepanjang 30 meter melibatkan kedalaman runtuhan dianggarkan 10 meter.

Berkaitan cerun ini, ia berada dalam bidang kuasa unit cerun di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR). Mereka ada konsortium yang telah dilantik bagi kerja-kerja baik pulih cerun di kawasan kita terutamanya di Kuala Pilah dan melibatkan peruntukan secara terus daripada kementerian sendiri bukannya melalui JKR negeri ataupun daerah.

Selain itu, saya telah berbincang dengan JKR tentang perlunya ada satu lagi jalan raya penghubung yang baharu untuk ke Kuala Pilah atau melalui daerah ini seterusnya lencongan terus ke daerah Jempol dan menghala ke negeri Pantai Timur.

Sedia maklum jalan sedia ada ini menjadi pilihan utama kenderaan berat kerana kecuraman jalan raya yang lebih rendah berbanding Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak.

Selain itu, disebabkan jumlah kenderaan berat yang tinggi dengan bilangan lorong memotong terhad, ia menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang laluan ini.

Saya akan bawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi supaya pembinaan jalan alternatif atau jalan jajaran baharu ini dapat diberi keutamaan oleh kerajaan.

SH: Sebagai Timbalan UMNO Bahagian Kuala Pilah, apakah persediaan parti untuk membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti?

Parlimen Kuala Pilah meliputi lima DUN iaitu Pilah, Juasseh, Johol, Seri Menanti dan Senaling. Setakat ini belum ada pembahagian kerusi namun kita sudah bersiap sedia bagi memastikan lima DUN ini dimenangi oleh BN.

Insya-ALLAH walaupun ia bukanlah tugas yang mudah tetapi kita harus meletakkan keyakinan untuk menang kerana kita masih lagi kubu kuat BN secara tradisinya. Kita ada 55 pusat daerah mengundi dan bersedia untuk PRN.

Beberapa calon telah dikenal pasti di peringkat UMNO Kuala Pilah dan ia sudah dihantar ke UMNO Pusat untuk dinilai.

PROFIL

ADNAN ABU HASSAN

Umur: 53 tahun

Asal: Kampung Batang Pilah, Senaling, Kuala Pilah

Status: Berkahwin / Lima anak

Kelulusan: Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya

Jawatan:

Timbalan UMNO Bahagian Kuala Pilah

ADUN Senaling (2018-kini)

Ketua UMNO Cawangan Batang Pilah

Peguam

Klik di sini untuk terus membaca