UMUM mengetahui bahawa kita berpotensi berhadapan krisis ekonomi luar biasa tahun ini dan ia memerlukan pendekatan yang luar biasa. Namun, amat penting dalam berhadapan krisis ekonomi ini, sejauh mana kita memahami gelombang yang bakal... Klik di sini untuk terus membaca

UMUM mengetahui bahawa kita berpotensi berhadapan krisis ekonomi luar biasa tahun ini dan ia memerlukan pendekatan yang luar biasa. Namun, amat penting dalam berhadapan krisis ekonomi ini, sejauh mana kita memahami gelombang yang bakal mendatang.

Di dalam penulisan pada 10 Januari lalu, saya memberikan penekanan kepada krisis ekonomi yang semakin hampir. Terbaharu, Bank Dunia juga telah memberi amaran bahawa kemelesetan ekonomi sudah semakin hampir.

Bank Dunia telah mengemas kini dan mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi global 2023 kepada 1.7 peratus daripada unjuran awalnya sebanyak tiga peratus. Sekiranya berlaku, ia bakal menjadi pertumbuhan tahunan ketiga paling lemah dalam tempoh 30 tahun, selepas kemelesetan besar yang berpunca daripada krisis kewangan global 2009 dan pandemik Covid-19 pada 2020.

Amaran ini perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dan semua pihak agar kita bersedia untuk berhadapan sebarang kemungkinan luar jangka. Kita berharap pada yang terbaik. Pelbagai indikator yang berlaku di peringkat global juga sebenarnya memberikan gambaran terhadap tekanan ekonomi, antaranya aspek kenaikan inflasi, tekanan di sektor tenaga disebabkan oleh kenaikan harga arang batu, kenaikan mendadak harga barangan dan isu melibatkan peluang pekerjaan.

Syarikat gergasi seperti Google, Microsoft dan Twitter juga berhadapan masalah berikutan situasi tidak menentu ekonomi global dan telah mengumumkan untuk mengurangkan kakitangan mereka tahun ini. Microsoft pada 18 Januari 2023 lalu memaklumkan akan mengurangkan 10,000 kakitangannya dalam tempoh beberapa bulan akan datang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan pertumbuhan perniagaan yang perlahan serta mengurangkan kos yang ditanggung.

Syarikat induk Google, Alphabet Inc juga telah mengumumkan pengurangan kira-kira 12,000 kakitangannya di seluruh dunia berikutan perubahan realiti ekonomi, manakala Twitter pula hanya tinggal 1,300 pekerja sahaja.

Perkara ini tidak hanya melibatkan syarikat berasaskan kepada teknologi tetapi ia juga melibatkan industri lain yang telah mengurangkan pekerjanya disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk ketidaktentuan ekonomi yang berlaku pada ketika ini.

Terbaharu, Laporan 2023 Randstad Workmonitor melalui survei yang dilaksanakan melibatkan 35,000 pekerja di seluruh dunia menunjukkan bahawa kira-kira 52 peratus daripada responden bimbang tentang kesan ketidaktentuan ekonomi terhadap keselamatan pekerjaan mereka dan lebih satu pertiga (37 peratus) secara jelas bimbang tentang kehilangan pekerjaan mereka, manakala 70 peratus berpendapat bahawa kedudukan kewangan mereka menghalang mereka daripada bersara seawal yang mereka ingini.

Negara kita juga perlu melihat trend pengurangan kakitangan di peringkat global ini secara lebih serius agar kita dapat mengurangkan kesan krisis ekonomi terhadap peluang pekerjaan. Selain itu, bukan sahaja peluang pekerjaan penting untuk diberikan perhatian, namun gaji yang diperoleh perlu setimpal dengan tugas diberikan termasuk mengambil kira kos sara hidup semasa yang meningkat.

Akhir sekali, isu ini bukan sahaja melibatkan mereka yang berkelulusan Ijazah dan ke bawah sahaja, bahkan kerajaan juga perlu melihat bagaimana untuk memastikan rakyat Malaysia yang berkelulusan master dan doktor falsafah juga mempunyai ruang memperoleh peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Pada ketika ini, graduan master dan doktor falsafah juga agak sukar untuk memperoleh pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan akademik mereka.

Oleh demikian, kerajaan perlu melihat penciptaan peluang pekerjaan ini secara menyeluruh dan mencakupi keseluruhan peringkat kelayakan akademik rakyat Malaysia untuk disesuaikan dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan sama ada di sektor awam mahupun swasta.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca