TAHUN 2022 di London penuh dengan cerita. Belum sampai enam bulan, United Kingdom (UK) sudah berubah pemerintahnya. King Charles III menggantikan Queen Elizabeth II yang mangkat, membuka lembaran baharu perubahan daripada seorang ratu... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 2022 di London penuh dengan cerita. Belum sampai enam bulan, United Kingdom (UK) sudah berubah pemerintahnya. King Charles III menggantikan Queen Elizabeth II yang mangkat, membuka lembaran baharu perubahan daripada seorang ratu kembali kepada raja.

Perdana menteri juga berubah sehingga tiga orang dalam tempoh tak sampai empat bulan sejak Julai 2022. Bermula dengan Boris Johnson yang sering dipersoal kredibiliti untuk mengembalikan kestabilan ekonomi pasca pandemik serta palitan kontroversi beberapa insiden pelanggaran SOP lock down, beliau meletak jawatan akhirnya.

Liz Truss yang menggantikannya pula tidak mampu bertahan dengan situasi politik tak menentu, turut menurut jejak meletak jawatan hanya setelah 45 hari menjadi perdana menteri, terpendek dalam sejarah politik moden UK. Beliau diganti dengan Rishi Sunak, ‘orang luar’ pertama bukan daripada kelompok Anglo Saxon yang menjadi perdana menteri.

Seperti berubahnya lanskap politik, kota London juga berubah. Kini kembali meriah dengan pelancong asing. Di era Covid-19 tahun 2020, hanya sekitar 2.72 juta pengunjung antarabangsa dicatat, jatuh merudum berbanding 21.9 juta tahun sebelumnya. Khabarnya, pada tahun 2022 sahaja, UK telah dikunjungi hampir 30 juta pelancong.

Walaupun sektor ekonomi kembali menyinar terutama aktiviti pelancongan, gelojak perang Rusia dan Ukraine membuatkan musim sejuk di Eropah begitu panas dengan kenaikan harga barang. Meskipun tiga tahun keluar daripada kesatuan Eropah, kemarau ekonomi memberi kesan kepada UK. Rakyat terus merungut apabila kehidupan panca pandemik tidaklah kembali baik seperti yang diharapkan.

Jika di Malaysia ada krisis telur ayam, di UK boleh dikatakan semua harga barang naik mendadak. Sebuku roti 800 gram yang dulu harga puratanya 1.06 pound kini mencecah 1.36 pound. Telur ayam juga tak terkecuali, dulu pelbagai saiz bermula dengan harga 1.20 pound untuk 15 butir, kini mencecah sehingga 2.40 pound bagi enam butir telur sehaja.

Tak cukup dengan harga barang, bil elektrik dan gas juga melambung naik terutama sejak negara Eropah bertelingkah dengan Rusia sehingga mengakibatkan kekangan bekalan sumber tenaga terutama gas asli. Dengan dua kali pengumuman kenaikan, purata bil elektrik dan gas isi rumah di UK naik mencecah sehingga 4,000 pound setahun, lebih 50 peratus daripada purata sebelumnya.

Hampir 14 juta isi rumah tidak dapat melunaskan bil elektrik dan gas setiap bulan. Kenaikan turut menjadi penyumbang utama kepada kadar inflasi yang sudah sedia buruk. Hampir setiap minggu kesatuan sekerja pelbagai sektor mengadakan demonstrasi dan mogok mahukan hak mereka sebagai rakyat terbela dalam krisis ekonomi melanda.

Mogok yang diadakan kini bukan sahaja merencatkan perkhidmatan pengangkutan awam, malah lebih membimbangkan apabila ia turut menjejaskan sektor kesihatan seluruh UK sehingga merisikokan nyawa pesakit.

Rishi Sunak sebagai perdana menteri daripada kalangan orang korporat dan mempunyai isteri kalangan orang terkaya India, awalnya turut diragui dalam memahami keperitan hidup majoriti rakyat UK. Namun, sangkaan meleset. Seawal tiga bulan pelantikannya, Kerajaan UK telah meluluskan 26 billion pound dana untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dan berbilion lagi dibelanjakan untuk sektor pendidikan dan kesihatan.

Meskipun kemelut belum reda sepenuhnya, di permulaan tahun 2023, beliau menekankan fokus perjuangan kepimpinannya untuk mengurangkan kadar inflasi UK sehingga separuh, meningkatkan peluang kerja dengan bayaran gaji yang baik, mengurangkan kadar keberhutangan negara, meningkatkan kecekapan pekhidmatan kesihatan dan mengurangkan kadar kemasukan pendatang tanpa izin ke UK.

Kita mungkin patut juga belajar daripada mereka. Memanglah, rata-rata orang Barat ini kuat merungut dan sangat pentingkan hak, tetapi dalam masa sama rakyatnya berani bersuara dan bertindak lebih agresif. Mereka tak akan berhenti selagi apa yang diperjuangkan tidak dipedulikan. Hasilnya, mogok demi mogok yang dilaksanakan sejak tahun 2021 oleh pelbagai golongan pekerja menampakkan hasil.

Kita di Malaysia mungkin tak perlu mogok sebegitu sekali kerana ia sememangnya tidak baik untuk kemaslahatan umum. Namun kita sepatutnya lebih sebulat suara dan konsisten dalam menyuarakan keperluan sehingga pemimpin yang kita pilih cakna dan mengkaji serta merombak semula dasar sedia ada dengan meletakkan keperluan rakyat sebagai yang paling utama dalam agenda mereka.

Kita tak mahu isu lapuk seperti beg sekolah berat, pembalakan haram, konflik TVET, gaji minimum sehinggalah kadar pengangguran di kalangan siswazah berterusan tanpa sebarang tindakan.

* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College, London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena, Michiko Ohara.

Klik di sini untuk terus membaca