SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya segera melakukan reformasi ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk memisahkan agensi itu daripada Jabatan Perdana Menteri dan meletakkannya di bawah Parlimen agar ia bebas daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya segera melakukan reformasi ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk memisahkan agensi itu daripada Jabatan Perdana Menteri dan meletakkannya di bawah Parlimen agar ia bebas daripada pengaruh politik.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dalam satu kenyataan berkata, meningkatkan kebebasan SPRM akan merangsang keyakinan orang ramai terhadap badan berkenaan dan mengurangkan persepsi institusi itu digunakan untuk tujuan politik.

Kata kenyataan itu, ia boleh dilakukan dengan mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bebas (IACC).

Menurut Ideas, kajian menunjukkan suruhanjaya antirasuah dengan autonomi yang lebih luas secara amnya lebih berjaya dalam usaha memerangi rasuah.

"Kami juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa Pelan Pencegahan Antirasuah Kebangsaan (NACP) yang dilancarkan pada tahun 2019 menyasarkan untuk memperkenalkan perundangan pendanaan politik menjelang akhir tahun 2020 dan mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berasingan untuk SPRM menjelang akhir tahun 2023.

"Sasaran tersebut harus dikembalikan jika kerajaan semasa bersikap serius untuk menjadikan SPRM lebih bebas,” kata kenyataan itu.

Tambah Ideas, kerajaan harus lebih peka tentang cara mengendalikan kepercayaan awam yang rapuh terhadap institusi rasuah.

"Pemarkahan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan kemerosotan prestasi Malaysia dalam usaha membasmi rasuah.

"(Malaysia) jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lepas. Ini sepatutnya mendorong kerajaan untuk memulakan semula usaha pembaharuan dalam kedua-dua perkara utama ini dengan segera,” ujarnya.

Cadangan supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen kembali hangat diperkatakan susulan laporan CPI 2022 oleh Transperancy International menyaksikan skor Malaysia terus jatuh tiga tahun berturut-turut kepada 47 mata manakala kedudukan Malaysia dalam CPI global jatuh ke tangga 61 daripada 180 negara.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.

Keadaan semakin panas apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan motif sebenar di sebalik pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh SPRM sama ada ia bertujuan untuk melumpuhkan usaha gabungan itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sementara itu, Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, proses reformasi SPRM bukan satu langkah yang mudah kerana melibatkan pindaan undang-undang dan perlembagaan.

Katanya, pelaksanaan ke arah itu memerlukan kajian lanjut termasuk mengenai kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Menurutnya, antara langkah untuk mereformasi badan pencegah rasuah itu adalah dengan mengadakan perbahasan di Parlimen.

"Mungkin gesaan ini boleh dibincangkan di Parlimen, bagaimana kerajaan dapat mengubah struktur SPRM supaya menjadi sebuah badan yang lebih telus dan bebas.

"Kerajaan juga boleh mewujudkan satu jawatankuasa khas yang memfokuskan pada penambahbaikan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia, termasuk usaha untuk membebaskan SPRM.

"SPRM perlu dijadikan satu badan yang boleh melakukan siasatan terhadap individu daripada mana-mana organisasi kerajaan,” katanya.

Beliau yakin kerajaan akan mengambil serius tentang pelaksanaan ini dengan membuat perbincangan secara menyeluruh bersama pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen, ahli akademik dan jabatan berkaitan undang-undang.

Klik di sini untuk terus membaca