KRISIS Ukraine yang terus bergolak sejak tahun lalu berjaya mengalihkan sebahagian besar fokus media barat dan global daripada isu saingan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China di Laut China Selatan. Kedua pihak sebenarnya telah... Klik di sini untuk terus membaca

KRISIS Ukraine yang terus bergolak sejak tahun lalu berjaya mengalihkan sebahagian besar fokus media barat dan global daripada isu saingan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China di Laut China Selatan.

Kedua pihak sebenarnya telah berusaha memperkukuh kemahuan mahu dilihat sebagai ‘penguasa’ kepada aktiviti, laluan maritim dan sumber alam di kawasan tersebut.

China sekian lama telah mengambil alih beberapa terumbu dan membina 10 pulau buatan manusia bagi menempatkan aset platform permukaan, sistem radar dan elektronik, peluru berpandu serta pesawat udara.

Dua kedudukan utama dibina bagi tujuan ketenteraan adalah di terumbu Scarborough dan terumbu Mischief, yang merupakan salah satu pulau di gugusan Pulau Spratly di barat Filipina.

Sejak tahun 2013, Beijing telah melaksana penambakan laut dan sehingga hari ini berjaya menghasilkan 3,200 ekar tanah baru untuk membina pelbagai prasarana menempatkan aset-aset ketenteraan yang lebih berkemampuan.

Kewujudan pulau buatan manusia ini kritikal untuk China kerana ia boleh diguna sebagai pangkalan hadapan di samping menyekat laluan maritim ke Taiwan serta Jepun dan menghalang AS daripada menggunakan laluan Laut Hindi atau Pasifik untuk membantu kedua sekutunya itu jika berlaku pergolakan ketenteraan.

Bimbang dengan tindakan China, AS bertindak mengorak langkah cuba mengawal atau setidaknya ‘mengepung’ kedudukan strategik pulau-pulau buatan manusia milik China.

Minggu lalu, ketika lawatan Setiausaha Pertahanan AS ke Filipina, kedua-dua negara telah bersetuju untuk mempertingkat kerjasama pertahanan yang termeterai di bawah perjanjian Enhanced Defence Co-operation Agreement (EDCA).

EDCA yang ditandatangani pada 2014 membolehkan Amerika Syarikat mendapat akses kepada lima pangkalan tentera Filipina bagi tujuan latihan bersama, membina prasarana seperti landasan pesawat udara, depoh simpanan serta berek tentera, dengan syarat tiada kehadiran pasukan AS secara kekal di kem-kem tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, AS meminta agar jumlah pasukan tentera serta sistem persenjataan yang disimpan di kem sedia ada ditambah, serta mahukan akses kepada lima lagi kem tentera Filipina.

Kini kerajaan Filipina yang baharu telah bersetuju dengan cadangan tersebut.

Dipercayai tiga dari kem yang diintai oleh Amerika terletak di Pulau Luzon, iaitu di Cagayan, Zambales dan Isabela, manakala satu di Palawan.

Ketiga kem di Luzon akan membolehkan AS untuk bertindak jika Taiwan diancam China menggunakan terumbu Scarborough. Manakala di Palawan, jika China mahu melaksana sesuatu dari Pulau Spratly.

AS memiliki kekuatan yang agak jitu dengan satu kor dan dua divisyen berkekuatan 106,000 pegawai dan anggota bertanggungjawab terhadap kawasan Asia Pasifik dengan fokus terhadap Laut China Selatan, Taiwan dan Korea.

Berpangkalan di Hawaii, ketumbukan INDO-PACIFIC Command mempunyai kekuatan aset 200 kapal perang, lima armada kapal pengangkut pesawat serta kira-kira 1,100 pesawat udara. Sebahagian telah pun berada di beberapa pangkalan di Jepun manakala sebahagian lagi di Korea Selatan.

Tidak semua pihak bersetuju dengan kemahuan AS untuk ‘kembali’ semula ke Filipina atas alasan mahu melindungi negara pulau itu daripada menjadi mangsa buli kuasa besar China. Sejarah kehadiran tentera AS meninggalkan kesan mendalam kepada sebahagian rakyat Filipina.

AS telah menutup kem tentera terakhirnya di negara pulau tersebut pada tahun 1992. Tidak semua legasi yang ditinggalkan oleh tentera Amerika ketika itu adalah positif.

Terdapat 15,000 kanak-kanak hasil perkongsian hidup tentera Amerika dan wanita tempatan yang ditinggalkan oleh bapa mereka apabila AS meninggalkan negara pulau itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO melaporkan wujud pelbagai tumpahan bahan toksik seperti bahan api pesawat, timah hitam dan bahan radioaktif di kawasan bekas Pangkalan Udara Clark milik AS di Teluk Subic yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan penduduk setempat.

Menyedari kemungkinan isu-isu ini ditimbulkan bagi menghalang rancangan mendapatkan lima kem tambahan, di bawah EDCA, AS memperuntukkan AS$82 juta untuk meningkatkan pelbagai kemudahan di lima kem tentera Filipina sedia ada.

Editorial akhbar Global Times milik kerajaan China telah telah menuduh Amerika Syarikat sebagai cuba memasang perangkap menjadikan Filipina sebagai garis hadapan pertempuran sekiranya tercetus konflik antara China dan Amerika di rantau ini.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca