SHAH ALAM - Persaingan merebut tiga jawatan naib presiden dijangka sengit berikutan ramai calon heavy weight akan menawarkan diri bertanding susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) menetapkan dua kerusi utama iaitu presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persaingan merebut tiga jawatan naib presiden dijangka sengit berikutan ramai calon heavy weight akan menawarkan diri bertanding susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) menetapkan dua kerusi utama iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Keputusan PAU2022 menyaksikan jawatan Presiden kekal milik Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi manakala kerusi Timbalan Presiden UMNO disandang oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru, tumpuan utama sekarang adalah perebutan jawatan Naib Presiden UMNO antara tiga penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan beberapa muka baharu.

Biarpun Ismail Sabri ialah bekas Perdana Menteri, namun beliau belum tentu mendapat laluan mudah oleh calon lain kerana Ahli Parlimen Bera itu tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.

Jadi tidak hairanlah sekiranya Ismail Sabri secara terbuka menyatakan sedia memberi laluan kepada muka baharu memegang jawatan naib presiden jika ada individu lebih relevan dan mampu memulihkan imej UMNO di mata masyarakat.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.

Antara nama lain yang disebut-sebut berminat merebut tiga jawatan terpenting dalam UMNO itu termasuklah Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Hasni Mohammad, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, biarpun ada 10 nama individu berminat menawarkan diri untuk bertanding, namun cabaran sengit hanya membabitkan lima pemimpin heavy weight iaitu antara Ismail Sabri, Mohamed Khaled, Mahdzir, Zamry dan Azalina.

Bagaimanapun dengan perkembangan terbaharu politik negara ini, Mazlan berkata, kedudukan Ismail Sabri mungkin tergugat.

Mazlan berpandangan Ismail Sabri dalam situasi sukar untuk mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan kali ini kerana beliau dilabel sebagai kumpulan tidak sehaluan dengan Presiden UMNO.

"Justeru, saya melihat Khaled tidak akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi naib presiden kerana beliau dilihat antara pemimpin yang sekapal atau sehaluan dengan Ahmad Zahid.

"Nasib Mahdzir juga tidak menentu selepas beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan campuran sekarang, selain pendiriannya kurang jelas sama ada masih bersama kem presiden atau tidak,” katanya kepada Sinar Premium.

Mazlan

Dalam pada itu, Mazlan berkata, beliau melihat peluang Zambry dan Azalina untuk menang kerusi naib presiden adalah lebih cerah kerana sebagai orang kuat parti dan sentiasa menyokong Ahmad Zahid di waktu senang atau susah.

"Peluang Hasni yang merupakan bekas Menteri Besar Johor adalah tipis apabila beliau dilabelkan pengkhianat dalam UMNO.

"Walaupun Asyraf Wajdi dianggap penyokong tegar Ahmad Zahid, namun secara peribadi masih tidak mampu menyaingi aura dan pengaruh orang lama dalam UMNO seperti Khaled, Azalina dan Zambry.

"Saya meramalkan orang kuat Presiden UMNO dijangka terus menguasai kerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada 18 Mac nanti,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca