NEGARA Amerika Latin seperti Peru, Argentina, Cuba, Chile dan Bolivia tidak lekang dengan pergolakan politiknya, ditambah pula kemelesetan ekonomi sehingga terjadinya kemiskinan melampau menyebabkan rakyat di negara-negara tersebut semakin... Klik di sini untuk terus membaca

NEGARA Amerika Latin seperti Peru, Argentina, Cuba, Chile dan Bolivia tidak lekang dengan pergolakan politiknya, ditambah pula kemelesetan ekonomi sehingga terjadinya kemiskinan melampau menyebabkan rakyat di negara-negara tersebut semakin menderita.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, Chile paling banyak melakukan protes yang pada awalnya disebabkan kenaikan harga tambang pengangkutan awam di stesen kereta api Santiago dan kemudian merebak sehingga menjurus kepada pembaharuan perlembagaan, yang sehingga kini belum berkesudahan.

Namun semasa pandemik melanda, semua kekacauan tersebut terhenti dan keadaan kembali seperti sedia kala.

KONFLIK AMERIKA LATIN BERMULA

Bagaimanapun, beberapa bulan kebelakangan ini telah menyaksikan huru-hara yang terbaharu dengan ditambah protes ganas dan mogok di Panama, Ecuador, Peru, Brazil dan Argentina akibat perebutan kuasa yang diburukkan lagi dengan fenomena inflasi global berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Walaupun kadar inflasi di negara-negara Amerika Latin tidak terlalu tinggi berbanding negara lain di Eropah dan Amerika Utara, kesannya dirasai lebih ketara di negara ekonomi sedang membangun berbanding negara maju.

Dianggarkan perbelanjaan terhadap makanan dan tenaga di negara itu telah meningkat sebanyak 40 peratus berbanding negara maju iaitu sekitar 15 peratus.

Jadi, sebagai contoh negara paling ketara terkesan seperti Argentina di mana kadar inflasi tahunan kini mencecah sehingga 90 peratus lebih.

Justeru, ini menyebabkan harga barang dan bahan api meningkat cepat sehingga tercetusnya protes ganas di jalan raya sekitar Buenos Aires pada minggu menjelang perayaan Krismas baru-baru ini.

KEMELUT POLITIK LANDA BRAZIL

Di Brazil, peralihan daripada jawatan bekas Presiden, Jair Bolsonaro kepada Presiden baharu berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva yang dilantik pada 1 Januari 2023 yang pada mulanya berjalan lancar menjadi kacau bilau selepas kekalahan Bolsonaro semasa pilihan raya pada Oktober lalu di mana pengundi mendakwa terdapat penipuan dalam pilihan raya tersebut.

Ketidakpuasan hati rakyat Brazil selepas penggulingan Bolsanaro dan digantikan Lula menyebabkan protes besar-besaran di seluruh negara sehingga kini mengorbankan lebih 60 orang.

Ia sama seperti kes serangan penyokong Trump pada 6 Januari 2021 ke atas bangunan Capitol di Washington, Amerika Syarikat.

Pasukan keselamatan telah menahan lebih 1,200 orang sejak penyokong Bolsonaro menyerbu bangunan Kongres, Istana Presiden dan Mahkamah Agung di Brasilia pada 8 Januari.

Ia diburukkan lagi dengan krisis ekonomi, ketidaksamaan taraf sosial serta impak pandemik Covid-19 yang sehingga kini mengambil tempoh lama untuk dipulihkan.

Di Lima, Peru, protes kerap berlaku di negara didiami 5.8 juta penduduk di mana tunjuk perasaan bermula dari komuniti orang Asli di Amazon pada 2021 yang tidak berpuas hati mengenai pembinaan paip minyak sehingga menjejaskan pendapatan rutin mereka. Bantahan sama berlaku sekitar lombong tembaga di selatan Cotobambas.

GELOMBANG PROTES BERTERUSAN

Kemudian ia diikuti pergolakan di bandar pada musim bunga 2022 yang sebahagiannya dicetuskan tekanan inflasi akibat konflik di Rusia dan Ukraine sehingga membawa kepada protes besar-besaran.

Gelombang protes terkini berkaitan pergolakan politik presiden parti berhaluan kiri Jose Pedro Castillo yang dipilih pada Julai 2022 dan badan perundangan negara itu yang kini masih didominasi parti berhaluan kanan kanan kumpulan 'Fujimorist'

Ramai rakyat Peru begitu marah terhadap penyingkiran Presiden Pedro Castillo pada 7 Disember yang diberkas selepas cuba membubarkan Kongres dan pemerintahan melalui dekri.

Penunjuk perasaan membawa poster menentang Presiden Dina Boluarte di daerah Barranco, Lima. - Foto AFP

Naib Presiden Dina Boluarte yang sebelum ini di bawah pemerintahan Castillo, segera mengambil alih kuasa.

Protes tercetus dengan cepat, sebahagian besarnya didorong oleh kemarahan di kawasan luar bandar yang miskin di selatan negara itu di mana penduduk utamanya daripada suku kaum Orang Asli.

Dalam usaha meredakan politik susulan rampasan kuasa itu, kerajaan baharu Peru di bawah pimpinan Boluarte mengisytiharkan darurat serta menggantung semua perhimpunan awam.

Bagaimanapun usaha tersebut disifatkan tidak berkesan kerana rusuhan berlaku hampir setiap hari antara polis dan penunjuk perasaan anti-kerajaan yang sehingga kini telah mengorbankan seramai 47 nyawa.

Kesimpulannya, rusuhan tercetus di Amerika Latin berpunca daripada pergolakan politik ditambah kemelesetan ekonomi akibat Covid-19 sehingga rakyat marah menyebabkan berlaku protes yang meragut nyawa.

Klik di sini untuk terus membaca