SHAH ALAM - Hukuman denda RM1,000 atau gantung menghadiri sidang terhadap ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, seksis serta menghina dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang merupakan tindakan yang wajar dilakukan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hukuman denda RM1,000 atau gantung menghadiri sidang terhadap ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, seksis serta menghina dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang merupakan tindakan yang wajar dilakukan kerana dapat memberi mesej yang jelas supaya pemain politik perlu lebih beradab.

Penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, mengeluarkan perkataan yang berbaur perkauman dan seksis dalam persidangan Dewan Rakyat adalah satu budaya yang perlu dihilangkan dalam sistem demokrasi kerana ia menjejaskan nilai serta mutu kualiti ahli Parlimen itu

Tegas Noor Nirwandy, jumlah peruntukan denda di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 itu sudah memadai kerana hukuman berkenaan akan meninggalkan imej yang negatif kepada ahli Parlimen.

"Jumlah peruntukan tidak perlu dipinda kerana apa yang lebih penting adalah memastikan mereka dikenakan tindakan tegas sekiranya melanggar peraturan atau had-had yang telah dibataskan di dalam Parlimen.

"Buat masa ini, sabitan kesalahan lebih penting daripada jumlah denda. Hukuman ini wajar dilakukan untuk memberikan mesej yang jelas kepada masyarakat dan ahli Parlimen bahawa kita berada dalam suatu ketamadunan budaya yang bertatasusila tinggi,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Akuinya, sebagai seorang ahli Parlimen yang dilantik melalui proses yang sah di sisi undang-undang, mereka wajib menjaga tingkah laku dan sensitiviti khususnya di dalam Dewan Rakyat.

"Ahli Parlimen harus sedar mereka bukanlah kumpulan elit dalam negara tetapi insan terpilih yang harus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.

"Atas dasar itu, mereka perlu tunjukkan contoh yang baik dengan mematuhi kod etika dan perilaku budiman.

"Sudah tiba masanya, kita bawa demokrasi politik yang lebih matang dan salah satu cara adalah dengan membentuk perilaku yang baik dalam sidang Parlimen. Ini suatu perkara yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berpandangan, salah satu pindaan yang perlu dilakukan untuk memahami isu-isu berhubung dasar negara adalah memastikan keseluruhan ahli Parlimen mengikuti kursus berhubung keselamatan negara.

"Antara cadangan pindaan yang perlu dilakukan adalah memastikan keseluruhan ahli Parlimen mengikuti satu kursus khas untuk memahami isu-isu berhubung dasar serta cabaran keselamatan negara.

"Ia bertujuan membentuk satu pemikiran proaktif dan konstruktif kepada masyarakat dalam menyelesaikan isu berkepentingan dalam negara serta mengelakkan diri dari bersifat provokatif dan negatif kepada masyarakat,” katanya.

Pada Ahad, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menjelaskan, peruntukan untuk mendenda RM1,000 kepada ahli Parlimen yang ingkar sudah wujud di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, namun tidak pernah digunakan.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga akan ditubuhkan untuk mengawasi tingkah laku penggubal undang-undang.

Penganalisis politik dan media sosial, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy pula berkata, denda dan pergantungan selama enam bulan itu tidak seharusnya dijadikan sebagai parameter untuk menghukum ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan berbentuk perkauman, seksis atau menghina mana-mana pihak.

"Ahli Parlimen yang mewakili rakyat ini sepatutnya sedar dan menjaga percakapan serta beretika ketika membuat perbahasan kerana segala pertuturan ditonton umum.

"Ahli Parlimen harus belajar dari negara-negara maju bagaimana sesuatu perbahasan itu dilontarkan berdasarkan fakta dan bukti seperti persidangan di Australia dan bukannya membuat bising untuk menyekat kebebasan bersuara di peringkat Parlimen,” katanya.Jelasnya, etika pertuturan ahli Parlimen harus dipertingkat dari masa ke masa yang mana mereka sepatutnya menerapkan prinsip kelima Rukun Negara yakni kesopanan dan kesusilaan.

"Dari segi penyaluran maklumat, apabila ahli Parlimen bertindak di luar kawalan dan mengeluarkan kata-kata yang boleh menghina pihak lain, itu secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti mereka.

"Adakah kita ingin diwakili oleh ahli Parlimen sedemikian? Sekiranya cara pertuturan dan tatasusila tidak dijaga di peringkat dewan yang dianggap sangat mulia, bagaimana mereka berdepan dengan cabaran masyarakat berbilang kaum di kawasan masing-masing?” katanya.


ANTARA KEJADIAN PENGGUNAAN PERKATAAN TIDAK SOPAN DI PARLIMEN
1. Pada Julai 2022, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak ketika itu menggamatkan sidang Dewan Rakyat apabila menggelar sebahagian ahli Parlimen wanita DAP berperangai tidak senonoh dan bermulut jahat.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual di Dewan Rakyat, Tajuddin mencelah ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) sedang berbahas dan membidas dakwaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) bahawa beliau sering membuat kenyataan berbaur seksis kepada ahli Parlimen wanita.

"Hanya perangai wanita DAP tidak senonoh, bukan semua tetapi sebahagian daripada kamu...mulut jahat, kaki cucuk, kaki hasut, kaki cabar Speaker,” kata Tajuddin.

2. Tajuddin juga pernah tular sekitar Ogos 2018, setelah memanggil Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan gelaran ‘budak’ selepas bekas Menteri Belia dan Sukan itu kecewa dengan Timbalan Menteri Perladangan, Komoditi dan Industri, Datuk Willie Mongin tidak memberinya laluan untuk berbahas.

3. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) juga pernah membuat kenyataan berbaur perkauman apabila menyebut perkataan ‘kalau saya gelap, saya pakai bedak’ yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto pada Julai 2020.

4. Antara kekecohan yang paling tidak dilupakan adalah sesi perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dalam sidang Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengeluarkan perkataan berunsur lucah kerana beliau berang dengan perkataan ‘kasino’ yang diucapkan oleh Willie Mongin.

Kesan provokasi itu menyebabkan Bung Moktar bingkas berkata: "Tarik balik! Samseng! Kurang ajar! Mau gaduh dengan saya? Anytime!”

Klik di sini untuk terus membaca